Bayi Hidup Semula

JITRA: Seorang bapa yang menguruskan urusan pengebumian ‘jenazah’ anak perempuannya terkejut apabila mendapati bayi yang disahkan meninggal dunia itu bergerak ketika mahu dikafankan, semalam.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 200 penduduk kampung yang menziarahi majlis pengebumian bayi itu gempar.

Bayi seberat 330 gram yang kandungannya baru berusia 21 minggu itu dilahirkan tidak cukup bulan pada jam 11 pagi semalam di Hospital Jitra (HJ) di sini, selepas ibunya, Nordewiyana Din, 28, mengadu sakit perut.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bapa bayi itu, Azmi Masiron, 26, berkata isterinya mengadu sakit perut kira-kira jam 6 pagi ketika dia bersiap ke tempat kerja di Sekolah Menengah Tanjung Pauh, dekat sini, sebagai pembantu kantin.

Katanya, dia kemudian membawa isterinya ke Unit Kecemasan HJ selepas isterinya mula mengadu air ketubannya pecah walaupun kandungannya baru mencecah enam bulan.



Azmi berkata, isterinya terpaksa menunggu seorang diri di ruang menunggu Unit Kecemasan HJ lebih tiga jam sambil menahan kesakitan dan disuruh bersabar dengan alasan masih ramai pesakit perlu dirawat.

“Isteri saya menunggu sejak jam 7.50 pagi di situ dan hanya dibenarkan masuk ke bilik bersalin kira-kira jam 11 pagi.

“Beberapa minit kemudian, doktor memanggil saya dan memberitahu bayi kami sudah meninggal dunia lalu meminta urusan pengebumiannya dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Azmi berkata, jenazah bayinya yang dibungkus dengan kertas dan ditutup kain sarung kemudian dibawa pulang dengan kereta ke rumah mereka di Kampung Padang di sini, untuk dikebumikan.

Katanya, dia kemudian menghubungi bapa mentuanya, Din Ahmad, 65, supaya menguruskan keperluan mengebumikan jenazah bayinya itu termasuk meminta orang menggali kubur.



Bagaimanapun, katanya, ketika jenazah anaknya hendak dikafankan, tiba-tiba dia mendapati bayi itu bergerak lalu memaklumkannya kepada bapa mentuanya kerana yakin anak keduanya itu masih hidup.

“Saya menghubungi hospital semula sebelum anak saya dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan segera dan dimasukkan ke dalam inkubator kerana jantungnya masih berdegup.

“Mujur anak saya belum dikebumikan lagi, jika tidak mungkin saya akan menyesal sepanjang hidup,” katanya.

Azmi berkata, dia juga hairan kenapa pihak hospital tidak mengeluarkan sijil kematian jika benar bayinya itu sudah meninggal dunia.

Dia juga mendakwa doktor yang menyambut kelahiran bayinya tidak membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan kematiannya.



“Berikutan itu, saya bercadang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk melaporkan kecuaian hospital terhadap anak dan isteri saya,” katanya.

Isteri Azmi kini dihantar ke Hospital Alor Star selepas mengalami komplikasi ketika bersalin manakala bayi berkenaan masih menerima rawatan di HJ.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Hasnah Ismail ketika dihubungi, berkata beliau akan menyiasat perkara berkenaan dan belum menerima sebarang laporan.







No comments: