Menu Maut!

KUALA LUMPUR: Gelap mata dengan keuntungan ribuan ringgit sehari, seorang doktor sebuah klinik swasta sanggup menyediakan ‘menu maut’ iaitu cecair Methadone dicampur sejenis ubat selesema Promethazine untuk menghasilkan dadah sintetik terbaru digelar ‘Pok Te’ yang menjadi kegilaan penagih dadah di sekitar ibu kota.

Doktor terbabit menjual ‘menu’ barunya itu di kaunter klinik pada harga antara RM20 hingga RM30 sebotol.

Difahamkan, cecair Metahadone yang dicampurkan itu berwarna perang kehijauan, kemudian diadun bersama dadah jenis morfin oleh penagih sebelum disuntik ke badan bagi mendapatkan kesan khayal berganda.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

‘Pok Te’ mendorong penagih dadah kembali kepada tabiat lama mereka tanpa bimbang bekalan terputus.

Tindakan itu jelas menyalahi matlamat awal kerajaan yang memperkenalkan Methadone pada Oktober 2005 sebagai alternatif memulihkan penagih tegar melalui program perintis penggunaan dadah gantian (Methadone).



Dalam operasi jam 1 tengah hari kelmarin, 10 pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmaseutikal (CPF) Kementerian Kesihatan dan cawangan penguat kuasa farmasi Kuala Lumpur, menyerbu klinik terbabit di Jalan Raja Laut selepas menjalankan intipan sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmaseutikal berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya musykil dengan pembelian hampir 1,000 botol cecair Methadone oleh klinik terbabit bagi kegunaan setiap bulan.

“Jumlah ini terlalu banyak dan dibimbangi berlaku penyelewengan yang sepatutnya digunakan bagi memulihkan penagih.

“Malangnya cecair campuran Methadone itu menjadi ‘goreng pisang panas’ di klinik terbabit yang tidak henti-henti dikunjungi penagih untuk membelinya tanpa mengira waktu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan penagih dilihat masuk menuju kaunter sebelum menghulurkan wang sambil menunjukkan isyarat tangan.



“Selepas membayar wang RM20 hingga RM60, penagih diberi sebotol kecil berisi cecair campuran Methadone itu oleh kakitangan klinik tanpa perlu merujuk kepada doktor. Urusan umpama jual beli dadah ini hanya mengambil masa tiga minit.

“Bagaimanapun, ketika disoal siasat semalam, doktor berusia 60-an itu enggan mengaku menjual ubat terbabit walaupun secara terang-terangan pegawai farmasi melihat penagih silih berganti datang untuk membelinya dalam klinik,” katanya.

Lebih memeranjatkan apabila doktor itu mendakwa 900 penagih dadah mendapatkan khidmatnya berdasarkan kad pesakit ditemui.

Berikutan itu, pegawai farmasi memeriksa dalam klinik terbabit sebelum menemui pil Dormicum dan botol berisi cecair Methadone yang siap dicampur dengan cecair Promethazine.

Langkah mencampurkan Methadone itu dilakukan bagi membolehkan doktor berkenaan mendapat untung berlipat kali ganda hasil urusan jual beli berkenaan.


Berikutan itu, pihak farmasi merampas pil Dormicum, botol berisi Methadone dan beberapa dokumen berkaitan penjualan haram itu.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi terbabit mendapati lebih 30 penagih ke klinik itu untuk membeli Methadone, namun terpaksa pulang hampa berikutan pemeriksaan sedang dilakukan pegawai farmasi.

Difahamkan, klinik sama pernah diserbu pada 29 Oktober 2004 kerana menjual pil Subutex dan Dormicum kepada penagih dadah.

Bagaimanapun, pemiliknya tidak serik dan masih meneruskan aktiviti berikutan permintaan tinggi di kalangan penagih di Lorong Haji Taib, Chow Kit di sini.

Mengikut prosedur ditetapkan, penagih yang mahu mengambil Methadone perlu terlebih dulu menjalani ujian air kencing sebelum menjalani pemeriksaan doktor.



Malah, ubat itu mesti diambil secara oral (melalui mulut) di hadapan doktor bagi mengelak penyalahgunaannya berikutan ia mempunyai kesan sama seperti heroin atau morfin.

Penggunaan Methadone tanpa kawalan boleh menyebabkan penagih mengalami kerosakan mata, koma, tekanan darah tinggi, kerosakan jantung dan paru-paru hingga membawa maut.



No comments: