Gadis Berani Mati!

KUALA LUMPUR: Segelintir gadis sanggup memperjudikan nyawa untuk bergelar Minah Rempit semata-mata mahu membuktikan kehebatan masing-masing memecut motosikal sambil melakukan pelbagai aksi berani mati.

Semakin ramai gadis seperti itu, terutama lepasan sekolah berani menempah maut dengan melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘wikang’ setanding Mat Rempit, malah tidak takut dicabar berlumba.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Mereka mula berjinak dengan dunia Minah Rempit bukan sekadar mengejar keseronokan di jalan raya, malah untuk mendapatkan pasangan seks di kalangan rakan ‘seperjuangan’.

Gejala itu didedahkan seorang bekas Minah Rempit berusia 17 tahun dikenali sebagai Lia yang menyatakan pelumba haram perempuan sejati bukan calang-calang orang kerana jiwa mereka kental setanding Mat Rempit yang ‘hati kering’ dan berani melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘wikang’.

“Pembabitan kebanyakan kami bermula melalui perkenalan singkat dengan golongan Mat Rempit sebelum sering diajak ‘rewang’ di Dataran Merdeka, ronda sekitar Hartamas, Bangsar atau bersiar di Genting Hinglands pada hujung minggu.



“Mulanya menjadi pembonceng, kemudian minat belajar menunggang motosikal, apatah lagi apabila diberi galakan oleh ‘pakwe’ masing-masing,” katanya yang kini insaf dan ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah, Selangor.

Selepas itu, katanya, cinta terhadap motosikal mula berputik menyebabkan mereka sanggup meminjam motosikal rakan untuk mengasah bakat.

Daripada hanya berani menunggang motosikal pada kelajuan sekitar 70 kilometer sejam, dia akhirnya mampu memecut sehingga 130 kilometer sejam.

Namun, menurut Lia, kemahiran itu yang diasah hampir tiga bulan masih belum mencukupi apabila menyaksikan ada antara rakan mampu melakukan beberapa aksi berani ketika menunggang motosikal.

Menceritakan pengalamannya, Lia berkata, boleh dikatakan semua gadis yang menyertai kumpulan lumba haram sudah ‘rosak’ kerana terpaksa menjadi ‘hidangan’ Mat Rempit yang memenangi perlumbaan jika tiada wang cagaran.



Malah, katanya, dia sendiri nyaris menjadi mangsa pertaruhan apabila teman lelakinya kalah dalam satu perlumbaan haram menyebabkan dia terpaksa mengikut pemenang semalaman.

Bagaimanapun, lelaki yang memenangi perlawanan itu beralah dan sanggup menerima wang saja selepas dia berkeras tidak mahu mengikutnya.

Sementara itu, seorang lagi Minah Rempit yang ditemui berkata, dia mula belajar menunggang motosikal selepas dicabar teman lelakinya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Jun, 21, berkata teman lelakinya yang dikenali sebagai Man Top kemudian mengajarnya menunggang motosikal walaupun menyedari dia tidak mempunyai lesen.

“Beberapa minggu kemudian, saya sudah berani membuat aksi Superman, ‘wheelie’ dan akrobatik mudah dengan motosikal Yamaha RXZ miliknya,” katanya.



Menurutnya, dia dan beberapa rakan wanita lain kerap berlumba bukan untuk wang atau seks, sebaliknya menunjukkan kehebatan kepada Mat Rempit yang sering melepak di laluan Kompleks Pertama, Medan Mara, Hotel Quality, Maju Junction dan Sogo, setiap malam minggu.

Mengulas gejala tidak sihat itu, Presiden RD Club, Azhanyzam Zakaria yang pernah menjadi Mat Rempit, berkata pelumba haram zaman sekarang lebih agresif berbanding era 90-an, apatah lagi dengan kemunculan segelintir Minah Rempit yang turut mahu menunjuk kehandalan.

Dia turut terkejut apabila ada Minah Rempit muncul di persada lumba haram semata-mata untuk membuktikan keberanian setanding dengan lelaki.

“Golongan Minah Rempit yang terbabit dengan lumba haram itu langsung tidak memikirkan keselamatan diri ketika menunggang motosikal secara berbahaya di tengah jalan raya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Minah Rempit yang sudah insaf ada menyertai RD Club yang ditubuhkannya khusus untuk mengumpul bekas Mat Rempit dan Minah Rempit yang sudah kembali ke pangkal jalan.



No comments: