Hiasan Ayat Al-Quran Juga Dakwah

KITAB Suci al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat ternyata kaya dengan pelbagai pengajaran dan panduan untuk hidup manusia. Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil saja daripada ayatnya yang sering menjadi pilihan kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Apabila kita menyusuri rumah atau premis milik umat Islam di negara ini, ayat yang biasa dilihat adalah begitu terhad, iaitu ayat Kursi (al-Baqarah:255), ayat Seribu Dinar (al-Talaq:2-3), surah al-Tawbah:128-129, surah Yasin, surah al-Sajdah, surah al-Waqi’ah, surah al-Mulk, surah al-Fatihah, surah al-Falaq, surah al-Nas, surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun.

Umat Islam sepatutnya berfikiran jauh dan menggunakan manfaat hiasan pada ayat al-Quran sebagai serampang dua mata iaitu peringatan mengenai mesej yang hendak disampaikan Allah SWT dan bahan dakwah kepada golongan bukan Islam.

Anjakan paradigma di dalam dakwah kepada orang Islam yang cetek ilmu agamanya dan golongan bukan Islam perlu diluaskan dengan penggunaan hiasan ayat al-Quran secara lebih meluas dan menjangkau kebiasaan.

Penggunaan hiasan ayat terpilih daripada al-Quran perlu dipamerkan di papan tanda di sekolah, jalan raya dan premis awam untuk menunjukkan bagaimana al-Quran benar-benar berinteraksi dengan manusia dan berfungsi sebagai panduan kehidupan mereka.



Isu semasa dan menarik perhatian pandangan awam boleh disentuh dengan meletakkan ayat tertentu pada tempat dan waktu yang sesuai. Di samping seni tulisan khat yang indah, ayat itu mesti disertakan dengan terjemahannya sekali agar maksudnya boleh difahami semua orang yang melihat. Di antara ayat yang boleh dicadangkan ialah;

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Surah al-Asr yang menyebut mengenai kepentingan masa. Surah ini sesuai ditampal di sekolah, universiti dan pejabat dengan tujuan untuk mengingatkan peranan memanfaatkan masa untuk belajar dan bekerja.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Ali ‘Imran 185, bermaksud “Setiap jiwa akan merasai kematian dan al-Nisa’:78 yang bermaksud: Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Ayat ini sesuai ditampal di mana saja kerana ia akan sentiasa mengingatkan umat Islam mengenai kematian yang pasti menimpa setiap makhluk bernyawa. Sekiranya ayat ini ditampal di setiap lebuh raya, kadar kemalangan jalan raya juga mampu dikurangkan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Al-Nisa’:29, yang bermaksud; Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat pengasih kepadamu” Ayat ini juga sesuai ditampal di lebuh raya bagi mengingatkan pemandu jalan raya serta mat rempit agar lebih berhati-hati dan berhemah. Juga sesuai digunakan di dalam kempen ‘Tak Nak Merokok’ yang dilancarkan kerajaan. Penggunaan ayat ini sememangnya bertepatan kerana memandu dengan berbahaya dan merokok adalah tindakan yang boleh membawa kepada jenayah bunuh diri.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Al-Baqarah:188, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya), dan ayat al-Nisa’:28, yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Ayat ini pula sesuai ditampal di mana-mana premis kerajaan atau agensi yang sering terdedah dengan ancaman rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Apabila membaca ayat ini, orang yang waras pemikirannya akan berfikir panjang sebelum menawarkan rasuah atau menerimanya.



Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Keseluruhan surah al-Humazah dan al-Hujurat:11, yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari golongan lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim”.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Al-Baqarah:261, yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya, dan ayat al-Tawbah:60, yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Ayat ini sesuai ditampal di premis perniagaan yang mencatatkan keuntungan perniagaan banyak sebagai suatu peringatan kepada sesetengah individu tentang kewajipan membayar zakat dan kelebihan bersedekah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Al-Nisa’:58, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”. Ayat ini amat sesuai ditampal di pejabat wakil rakyat, bangunan Parlimen dan bangunan mahkamah sebagai usaha untuk mengingatkan umat Islam terutama sekali pihak yang terbabit dengan pemerintahan tentang kepentingan menunaikan amanah serta menegakkan keadilan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Al-Baqarah:155 & 156, yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Juga ayat al-Syua’ara’:80 yang bermaksud : Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku”.

Ayat ini sesuai ditampal di hospital dan klinik untuk mengingatkan semua musibah yang menimpa adalah satu ujian daripada Allah dan menguatkan tahap keimanan mereka kepada Allah dengan mengharapkan penyembuhan hanya daripada Allah SWT.


Selain itu, untuk tambah menjayakan usaha ini, pihak yang bertanggung jawab mencetak hasil seni khat al-Quran perlu melakukan perubahan dan berusaha untuk memilih ayat yang lebih memberikan manfaat kepada perkembangan minda dan iman umat Islam.

Tindakan meluaskan penggunaan ayat al-Quran sebagaimana yang telah dinyatakan di atas akan dapat membuka mata orang bukan Islam tentang kesyumulan Islam melalui al-Quran yang menyentuh semua aspek kehidupan manusia.

Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa UIAM.












No comments: