'Si Badut' Bawa Ganja

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal berseluar seperti badut ketika ditahan, tetapi wajahnya yang cemas menimbulkan syak kepada anggota polis di sekatan jalan raya berhampiran Seksyen 2, Wangsa Maju.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam, lelaki berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Wangsa Maju untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Dia yang berseluar panjang dan baju-T diminta menunjukkan lesen memandu dan cukai jalan motosikal.

“Walaupun memiliki lesen memandu sah, namun wajah cemas dan tidak tentu arah membuatkan anggota polis mengesyaki sesuatu.

“Polis kemudian meminta lelaki terbabit berdiri sebelum mendapati seluar dipakainya terlalu besar berbanding badannya yang kurus.



“Berikutan itu, dia diarah mengeluarkan semua barang yang disimpan dalam seluar untuk pemeriksaan lanjut. Anggota polis terkejut apabila menemui satu bungkusan dibalut kertas surat khabar di bawah kemaluannya.

“Dadah itu disorok dalam seluar dalamnya,” kata sumber polis, semalam.

Menurutnya, siasatan kemudian mendapati bungkusan surat khabar itu berisi ganja mampat seberat kira-kira 100 gram.

Dia baru mengambil bekalan ganja itu di pusat bandar raya selepas membelinya pada harga RM400.

‘Si badut’ yang tinggal di Taman Sri Rampai itu cuba mengedar ganja berkenaan yang mampu dijadikan bekalan selama sebulan.


Berikutan penangkapan itu, dia yang bekerja sebagai kerani dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk siasatan.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau boleh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, polis merampas sebuah motosikal curi yang ditunggang seorang remaja berusia 19 tahun, kira-kira jam 4.30 pagi.

Polis mendapati motosikal itu dilaporkan dicuri di Sungai Besar, Selangor, sebelum dibawa ke ibu kota.







No comments: