Amalkan Konsep “Makan Untuk Hidup”

‘MEMBUJUR lalu melintang patah’. Begitulah sikap kebanyakan kita dalam soal makan dan minum. Asal tercatat atau diberitahu ‘halal’ (walaupun tanpa pengesahan), semua akan dipulun!

Jarang dari kalangan kita (Muslim tentunya) yang begitu teliti soal halal, haram dan subahat dalam sumber makanan dan minuman yang diambil sebelum terus ditelan dan dihimpun ke dalam perut saban hari.

Apa lagi jika beraneka jenis makanan dengan aroma yang menggoncang nafsu dan selera dari sama ada masakan tradisi dan setempat mahupun resipi luar. Lebih-lebih lagi jika ia dihidang secara bufet dan percuma pula.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
"Makan untuk hidup" dan bukan "hidup untuk makan!"



Namun leb
ih buruk jika konsep ‘hidup untuk makan’ dijadikan amalan dan budaya dalam kehidupan seharian. Bukannya ‘makan untuk hidup’ seperti yang dituntut dalam Islam.

Sedar atau tidak pula, kedua-dua situasi inilah punca segala sumber permasalahan pada manusia. Sama ada kesan pada jasmani yang akan mengundang pelbagai jenis penyakit mahupun rohani yang akan menyusutkan nilai iman dalam diri.



Sebab itu Allah s.w.t. menggariskan etika makan dan pemakanan terbaik untuk setiap hamba-Nya sebagaimana diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam makan dan minum Allah s.w.t. berfirman; “... dan dihalalkan bagi mereka segala yang baik-baik dan diharamkan bagi mereka segala yang buruk-buruk...” (Al-A’raaf: 157).

Dalam ayat lain, Allah berfirman,

“... makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan (jangan melampaui batas yang diperlukan oleh tubuh dan jangan melampaui batas-batas makanan yang dihalalkan). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”. (Al-A’raaf: 31)

Bagaimanapun, manusia sekarang kata Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Izham Nayan, hidup berkonsep makan selagi boleh dan mampu atau ‘hidup untuk makan’.



“Sebab itulah bermacam penyakit yang mengganggu kesihatan dan penyakit sosial berleluasa dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, segala jenis penyakit berpunca dari perut, iaitu pusat yang menghimpunkan segala jenis makanan dan minuman serta cara pemakanan seharian seseorang.

Dr. Izham berkata demikian semasa menyampaikan ceramah mengenai ‘Ke manakah arah tuju pengguna-pengguna Islam dalam menentukan ketelusan produk halal’ pada seminar Pembangunan Industri Halal - Konsep dan Arah Tuju’ sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-4 di Kuala Lumpur 10 Mei lalu.

Seminar anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama ZamCorp Niaga Sdn. Bhd. itu disertai kira-kira 100 peserta dari kalangan pengusaha industri makanan dan pengguna.

Menurut Dr. Izham, konsep halal dalam Islam bukan untuk dinilai dan dijual beli tetapi yang berlaku kini adalah sebaliknya.



“Konsep halal Islam kini dijadikan label atau logo penanda ‘penghalalan’ sesuatu produk makanan yang dipasarkan gara-gara untuk menjaga kemaslahatan ummah yang jahil dengan Islam,” katanya.

Namun tegas beliau, kesan apabila konsep halal Islam ‘diperdagangkan’ secara global menjadikan ia tidak dihormati lagi.

Konsep halal Islam dijual melalui penggunaan logo Halal Malaysia oleh Jakim sebagai pengesahan sesuatu produk yang dikeluar dan dipasarkan itu halal, terutama oleh pengusaha bukan Islam dengan nilai hanya RM100 hingga RM400 sahaja.

Malah, Malaysia kini diiktiraf sebagai hab halal antarabangsa kerana peranan dan penglibatan Jakim dalam memperdagangkan logo Halal untuk setiap pembangunan dan pengedaran produk makanan halal global.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Noraini Hamzah bagaimanapun berkata, pengunaan logo Halal Malaysia bukanlah bersifat mandatori.

“Tidak ada apa-apa akta untuk memaksa pengusaha mendapatkan sijil halal dan melabelkan logo halal pada produk keluaran mereka,” katanya.





No comments: