Cerita 3 Sahabat - Awal, Beego & Que-Haidar

APAKAH yang penting dalam hidup ini? Wang ringgit bukan? Bayangkan kalau hidup tanpa wang ringgit, segalanya akan jadi serba tak kena. Selain wang, sahabat juga penting.

Tanpa sahabat hidup juga tidak bermakna. Kedua-dua elemen itu amat penting bagi kita yang bergelar manusia.

Apa yang hendak saya ketengahkan pada pada minggu ini sejauh mana kita menghargai sahabat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Inilah tiga sahabat. Do Re Me tahun 2007.



Kerana apa? Kita kadangkala terlalu mengambil ringan soal sahabat. Kita juga kadangkala terlupa orang yang banyak menolong dalam setiap kesusahan juga sahabat.

Tapi sejauh manakah perhatian kita terhadap sahabat itu melainkan hanya tahu mengambil kesempatan ataupun akan menempel kala mengalami kesusahan.



Sahabat mampu membuatkan kita tersenyum, ketawa ataupun menangis. Malah mempunyai sahabat yang baik dan boleh berkongsi masalah tentunya akan menjadikan hubungan itu lebih akrab.

Tiga orang pelakon ini iaitu Beego, Que-Haidar dan Awal mengakui mereka merupakan sahabat sejati. Seorang lagi yang karib dengan mereka ialah anak Amy Search iaitu Nabila. Tetapi di dalam fotografi ini dia tidak dapat bersama kerana ada urusan keluarga.

Kata Awal, menjadi sahabat yang baik sehingga boleh berkongsi makan satu pinggan bukannya mudah. Sahabat akan memahami perasaan sahabatnya dan sentiasa menjaga hati masing-masing. Itulah murninya sahabat dan bukannya menikam dari belakang.

Beego mengenali Que-Haidar sejak kecil kerana kedua-dua mereka mempunyai pertalian saudara dan sama-sama menetap di Johor. Ketika zaman persekolahan hubungan mereka tidak begitu rapat ibarat ‘aku - kau’ sahaja.

Sebaik sahaja melangkah ke Kuala Lumpur, barulah mereka bertemu dek kerana terlibat dalam bidang yang sama iaitu sebagai pelakon. Bermula dari situlah hubungan itu semakin erat.



Begitu juga dengan Awal. Dia mengenali Beego terlebih dahulu ketika menjadi pengacara rancangan Beat TV di Astro. Pada ketika itu Awal berpeluang menemu ramah Beego yang merupakan anggota kumpulan Phyne Ballerz. Kali kedua pula mereka bertemu ketika penggambaran drama Puteri.

Sementara Awal mengenali Que-Haidar ketika mereka mengikuti rombongan ke Indonesia tahun lalu dan bermula dari situlah hubungan mereka bertambah baik.

Secara tak langsung ketiga-tiga mereka pula mengenali dan berkawan rapat dengan Nabila dan akhirnya menjadikan mereka bagaikan empat serangkai.

Hampir setahun menjalinkan ikatan persahabatan, ketiga-tiga mengakui antara formula untuk menjadi rakan yang baik ialah kejujuran, hormat dan mempunyai perasaan sayang antara satu sama lain.

Jika elemen itu dibawa di dalam diri seseorang tentunya setiap masalah itu akan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Mengakui antara mereka pernah juga berselisih faham ataupun berbeza pendapat namun peranan orang lain penting untuk membolehkan hubungan yang keruh itu kembali jernih.

Awal dan Beego contohnya pernah bermasam muka kerana satu insiden kecil. Kedua-dua mereka mengadu masalah itu kepada Que-Haidar dan dia yang terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya, mereka bersatu semula.





Dituduh gay


Lelaki dengan lelaki apabila baik tentulah masyarakat akan memandang serong. Perkara itu dilalui sendiri ketiga-tiga mereka. Mereka pernah dikaitkan mempunyai hubungan yang tidak sihat gara-gara hubungan yang rapat itu tetapi terus terang mereka boleh memikirkan sesuatu itu dengan rasional.

‘‘Orang pernah kata saya gay. Ada orang juga pernah tuduh Awal dan Que-Haidar ada hubungan lebih daripada seorang kawan. Semua cerita itu sampai kepada kami sebaliknya orang yang mengata itu tak tahu kami sebenarnya berkawan baik.

‘‘Malahan keluarga kami juga saling kenal-mengenali di antara satu sama lain. Kami akui kalau tiada seorang daripada kami termasuklah Nabila, kami akan rasa kesunyian,” cerita Beego.

Dalam sibuk bercerita mengenai tuduhan itu, Awal dan Que turut menunjukkan mesej (SMS) daripada Nabila yang mengatakan perasaan rindu tidak berjumpa dengan mereka.

Celah Awal pula, tanggapan buruk itu timbul kerana di dalam perbualan mereka kadang-kadang diselit kata-kata seperti ‘hello sayang’, ‘bye sayang’, yang membuatkan orang salah faham.



Bagi Awal perkara itu tidak salah asalkan tidak melakukan perbuatan yang melampaui batas.

‘‘Mungkin bila orang terdengar kami berborak dengan kata-kata sayang itu membuatkan mereka salah faham. Seperti yang saya katakan, sayang kami sebagai kawan. Sebab itulah hubungan kami boleh bertahan lama,” cerita Awal.

Akui Que pula, di antara mereka bertiga, Beego dianggap sebagai abang iaitu orang yang paling banyak memberikan nasihat dan lebih diplomasi.

Bagaimanapun hubungan baik mereka kadangkala dicemburui oleh segelintir rakan artis yang mula menyebarkan perkara tak betul selain berusaha untuk memecahbelahkan mereka.

Bagaimanapun mereka tidak mudah untuk menerima berita-berita seperti itu sebaliknya akan cuba menjauhkan diri dengan golongan sedemikian.


Faktor lain membuatkan hubungan itu boleh kekal lama jelas Beego, mereka tidak mempunyai perasaan dengki.

‘‘Kalau saya tak dapat nak berlakon di dalam sesebuah drama, saya akan berikan tawaran itu kepada Awal atau- pun Que-Haidar. Begitulah sebaliknya. Kalau ketiga-tiga kami tak dapat, kami akan cadangkan artis lain.

‘‘Kami tak macam sesetengah orang apabila sesebuah syarikat produksi mencari artis, mereka berpura-pura tidak tahu untuk berhubung dengan artis lain kerana tak mahu tawaran berkenaan akan terlepas. Cara itu kami cuba hindari jauh-jauh,” kata Beego.

Walaupun apa orang nak kata, apa yang penting bertiga memang sahabat yang baik. Tidak peliklah kalau mereka berbual pun ada perkataan ‘I love you’ yang terkeluar.





Awal berdebar menanti Diva


Filem Diva hasil usaha sama antara Malaysia dan Indonesia lebih setahun menjalani penggambaran dan pernah beberapa kali terhenti proses penggambarannya. Akhirnya filem itu bersedia untuk ditayangkan pada 23 Jun akan datang yang merupakan filem pertama lakonan Awal.

Akui Awal, dia berdebar menanti kehadiran filem itu kerana ia merupakan pengalaman pertamanya beraksi sebagai pelakon.

‘‘Lebih setahun ia terhenti tetapi itu tidak mematahkan semangat saya. Sebaliknya saya bersedia menerima kutukan dan kritikan masyarakat untuk melihat sejauh manakah kemampuan saya membawa watak Jay dalam filem itu,” kata Awal.

Selepas program Sensasi di TV3 yang telah diharamkan penyiarannya, Awal mendapat tawaran untuk mengendalikan sebuah program realiti televisyen X-Rail terbitan RTM dan kembali mengacara One In A Million terbitan 8TV.

Akui rezekinya semakin murah sekarang ini Awal berharap impiannya untuk berjaya dalam bidang lakonan dan pengacaraan akan berhasil.





Beego bertunang Julai


Kehadiran 7 Julai 2007 merupakan detik yang bermakna bagi Beergo kerana dia akan bertunang dengan rakan sekolah yang dikenalinya sejak sembilan tahun lalu.

Majlis pertunangan sempena tarikh 07.07.07 itu adalah cukup istimewa kerana Beego merupakan anak pertama dalam keluarganya yang akan melangsungkan majlis itu. Sebagai anak pertama tentunya majlis tersebut akan diadakan begitu meriah.

Menurut Beego, mereka dijadual bernikah pada 28 Disember dan diikuti majlis persandingan di rumah pengantin perempuan pada 29 Disember sementara di rumah pengantin lelaki sehari selepas itu. Ia akan diadakan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Beego juga telah menempah pakaian pengantin dari butik Jovian Mandagie sebanyak lapan pasang termasuk pakaian pengantin perempuan.

Untuk tidak nampak seolah-olah dia menunjuk, Beego enggan memberitahu jumlah hantaran dan kos persiapan perkahwinan yang penuh warna-warni itu.



‘‘Ibu saya yang nak sangat buat majlis ini meriah. Untuk kawan-kawan terdekat dan pihak media, saya akan adakan satu majlis khas di Kuala Lumpur.

‘‘Segala kos perkahwinan termasuk hantaran itu biarlah rahsia saya dan keluarga kerana tak manis kalau orang tahu,” kata Beego.

Menurutnya buat masa ini dia belum bersedia mendedahkan siapakah gadis itu tetapi cukuplah memberitahu bakal isterinya bertugas sebagai perunding sumber manusia di sebuah syarikat swasta.

Dalam sibuk menempuh gerbang perkahwinan, Beego turut sibuk untuk menghasilkan album solonya yang akan dibiayai oleh pengarah Aziz M.Osman.

‘‘Insya-Allah, album baru saya berkonsepkan R&B akan muncul nanti. Album itu adalah untuk kepuasan saya dan juga Aziz yang meminati muzik,” katanya.





Tuah filem kontroversi - Que-Haidar


Filem Badai Pasti Berlalu yang ditayangkan beberapa hari lalu dikatakan agak kontroversi kerana Que dikatakan tergamak mengambil watak yang dianggap cebisan di dalam filem itu.

Hanya ada tiga babak dalam filem itu, walaupun kecil Que menganggap pembabitannya itu telah membuka ruang yang luas terhadapnya di dalam bidang lakonan.

‘‘Mulanya saya ada enam babak tetapi selepas dipotong cuma ada tiga babak sahaja. Ramai orang yang mengutuk saya tetapi mereka terlupa, kerana filem usaha sama Indonesia dan Malaysia itu, saya mendapat tawaran pengarah filem tersebut untuk terlibat dalam filem terbarunya,” katanya.

Walaupun agak sedih kerana diperkecilkan sebegitu rupa namun bagi Que peluang berkenaan tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.





Profil



Awal
Nama penuh: Ahmad Awaluddin Ashaari

Nama panggilan: Awal

Tarikh lahir: 6 Ogos 1981

Umur: 26 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 72 kilogram

E-mel: awal.fc@gmail.com




Beego
Nama penuh: Md. Aszerul Nizam

Nama panggilan: Beego

Tarikh lahir: 24 November 1980

Umur: 27 tahun

Tempat lahir: Johor Bahru, Johor

Tinggi: 170 sentimeter

Berat: 72 kilogram

E-mel:sha_sze@yahoo.com




Que-Haidar
Nama penuh: Tengku Iskhan Shah Tg. Haidar

Nama panggilan: Que-Haidar

Tarikh lahir: 30 Mei 1979

Umur: 27 tahun

Tempat lahir: Johor Bahru

Tinggi: 175 sentimeter

Berat: 62 kilogram

E-mel: Qhaidar@gmail.com






Sumber : Mingguan Malaysia Edisi 13-05-2007




Kata Izalsyah; "Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti, Do....." Ahaks!





No comments: