Upacara Tarik Duit

KUALA LUMPUR: Semata-mata ingin menjadi jutawan segera, segelintir umat Islam sanggup menggadai akidah apabila giat menjalankan upacara khurafat tarik duit dengan menggunakan barangan daripada anggota babi, pembacaan mantera serta jampi serapah yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun terbabit dalam aktiviti khurafat itu, golongan berkenaan mengaku jumlah wang paling banyak yang berjaya mereka ‘tarik’ cuma RM2,050, sedangkan modal yang dilaburkan, termasuk untuk memberi peralatan dan upah ‘guru’, mencecah RM260,000.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Anggota geng tarik duit yang aktif di ibu negara dan hanya dikenali sebagai Basir, 50, berkata dia terbabit dengan aktiviti itu sejak 10 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia dan ahli kumpulannya bergerak di seluruh negara untuk melakukan kegiatan mereka.

“Kami percaya wang dan harta karun dari alam ghaib boleh dijelmakan di alam nyata kerana kami sudah membuktikannya. Sudah beberapa kali kami berjaya melakukannya.

“Namun, sehingga hari ini jumlah wang paling tinggi pernah kami peroleh cuma RM2,050 yang menjelma dalam bentuk sireh junjung, manakala bagi harta karun pula, sesetengahnya pada awalnya menjelma dalam bentuk emas tetapi lama kelamaan bertukar menjadi tembaga.



“Begitu juga wang, ada menjelma di depan mata tetapi tiba-tiba hancur atau hilang kerana ada kekurangan yang tidak kami sedari,” katanya.

Basir berkata, sepanjang pembabitannya dalam kegiatan itu, dia mengakui ramai ‘guru’ daripada kalangan bomoh adalah penipu.

“Pelbagai jenis ‘guru’ sudah kami temui. Ada bomoh diraja dan ada juga bomoh cacat penglihatan. Bagaimanapun, untuk mencari yang benar-benar handal memang sukar,” katanya.

Basir mendakwa, pada masa ini wujud banyak kumpulan lain melakukan upacara tarik duit seperti dilakukan kumpulannya.

“Realitinya, ramai di kalangan masyarakat kita, terutama Melayu, taksub dengan kegiatan tarik duit. Ada juga yang muflis kerana terjebak dengan kegiatan itu,” katanya.



Ditanya mengapa dia dan kumpulannya masih aktif, Basir berkata, sukar untuk dia menjelaskannya.

Katanya, kegiatan itu sukar ditinggalkan kerana sebati dengan diri dan ahli kumpulannya.

“Kami memang masih aktif, tetapi kami profesional kerana semua barangan untuk melakukan upacara tarik duit dan harta karun ada dalam simpanan kami.

“Kami tidak lagi bersusah payah ke sana ke sini mencari barang aneh, sebaliknya kami menyediakan barangan itu. Sebut apa saja barang, semua kami ada,” katanya.

Basir mendakwa semua barangan dimiliki kumpulannya adalah asli dan sukar ditemui di tempat lain.



“Kemenyan yang kami gunakan berharga RM3,800 sekilogram dan hanya boleh diperoleh dari negara Timur Tengah. Minyak zafran pula ada yang berharga RM38,000 dan RM28,000 sebotol. Keseluruhan barangan yang ada pada kami harganya mencecah RM260,000. Kami bersedia menjualnya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai barang atau peralatan yang digunakan untuk upacara tarik duit, Basir berkata, barang diperbuat daripada anggota babi hutan dikatakan memiliki kuasa paling hebat berbanding peralatan lain dan ia juga dipercayai mampu memberi kekebalan.

Katanya, menggunakan peralatan daripada babi hutan memang berisiko tetapi kerana mempercayai kuasa pada bahan itu, dia dan ahli kumpulannya sanggup menggunakannya.

“Ada ahli kumpulan kami mempunyai sifat seperti babi apabila menggunakan barangan itu. Kesan penggunaannya menakutkan kerana selepas barangan dijampi menggunakan mantera tertentu, pemakainya mendengus dan menyondol apa saja di depannya sehingga mencederakan diri sendiri.

“Kami juga mengalami gatal pada kulit yang sehingga hari ini meninggalkan parut,” katanya.



Basir berkata, barangan daripada babi hutan yang digunakan kumpulannya ialah rantai babi, cemara babi dan kolum babi.

Katanya, rantai itu mempunyai 13 lubang dan diperoleh dari rahang mulut babi hutan, manakala cemara dan kolum babi berbentuk seperti cebisan bulu diperoleh sama ada dari dalam mulut atau dagu babi hutan.

“Untuk memperolehnya bukan mudah kerana hanya yang bernasib baik mampu memilikinya. Biasanya peralatan itu diperoleh ketika babi terbabit berkubang kerana ketika itu peralatan yang ada pada babi itu ditinggalkan buat sementara waktu,” katanya.

Basir berkata, dia dan ahli kumpulannya percaya semua barangan itu tidak boleh disimpan begitu saja kerana perlu diberi hidangan memandangkan ada ‘khadam’ menjaganya.

“Rantai babi mempunyai ‘khadam’ atau jin dinamakan ‘Peeng Krong’, cemara babi pula ialah ‘Kunton dan Tok Nak’ manakala kolum babi mempunyai khadam bernama ‘Awen Duri’.


“Untuk rantai babi, kami perlu merendamnya dengan hempedu bercampur darah babi sebagai hidangan kepada ‘khadam’, manakala cemara babi dan kolum babi makanannya adalah batang keladi, kelapa dan santan,” katanya.

Basir berkata, selain barangan daripada anggota babi, ada peralatan lain digunakan seperti batu delima, kemenyan hitam, kemenyan merah, kemenyan kristal dan minyak Zafran yang dikatakan makanan jin.

“Paling penting perlu ada ‘guru’ yang mempunyai ilmu melaksanakan upacara itu,” katanya.

Basir berkata, selepas semua syarat mencukupi, upacara tertentu membabitkan mantera dan bacaan lain dilakukan bagi menyeru makhluk ghaib yang boleh menjelmakan wang seperti dikehendaki.

“Untuk melakukan upacara itu, ia tidak kira masa dan tempat. Asalkan peralatan mencukupi dan ada ‘guru’ yang berkemampuan, ia boleh dilaksanakan,” katanya.





Tidak kebal


BAGI membuktikan kegiatan tarik duit benar-benar berlaku, Basir membawa wartawan Metro Ahad melihat ‘modus operandi’ kumpulan itu. Ikuti pengalaman ASMIZAN MOHD SAMIRAN bersama mereka.

“BASIR memberitahu saya, satu upacara tarik duit akan diadakan. Waktu dijanjikan adalah jam 11 malam dan upacaranya dilakukan di satu lokasi tersorok di pinggir ibu kota. Tiba waktu dijanjikan, saya tiba ke lokasi itu bersama Basir.

Turut serta ialah ahli kumpulannya, termasuk beberapa individu yang sanggup datang dari Kedah. Ketua kumpulan yang mahu menggunakan barangan atau peralatan kumpulan Basir masih belum kelihatan.

Bagaimanapun, saya terkejut melihat kira-kira 15 orang berkumpul di kawasan itu.

Menurut Basir, 15 orang itu adalah ahli kumpulan yang mahu menggunakan barangan kumpulan Basir. Ketika itu suasana cukup meriah dengan gelak ketawa.



Barangkali, kerana terlalu teruja kononnya mereka akan menjadi ‘jutawan segera’, ada yang menyimpan angan-angan mahu membeli kereta mewah jenis Mercedes dan BMW. Lebih membuatkan suasana semakin ‘hangat’, ada yang menyebut wang yang bakal ditarik berjumlah RM90 juta!

Tepat jam 12 tengah malam, ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Jaya, berusia 40-an, tiba bersama ‘guru’nya, warga Indonesia.

Saya bagaikan tidak percaya melihat guru yang didakwa hebat ilmunya dan dikatakan baru keluar daripada pertapaan. Ini kerana susuk tubuhnya kecil dan lebih meragukan adalah cara dia berpakaian — kemeja lengan pendek dan berkasut sukan.

‘Guru’ yang dikatakan hanya memahami bahasa Jawa itu dibawa Jaya memasuki sebuah pondok sementara yang disediakan khusus untuk upacara berkenaan.

Tanpa berlengah, Basir dan Jaya memainkan fungsi masing-masing. Basir mengeluarkan rantai babi hutan yang menjadi bahan utama untuk upacara itu, manakala Jaya mengeluarkan tujuh jenis bunga dan setandan pisang emas seperti disyaratkan.



Jaya kemudian menyatakan hasrat mencuba kehebatan barangan dimiliki Basir. Jika terbukti kebal, baru upacara boleh dimulakan.

Sekeping mata pisau pencukur dihiris di rambut Basir, tetapi apa yang berlaku tidak seperti diharapkan. Barangan Basir didapati tidak kebal apabila helaian rambut Basir dapat dipotong dengan mudah.

Tidak puas hati dengan keputusan itu, Basir meminta orang di sekelilingnya menjauhkan diri kerana khuatir ada yang membawa barangan tertentu menyebabkan rantai babi itu tidak kebal.

Sekali lagi rambutnya dihiris, tetapi keputusannya tetap sama. Mahu tidak mahu, Jaya terpaksa membatalkan upacara dirancang kerana barang yang Basir miliki tidak kebal.

Jaya berkata, tiada gunanya jika meneruskan upacara kerana ia pasti tidak menjadi. Dia kemudian meminta izin untuk pulang bersama gurunya. Ini diikuti ahli kumpulannya yang masing-masing jelas kecewa.



Begitu juga ahli kumpulan Basir, termasuk Basir. Kerana tidak puas hati, Basir memotong rambut beberapa ahlinya, tetapi aneh apabila rambut yang dihiris tidak pula putus.

Ketika itu kedengaran banyak rungutan. Masing-masing memberikan pelbagai teori. Ada yang mendakwa tidak cukup syarat dan ada juga yang mendakwa ramai yang hatinya tidak ikhlas.

Begitupun, bagi Basir dan ahli kumpulannya, kegagalan itu menjadi kebiasaan, tetapi mengakui tidak pernah jemu untuk meneruskannya semula.





Alang terpengaruh ajakan kawan


KUALA LUMPUR: “Dulu, kehidupan saya mewah. Saya memiliki sebuah pusat mencuci kereta dan dua kedai makan, selain kerja tetap dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

“Ketika itu melancong ke luar negara menjadi kebiasaan dan saya juga mampu membela lima kuda dengan kos penjagaannya mencecah RM300 sehari.

“Bagaimanapun, gara-gara terjebak dalam kegiatan tarik duit dan harta karun, saya kini jatuh miskin,” kata lelaki berusia 48 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alang.

Alang berkata, kerana sikap tamak mahu menjadi lebih kaya, dia terpengaruh dengan pelawaan beberapa rakannya yang mendakwa kegiatan itu mampu menjadikannya ‘jutawan segera’.

Katanya, sejak terjebak dalam kegiatan itu kira-kira 15 tahun lalu, dia berhabis ratusan ribu ringgit dan pernah beberapa kali kehabisan wang sehingga terpaksa meminjam daripada orang lain.



“Saya sanggup membeli barangan aneh yang dikatakan kebal, walaupun dengan harga tidak munasabah. Pada masa sama, saya menanggung kos tinggi membawa ‘guru’ dari Indonesia yang dikatakan hebat ilmunya.

“Saya juga sanggup membuang wang, masa dan tenaga ‘mengembara’ ke seluruh Malaysia semata-mata mahu mendapatkan barangan yang dikatakan mampu menjelmakan wang dan harta karun dari alam ghaib ke alam nyata,” katanya.

Alang berkata, sepanjang mengikuti upacara tarik duit dan harta karun, dia tidak pernah memperoleh hasilnya, tetapi yang membuatkannya yakin kegiatan itu mampu memberinya kekayaan adalah rakan yang turut terbabit dalam kegiatan itu ‘meracuni’ pemikirannya.

“Saya disogokkan dengan pelbagai cerita kononnya ada yang pernah berjaya memperoleh keuntungan jutaan ringgit hasil kegiatan tarik wang dan harta karun.

“Memandangkan saya jenis mudah dipengaruhi, saya percaya cerita mereka dan terus menyimpan impian menjadi jutawan segera,” katanya.


Bapa dua anak itu berkata, selepas beberapa tahun aktif dalam kegiatan itu, simpanannya semakin susut, hilang pekerjaan, malah perniagaannya terpaksa ditutup.

“Penangan kegiatan tarik wang dan harta karun memang hebat. Saya bagaikan hilang arah apabila terlampau taksub dengan kegiatan itu.

“Saya lupakan pekerjaan sehingga kerap ponteng, manakala perniagaan diabaikan. Akibatnya saya dibuang kerja dan perniagaan lama-kelamaan merosot sehingga terpaksa ditutup,” katanya.

Alang berkata, rumah tangganya juga bergolak, tetapi mujur tidak berakhir dengan perceraian apabila dia mula sedar dan menyesal.

“Apabila kehabisan wang dan mula hidup susah, baru saya sedar. Rakan yang mempengaruhi saya pula hilang entah ke mana.



“Kini saya tiada pekerjaan tetap dan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk terus hidup. Saya hanya mampu berteduh di rumah setinggan berbanding rumah teres berharga lebih RM200,000 sebelum itu,” katanya.

Alang berkata, sehingga kini memang wujud banyak kumpulan tarik wang dan harta karun di negara ini.

“Ramai masih belum sedar walaupun dalam tempoh 20 tahun terjebak dalam kegiatan itu tanpa hasil,” katanya.





Pengamal perlu bersyahadah semula


KUALA LUMPUR: Bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah semula. Itu saranan tokoh agama kepada sesiapa yang terbabit dengan kegiatan tarik duit dan harta karun.

Ini kerana kegiatan seperti itu merosakkan akidah, termasuk dalam amalan khurafat dan membawa kepada syirik.

Pendakwah bebas, Mohamad Rani Awang Besar, berkata penggunaan barangan aneh yang dikatakan mempunyai ‘khadam’ iaitu jin juga membuktikan kumpulan yang melakukan kegiatan itu mempercayai sesuatu selain daripada Allah SWT.

“Paling menyedihkan, ada yang sanggup guna bahan daripada babi hutan. Sudah jelas, dalam hukum Islam haiwan itu tergolong dalam kategori najis mughallazah, tetapi masih ada umat Islam sanggup memujanya,” katanya.

Mohamad Rani berkata, sesiapa yang terbabit dengan kegiatan songsang itu perlu ‘berpijak di bumi nyata’ kerana ia kepercayaan karut.



“Jika ada yang mendakwa pernah memperoleh hasil daripada kegiatan itu, ia berlaku kerana bantuan jin dan Islam melarang perbuatan itu. Untuk mendapatkan kekayaan, tiada jalan pintas. Kita perlu berusaha dan bekerja keras,” katanya.

Bekas Imam Masjid Abu Bakar, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, kesan terbabit dalam kegiatan itu bukan setakat merosakkan akidah, tetapi pada masa sama mampu meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat.

“Jika terlampau leka, anak dan isteri diabaikan sehingga rumah tangga hancur. Ada juga pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan penipuan kerana individu yang taksub dengan kegiatan itu sanggup melakukan apa saja, termasuk berbelanja besar sehingga kehabisan wang, bagi merealisasikan hasrat menjadi ‘jutawan segera’,” katanya.

Mohamad Rani berkata, umat Islam perlu berpegang teguh dengan ajaran Islam dan kembali kepada al-Quran dan sunnah bagi mengelak terjebak dalam kegiatan seperti itu.





No comments: