"Jangan bimbang, saya sihat" - Pak Lah

LUMUT: “Saya sihat. Jangan bimbang,” kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menafikan dakwaan laporan yang disebarkan di internet bahawa beliau pengsan semasa menyampaikan kunci pada majlis jamuan rakyat dan perasmian Dataran Hadhari, di Teluk Batik di sini, tengah hari semalam.

Bercakap kepada pemberita di hotel penginapannya di Damai Laut Resort, di sini, malam tadi, Perdana Menteri berkata, pada majlis itu, beliau hanya sedikit keletihan kerana cuaca terlalu panas.

“Doktor sudah menjalankan bermacam-macam ujian termasuk ECG, darah dan tekanan darah dan semuanya adalah normal.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
INGIN CUBA: Abdullah meletakkan bata sambil diperhatikan ahli BNBBC ketika menyertai program Khidmat Komuniti BNBBC di Kampung Tanjung Burung, Hujung Pasir, di Pantai Remis, semalam.




“Barangkali saya cuma letih mungkin sebab semalam (kelmarin) tidak cukup tidur dan cuaca ketika majlis berlangsung begitu panas.... mungkin panas, itu saja lain tak ada apa-apa.

“Saya pun rasa lega (selepas diperiksa doktor), tidak risau juga... bukan awak (wartawan) saja risau, saya juga (risau) pasal hal badan (kesihatan) saya,” katanya. Beliau diperiksa oleh doktor peribadinya, Dr Sanjiv Joshi.



Terdahulu, pada sebelah pagi, Perdana Menteri turut menghadiri beberapa program komuniti di Pantai Remis dan Segari, dekat sini yang dianjurkan oleh Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sempena Program Permukiman BNBBC 2007 yang diadakan di pulau ini, selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Turut hadir pada majlis penyampaian kunci rumah itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Pengerusi BNBBC, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Diminta menceritakan apa sebenarnya berlaku ketika itu, Abdullah berkata, semuanya bermula ketika beliau membuat ucapan dalam keadaan cuaca begitu panas.

“Masa saya sedang bercakap (berucap) panas sungguh... masa tu sudah habis saya buat ucapan, memang saya tak cakap panjang sebab sudah masuk waktu makan tengah hari.

“Sebab panas sangat, saya berhentilah (berucap) dan terus duduk, lepas itu saya dipanggil untuk menyerahkan kunci rumah kepada penerima dan saya pun bangun semula bagi kunci.



“Ketika itu juga, saya berasa letih dan Datuk Seri Tajol Rosli nampak macam saya tidak berapa elok (sihat) dan dia (Tajol) suruh saya duduk balik.

“Ketika saya duduk balik, orang lain pun datang berkerumun, takut jadi apa-apa kepada saya dan mereka membantu menyejukkan badan saya seperti membuka kasut dan topi yang saya pakai serta memasang kipas,” katanya.

Abdullah berkata, selepas semuanya kembali seperti sedia kala, beliau bangun dan terus menyerahkan kunci rumah kepada penerima seterusnya.

Ditanya keadaan kesihatannya selepas itu, Perdana Menteri berkata, selepas mendapat tidur yang cukup beliau berasa lebih segar.

Katanya, jadual kerja beliau akan berjalan seperti biasa dan tidak ada apa sebab yang hendak ditangguhkan.



“Jangan bimbang, kerana saya juga menjaga kesihatan saya bukan saya membiarkannya... ubat saya makan tidak pernah gagal,” katanya.

Sementara itu, Dr Sanjiv ketika ditemui mengesahkan kesihatan Perdana Menteri adalah baik.



No comments: