AF5 Milik Mila?

SELAMA empat musim, takhta tertinggi Akademi Fantasia (AF) didominasi peserta lelaki dan tembok kukuh itu seakan tidak dapat dibolosi peserta wanita.

Bermula Vince, disusuli Zahid, Mawi dan Faizal, program realiti yang sentiasa diperdebatkan ini dilihat lebih berpihak kepada peserta lelaki.

Walaupun peserta wanita menunjukkan kesungguhan serta membuktikan bakat besar mereka, itu semua tidak memadai untuk meletakkan mereka lekat di hati peminat.

Empat musim AF berlangsung, pencapaian tertinggi yang pernah dicapai peserta wanita ialah pada musim kedua AF apabila Nurlinda Nanuwil atau Linda mengakhiri perjuangannya di tempat kedua.

Peserta wanita lain yang pernah menduduki tiga tempat teratas ialah Amylea dan Farhan yang menamatkan perjuangan mereka di tangga ketiga, masing-masing pada AF3 dan AF4.



Namun apakah tradisi yang sudah sinonim dengan AF itu akan berlarutan apabila AF musim kelima melabuhkan tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil, jam 9 malam ini?

Mampukah kubu kebal peserta lelaki berjaya dirobohkan peserta wanita malam ini? Antara Mila, Ebi, Aswad, Candy dan Heliza, siapa antara mereka yang akan menjejak keajaiban sekali gus memahat nama dalam direktori tertinggi AF5?

Pengetua AF5, Roslan Aziz berkata, dari awal lagi dia menyimpan keyakinan peserta wanita akan menyerlah sebagai juara pada AF musim terbaru ini.

Namun, apabila pertandingan itu semakin diperkatakan, keyakinan Roslan terhadap peserta wanita perlahan-lahan tergugat. Sebaliknya, dia melihat peserta lelaki berpotensi untuk mempertahankan gelaran juara berdasarkan mutu persembahan mereka yang menunjukkan peningkatan ketara.

“Bagaimanapun, apabila AF5 makin menghampiri detik kemuncaknya, saya melihat peserta wanita kembali menonjol. Justeru, bukan sesuatu yang mustahil jika peserta wanita akan memecah rekod yang selama ini menjadi milik peserta lelaki,” katanya.



Secara peribadi, pengarah muzik terkenal ini menaruh harapan besar kepada Norsyarmilla Jirin atau Mila kerana yakin peserta kelahiran Pulau Pinang itu mampu membuat kejutan pada malam final nanti.

Bukan menidakkan kemampuan empat anak didiknya yang lain, sebaliknya dia percaya setiap peserta mempunyai potensi untuk dijulang sebagai juara, namun dia sebenarnya terlalu bangga dengan perubahan gadis berusia 19 tahun itu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Norsyarmilla Jirin atau Mila disebut-sebut bakal menjuarai Akademi Fantasia Musim ke 5.


“Dia bermula dari kosong. Bakatnya digilap, diasah dan hari ini, Mila berdiri sebagai permata yang berkilauan,” katanya.


Mengakui berpuas hati dengan kemajuan lima finalis itu, Roslan berkata, AF5 menghidangkan sesuatu yang berbeza kerana sukar untuk menembak peserta mana yang akan dinobatkan sebagai juara.

“Di sini keistimewaan AF5. Disebabkan tiada dominasi undian oleh peserta tertentu, kesemua finalis mempunyai peluang untuk muncul sebagai juara. Situasi itu menambahkan lagi debaran peminat dan ini akan membuat penonton teruja untuk mengetahui siapa pemenangnya,” kata Roslan.



Sesiapa saja bebas membuat ramalan, namun penentu kejayaan kelima finalis ini kini terletak di jari anda semua. Sudah tiba masanya AF keluar daripada stigmanya yang lebih mengutamakan populariti berbanding bakat.

Undilah dengan bijak kerana industri memerlukan permata baru yang akan memberi kilauan kepada dunia muzik yang semakin suram dibelenggu pelbagai kemelut yang tiada kesudahan.

Pastinya, juara AF5 akan menjadi penyambung kepada legasi seni kontemporari yang sebahagian besarnya dibarisi bintang yang dicungkil menerusi pertandingan realiti seperti Misha Omar, Datuk Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Mawi dan Jaclyn Victor.

Tidak mustahil jika peranan itu akan digalas oleh peserta wanita. Semuanya serba berkemungkinan.






No comments: