AF5 : Shawal Gagal Ke Final

KEPUTUSAN sudahpun dibuat dan ramai yang sudah maklum pelajar kacak berwajah oriental, Shawal sudahpun tersingkir. Sungguhpun, calon favourite ini berbakat besar, sayang sekali undian SMS untuk Shawal tidak cukup untuk melayakkan dia ke peringkat akhir.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Persembahan penuh emosi dan bertenaga daripada Shawal gagal meraih undi SMS yang cukup untuk melayakkannya ke konsert akhir.



Pengundi hanya berkenan menyaksikan aksi lima pelajar sahaja untuk konsert terakhir yang akan berlangsung pada 19 Mei di Stadium Bukit Jalil.

Kelima-lima mereka adalah Mila, Aswad, Heliza, Candy dan Ebi. Shawal merupakan pelajar terakhir dan kesepuluh, terkeluar pada konsert kesembilan Sabtu lepas. Shawal yang menyampaikan lagu Barry Manilow Copacabana telah memberikan satu persembahan yang agak menarik dengan tarian yang kemas dan penuh stail.

Namun nasib tidak menyebelahi Shawal yang terpaksa menerima hakikat bahawa penyokongnya tidak cukup kuat untuk membawanya ke peringkat akhir. Shawal hanya beroleh dua lampu biru saja.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Gandingan Shawal dan Candy dalam lagu Menari Denganku



Malah persembahan duet Shawal dan Candy pada malam itu dalam lagu Menari Denganku juga gagal menambat hati juri. Walaupun lagu itu penuh bertenaga dengan gerak tari yang cukup synchronise dari Shawal dan Candy, ianya gagal meraih sebarang lampu biru.



Persembahan Candy dalam lagu Datuk Siti Nurhaliza Cahaya Cinta, (dinyanyikan oleh Siti ketika perkahwinannya dengan Datuk K), juga kurang memuaskan hati Jee dan Ogy. Jee tidak suka cara Candy membawa penceritaan lagu itu dan pula Ogy seperti kecewa dengan persembahan Candy minggu ini.

Pakaian Candy yang ala-ala gaun pengantin, labuh berjela tampak tidak sesuai untuk tubuh Candy. Ia menampakkan Candy lebih pendek dari biasa dan pakaian itu juga membataskan pergerakan Candy. Mungkin pakaian itu menyebabkan penyanyi yang paling konsisten ini seperti kurang fokus pada malam itu.

Gadis cili padi, Mila menunjukkan persembahan yang paling memberangsangkan. Vokalnya yang nyaring dan merdu telah digunakan sebaik mungkin ketika mengalunkan lagu Pudar dan ketika berduet dengan Ebi dalam lagu My Heart. Gandingan Ebi-Mila dalam lagu tersebut juga telah membuat ramai penonton di Dewan Sivik, MBPJ teruja melihat keserasian mereka dalam aksi romantis penuh mesra.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Gadis cili padi, Mila menunjukkan persembahan yang paling memberangsangkan.


Kelantangan suara Mila dan Ebi yang menambat hati telah mengundang ramai penonton di dewan untuk memberi 'standing ovation' setelah selesai persembahan mereka.

Mila dan Ebi juga telah mendapat empat lampu biru untuk persembahan mereka dari para juri yang terdiri dari Fauziah Latiff, Loloq (menggantikan Hattan), Ogy Ahmad Daud dan juri undangan Datuk Siti Nurhaliza.


Persembahan Ebi dalam lagu Bukan Diriku juga mendapat komen positif dari pihak juri. Mereka menganggap 'magis' Ebi sudah kembali.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Para pengkritik menganggap 'magis' Ebi sudah kembali.


Heliza pula telah menyanyikan lagu Erra Fazira, Ya Atau Tidak. Gadis jelita bermata galak yang sering mendapat teguran kerana selalu 'control cantik' oleh Ogy telah mengenakan busana hitam yang moden beserta leggings yang ketat dan melekat ditubuh dan sehelai lagi kain jarang disarungkan di atasnya.

Potongan baju ini nampak sungguh glamor sekali tapi sayang sekali ketrampilan begini rasanya tidak sesuai untuk wanita bertudung seperti Heliza.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Aksi Heliza menyampaikan lagu Ya atau Tidak.


Tambahan pula, pergerakan dan kelincahan Heliza ketika menyampaikan lagu ini menyerlahkan lagi keseksian pakaian yang begitu jarang dan agak menjolok mata ini. Namun, para juri berpendapat Heliza telah memberikan satu persembahan yang cukup bertenaga, maka selayaknya dia diberikan empat lampu biru.

Paduan suara Heliza dengan Aswad dalam lagu Joget Cinta Sakti, yang dipopularkan oleh Haziq-Rosma agak menghiburkan. Meskipun, Aswad terlupa sebaris lirik namun ianya tidak mencacatkan persembahan mereka. Aksi bersahaja Heliza dan Aswad ala-ala pelakon Bollywood menolong mencantikkan lagi lagu ini.



Sebelum itu, pelajar yang ditahan di wad kerana disyaki demam denggi, Aswad telah menyampaikan lagu popular Mawi, Mungkin Langitmu Lebih Biru. Sungguhpun Aswad kelihatan tidak bermaya dan pucat, dia telah berjaya memberikan persembahan yang baik. Kemantapan vokalnya menerusi lagu ini berjaya mengundang tiga lampu biru dari pihak juri.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Aswad membuktikan bahawa dia layak ke peringkat akhir.



Namun ketika persembahan pembuka bagi konsert minggu lalu dalam lagu rancak bertenaga bertajuk Let's Dance Together, Aswad telah 'direhatkan'. Lagu tersebut dipersembahkan oleh lima pelajar sahaja tanpa Aswad. Aswad telah dinasihatkan oleh doktor agar mengurangkan pergerakan kerana dia menghadapi kekejangan otot. Dia juga 'direhatkan' untuk persembahan lagu bonus Lagu Gembira dan Menuju Puncak.

Selain berita kekejangan otot Aswad, penyingkiran Shawal, pemilihan lima pelajar ke konsert akhir, juri undangan Datuk Siti dan keputusan undian SMS tidak akan diumumkan, tidak ada apa yang istimewa dalam konsert kesembilan ini.

Gimik yang dijayakan oleh Raja Lawak Yus dan Raja SMS Mawi sepanjang konsert berlangsung agak membosankan dan tidak berjaya mencuit hati penonton, tidak seperti minggu lalu di mana semua gimik yang diselitkan berjaya.

Untuk pertama kalinya juga, Aznil telah memberi laporan terkini kedudukan pelajar dari masa ke semasa. Mungkin juga untuk menolong pelajar yang tercorot atau menaikkan undian SMS secara keseluruhannya.

Yang jelas, laporan ini berjaya menolong Mila yang umum tahu tidak mempunyai sebarang fan club untuk membantunya. Pelajar genit ini hanya mengharapkan persembahan cemerlangnya untuk mendapat undi SMS.








No comments: