AF5 : Mila Juara!

GADIS manis berusia 19 tahun dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ini bukan saja bergelar juara Akademi Fantasia musim kelima. Malah, Norsyarmilla Jirin atau Mila juga membuktikan, dia mampu menjadi juara di hati wartawan, menerusi personaliti menarik dan kebijaksanaan menjawab pertanyaan.

Setiap ayat yang disusun, jelas dan nyata. Begitu juga dia pandai melontarkan kata ketika menjawab segala pertanyaan yang diajukan kepadanya, sebaik saja muncul juara wanita pertama program pertandingan nyanyian realiti paling popular negara ini. Lalu, sesi soal jawab bersamanya jadi mudah buat semua pihak.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
TERUJA: Pengetua AF5, Roslan Aziz menjulang tangan Mila sebagai juara AF5.



Sungguh berbeza perwatakan gadis genit ini dibandingkan beberapa juara program ini sebelumnya. Tidak perlu diasak soalan bukan-bukan, Mila hadir dengan jawapan memuaskan. Bahkan, dia membuka bicara dengan mengucapkan terima kasih kepada kalangan wartawan bertugas yang setia menunggu sehingga sesi sidang akhbar dilangsungkan, walaupun jam di tangan sudah menunjukkan waktu melewati 1 pagi.

Ditanya apakah di benak fikirannya dia pernah terfikir untuk bergelar seorang juara, anak gadis yang menyambut ulang tahun hari lahir setiap 23 Disember ini sebaliknya mengaku, pada setiap konsert, dia akan mengemaskan barang peribadinya.

“Pada minggu pertama dan kedua, Mila dapat lihat, tidak ada kain rentang untuk Mila. Kalau boleh, Mila ingin berterima kasih kepada Zana yang menarik diri. Jika tidak, mungkin pada ketika itu, Mila akan tersingkir.



Mila dapat lihat juga, ada pelajar dengan suara lebih baik tetapi tersingkir. Dari situ, Mila tanamkan azam untuk memberikan sesuatu yang lebih baik,” katanya yang mengakui terkena kejutan budaya pada peringkat awal pertandingan.

Nyata sekali, berbekal bakat dan kesungguhan, Mila tidak perlukan kejutan bukan-bukan untuk mendapat undian. Tidak perlukan kain rentang atau kehadiran segerombolan anggota keluarga memenuhi dewan, Mila masih mampu memikat jutaan peminat untuk memilihnya memiliki mahkota AF5.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
CIPTA SEJARAH: Mila juara wanita pertama Akademi Fantasia.



Katanya, dia bernasib baik apabila tenaga pengajar banyak memberikan tunjuk ajar, biarpun mereka sedar dia seorang pelajar yang bukan cepat menerima teguran. Baginya, pengajian di akademi ialah proses yang berjalan peringkat demi peringkat.

Ditanya apakah pekikan dan sorakan yang gemuruh di Stadium Putra memberikannya keyakinan untuk memenangi pertandingan akhir berkenaan, seterusnya membawa pulang hadiah yang cukup lumayan, Mila pantas berkata, dia langsung tidak berfikiran sedemikian.

“Bagi Mila, kejayaan ke final saja sudah menjadi hadiah paling berharga buat dirinya. Hadiah seperti rumah dan kereta itu hanyalah berbentuk material. Mila cuma ingin mengadakan persembahan terbaik buat peminat yang menyokong Mila,” ujar gadis yang meminati Anita Sarawak ini.


Azamnya selepas menamatkan pengajian di AF5 ialah melipatgandakan usaha kerana dia tahu, jalan yang menanti di hadapan lebih banyak onak dan durinya.

“Mila sedar, pelbagai cabaran menanti Mila apabila melangkah keluar daripada akademi. Bukan mudah untuk Mila hadapi. Jadi, Mila kena gandakan usaha untuk memajukan diri. Mila perlu tunjukkan yang Mila benar-benar berusaha supaya orang ramai tidak mempertikaikan kemenangan Mila malam ini,” katanya yang pernah menyanyi di lounge dan kenduri kahwin, sebelum menyertai program AF5.





Persembahan final sekadar sederhana, tiada kejutan


SELAYAKNYA Mila dinobatkan juara pada malam kelmarin kerana pada konsert akhir berkenaan, dia menjadi satu-satunya finalis yang mendapat empat lampu biru daripada pengkritik, bagi kedua-dua lagu yang didendangkan di depan lebih 7,000 penonton di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menyanyikan lagu baru ciptaan Ajai dan Loloq, Persis Mutiara sebagai lagu pertama, diikuti lagu Cinta Pura-Pura, Mila memberikan persembahan meyakinkan. Biarpun tubuhnya kecil, bakatnya besar. Dia menunjukkan contoh terbaik sebagai pelajar yang mampu menyanyikan pelbagai lagu dengan penuh bergaya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Mila tunjuk taring pada malam tersebut dengan lagunya Persis Mutiara.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Maka, tidak hairanlah apabila juri undangan, Mamat Khalid, mengatakan betapa rugi mereka yang memilih untuk menonton perlawanan bola sepak (antara Manchester United dan Chelsea), kerana mereka terlepas menyaksikan persembahan hebat anak gadis dari Utara ini. Kata Hattan pula, nada suara Mila boleh membuatkan peminat tidak tidur lena.

Begitupun Mila merendah diri apabila ada wartawan yang bertanya padanya, apakah dia bakal muncul pencabar kepada Jaclyn Victor (Jac) kerana kedua-duanya memiliki tarikan suara yang tinggi. Baginya, dia masih cukup baru dan ramai lagi penyanyi lain memiliki suara lebih baik berbanding dirinya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Candy berbakat dan konsisten tetapi malangnya tak mampu meraih undian daripada penonton-penonton.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Candy pula cuma menang di mata juri apabila menerima empat lampu untuk lagu Dedebu Cinta, serta tiga lampu biru untuk lagu baru, Demam, yang disampaikan dengan bertenaga. Paling konsisten sepanjang musim kelima, Candy gagal meraih undian peminat, seterusnya meletakkan dirinya pada kedudukan kelima.



Heliza menerima tiga lampu biru untuk dua lagu nyanyiannya, Cinta Boneka dan Cinta Di Lautan Lalang. Gadis 21 tahun dari Kuala Terengganu ini antara pelajar yang seronok diikuti perkembangannya. Bak kata Fauziah Latiff, Heliza boleh muncul penghibur versatile pada masa depan, dek kepelbagaian bakatnya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Peserta tunggal bertudung Heliza agak kurang menyerlah pada malam tersebut.
(Sumber Foto : mSTAR Online)


Dua peserta lelaki, Ebi dan Aswad pula berada pada kedudukan bawah, jika diikutkan penilaian juri. Namun, peminat menyukai dua jejaka ini, lalu masing-masing muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Persembahan bertenaga Ebi kurang berjaya memberikannya gelaran juara pada malam tersebut.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Sebutan Aswad tidak jelas ketika menyanyikan lagu baru, Bila Mati Cinta Terhenti. Begitupun dia cuba menebus kegagalan persembahan pertama dengan sesuatu yang lebih baik menerusi lagu kedua, Mata Hati Jiwa. Ebi pula agak tidak menjadi pada konsert akhir. Penyampaian lagu Sinar Cinta tidak kesampaian, lebih pergerakannya ketika mengalunkan lagu Farhana, seperti kehilangan arah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Aswad meraih tempat ketiga.
(Sumber Foto : mSTAR Online)



Persembahan malam final agak sederhana saja. Tidak banyak keistimewaan atau kejutan menarik dinikmati penonton, kecuali penampilan pancaragam Sekolah St Johns dan segmen nyanyian dan tarian Menuju Puncak, menampilkan pelajar AF musim pertama hingga kelima manakala acara pembukaan menyaksikan pelajar tersingkir muncul menyanyikan lagu Phantom of the Opera.

Konsert malam kelmarin mengambil masa agak panjang, over-run setengah jam berikutan pihak produksi memasukkan segmen tribute untuk pengacara, Aznil Nawawi. Bukan menidakkan sumbangan Aznil terhadap rancangan itu, tetapi lebih baik jika diadakan program khas meraikan beliau.







No comments: