'Bapaku P. Ramlee'

HARI ini genap 34 tahun pemergian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dunia seni Malaysia masih terbayangkan detik mengejutkan pada tarikh 29 Mei 1973 apabila negara dikejutkan dengan kematian tokoh seni bangsa itu sesudah Allahyarham berbakti dan menyumbangkan jasa selama 25 tahun dalam persada perfileman dan muzik tanah air.

Hip menemui satu-satunya anak kandung Seniman Agung itu, Nasir bagi mengenang semula pengalaman beliau bersama bapanya serta apa perasaan yang membelenggu dirinya selepas lebih tiga dekad P Ramlee meninggal dunia.

Nasir P Ramlee akui, pernah suatu ketika, perasaan rindu yang teramat sangat sehingga sukar dibendung, membuatkan dia berani ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur untuk menziarahi pusara Tan Sri P Ramlee pada waktu hampir tengah malam dalam suasana sunyi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ketika itu kira-kira jam 11 malam. Keinginannya itu mengejutkan penjaga tanah perkuburan itu.

“Saya tak berapa ingat tetapi sekitar tahun 1980-an. Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba datang rasa rindu sangat pada daddy (P Ramlee). Penjaga kubur terkejut apabila saya hendak melawat kuburnya pada waktu tengah malam. Dia pun tidak boleh buat apa-apa bila saya tinggikan suara kata saya nak pergi kubur P Ramlee. Bayangkanlah masa itu sunyi, tengah malam pula.



“Ketika di pusara, saya menggenggam tanah kuburnya sekuat hati untuk melepaskan rasa rindu. Tapi saya tidak ingat berapa lama berada di kubur pada waktu itu,” kata Nasir ketika ditemui di Pustaka Peringatan P Ramlee, Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Beliau sendiri memilih untuk ditemubual di situ kerana ia bukan sekadar sebuah pustaka tetapi juga rumah yang meninggalkan banyak kenangan.

“Dulu, di belakang rumah ini (Pustaka Peringatan P Ramlee) adalah tempat dia berkebun. Waktu lapang dia suka tanam kacang bendi di belakang rumah,” kata Nasir yang kini berusia 53 tahun. Beliau merupakan anak P Ramlee hasil perkahwinan dengan isteri pertamanya, Junaidah Haris. Apabila mereka bercerai dan Junaidah balik ke Indonesia, Nasir dibesarkan oleh P Ramlee.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Dia adalah bapa dan ibu saya. Saya dibesarkan oleh tangannya sepanjang berada di Singapura,” kata Nasir perlahan sambil memandang keluar ke pintu pustaka itu. Semua orang tahu siapa ibu saya, tetapi ibu saya dunia dan akhirat ialah Saloma. Dia betul-betul menjaga saya dengan penuh kasih sayang,” katanya lagi.

Akui Nasir, kalau hendak tahu macam mana perangai bapanya, ia boleh dilihat menerusi aksinya dalam filem Madu Tiga, iaitu seorang yang garang tetapi pada banyak keadaan suka berjenaka dan happy-go-lucky.



“Saya tidak terfikir P Ramlee mati dalam usia muda. Sebab itu saya tidak ada banyak gambar kenangan dalam simpanan. Dulu ada juga, tapi ramai yang ambil gambar sehingga album gambar saya kosong,” katanya.

Nasir juga mengakui pernah ‘bertengkar’ dengan P Ramlee disebabkan timbul perselisihan faham mengenai lagu.

“Saya kata, apa pasal daddy asyik buat lagu nama perempuan, Azizah, Melor...buatlah lagu macam orang putih. Dia marah pada saya, katanya, kau memang anak kurang ajar, tidak berhati perut. Kata arwah lagi, nanti bila aku mati, baru kau tahu lagu aku bagus atau tidak. Memang betullah apa arwah cakap. Sekarang baru saya sedar, lagunya memang dahsyat,” katanya.

Nasir berkata, dia juga hampir serik untuk belajar menyanyi dengan P Ramlee apabila bapanya melibas belakangnya dengan penggesek biola disebabkan sedikit kesilapan.

“Ketika itu dia bermain biola. Saya di sebelahnya. Mama (Saloma) tidak jauh daripada saya. Saya silap menyanyi dengan tiba-tiba saja dia libas sekuat hati dengan penggesek biola. Saya memang betul-betul merajuk. Mama pujuk saya. Dia ambil tempat saya dan suruh saya jauh sikit daripada P Ramlee. Tapi P Ramlee pandai juga, dia pun mesti hendak rapat dengan saya. Saya menyampah sebenarnya. Saya kata Daddy bukan nak ajar, tapi nak bunuh. Tahu tak apa dia cakap? Aku kalau hendak bunuh kau pun boleh, sebab kau anak aku. Dia sebenarnya OK, biasa saja boleh bergurau tetapi apabila bab mengajar ni, dia memang tidak boleh main-main,” sambungnya lagi.



Kata Nasir lagi, arwah bapanya memang mahu membawa dia masuk ke alam perfileman apabila sering membawanya ke studio atau lokasi penggambaran sebagai pendedahan awal.

“Tapi saya tidak boleh terima. Jiwa saya pada muzik. Macam manapun, Ramlee dedahkan saya dengan skrip dan teknik arahan. Dalam muzik saya sebenarnya lebih tinggi dari dia sebab saya belajar muzik secara formal. Tapi dia lebih dahsyat walaupun tidak belajar muzik dengan sempurna
, katanya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dalam pada itu, Nasir juga menjelaskan, Air Mata Kuala Lumpur bukanlah judul filem yang hendak dibuat P Ramlee.

“Cerita sebenarnya begini. Satu tengah hari di rumah, dia tidur meniarap dan minta saya memijak belakangnya. Saloma sedang menjahit. Dia kemudian cakap, ‘ingat nak buat ceritalah... air mata Kuala Lumpur’ setakat itu saja. Tapi apa yang dimaksudkan orang menangis di Kuala Lumpur sebab dia meninggal dunia. Pada saya dia cakap pasal itu seolah-olah tahu hendak mati... orang kata buang tabiat. Memang tidak dinafikan kematiannya,” kata Nasir.





Pelancaran besar-besaran buku hari ini


NASIR berkata, beliau diminta oleh peminat setia P Ramlee yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid untuk menulis buku mengenai bapanya.

“Hampir tiga tahun saya siapkan buku ini yang tebalnya 107 muka surat. Memang saya buat senyap-senyap. Saya bukanlah seorang penulis. Jadi ambil masa lama juga hendak siapkan buku itu. Setiap kali saya habiskan enam atau tujuh muka surat saya bagi kepada Tan Sri untuk disemak. Begitulah seterusnya sehingga siap. Saya bukannya menulis sepenuh masa,” katanya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Buku ‘Bapaku P Ramlee’, hanya memaparkan pengalaman hidup peribadinya dengan P Ramlee tanpa membabitkan nama mana-mana pihak. Tidak ada nama kawan-kawan terdekat beliau dalam buku ini. Ia seumpama buku peribadi, berkisar kepada kehidupan Nasir dengan Allahyarham.

“Perasaan saya, kerinduan, suka dan duka saya dengan P Ramlee. Selain P Ramlee, saya masukkan nama Saloma. Mama (Saloma) juga ialah orang penting dalam hidup saya. Saya tulis juga betapa romantiknya mereka sebagai pasangan suami isteri,” katanya lagi.

Pelancaran buku itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam ini.





Profil Allahyarham Tan Sri P. Ramlee


Nama Sebenar: Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh

Tempat Lahir: Pulau Pinang

Tarikh Lahir: 22 Mac 1929

Tarikh Meninggal Dunia: 29 Mei 1973

Tahun Berhijrah Ke Singapura: Ogos 1948

Tahun Kembali Ke Kuala Lumpur: April 1964

Lagu Pertama Ciptaannya: Azizah (ditulis pada 1945)

Lagu Terakhir Ciptaannya: Air Mata Di Kuala Lumpur (1972)

Filem Pertama Lakonannya: Chinta (terbitan 1948)

Filem Pertama Arahannya: Penarik Becha (1955)

Filem Terakhir Lakonan & Arahannya: Laxmana Do Re Mi (1972)






Pencapaian

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Penggubah Lagu Terbaik menerusi filem Hang Tuah di Festival Filem Asia Pasifik di Hong Kong pada 1956; Aktor Terbaik Asia dari filem Anakku Sazali (1957); Fotografi Terbaik filem Sumpah Orang Minyak (1958); Filem Komedi Terbaik filem Pendekar Bujang Lapok (1959), Nujum Pak Belalang (1960) dan Madu Tiga (1964) dan Aktor Berbakat Serba Boleh filem Ibu Mertuaku (1963).





Penghargaan

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-3, Tuanku Syed Putra Alhal Ibni Syed Hassan Jamalulail pada 1963.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-9, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Sultan Yussuf Izzuddin Shah pada 1990.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Seni Persembahan oleh Universiti Malaya (UM) pada 13 Ogos 2005.





Info

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket P RAMLEE pernah cakap, Studio Merdeka di Hulu Klang kedekut. Dia hendak buat filem warna tajuknya ‘Seniwati’ tapi tidak kesampaian sebab studio tak bantu. Satu lagi filem yang dia hendak buat tajuknya Hidayat tapi kosnya sangat mahal. P Ramlee minta RM1 juta untuk buat filem itu. Kedua-dua skrip itu masih disimpan Nasir.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket NASIR selalu diminta P Ramlee untuk mewarnakan atau hitamkan rambutnya. Sebenarnya pada bahagian tengah kepala P Ramlee hampir botak, jadi Nasir warnakan bahagian itu seperti ada rambut. Lepas itu dapat upah 50 sen.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket ADA dua hobi P Ramlee yang tidak disukai Nasir. Pertama, apabila arwah memasak. Kedua, nak potong rambut Nasir. “Masakannya entah apa-apa. Apa saja yang ada dicampur aduk sampai ada tak boleh nak makan. Bila dia tanya sedap atau tidak, kita serba salah. Nak jawab tak sedap, takut kena marah. Bila kata sedap, dia suruh tambah lagi,” kata Nasir.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket RAMLEE ada satu set alat memotong rambut. Kalau potong rambut, Nasir semacam berdoa janganlah ada orang datang. Satu hari ketika potong rambutnya, datang Datuk Ahmad Nawab. Semakin lama dia sembang, semakin pendek rambut Nasir dipotong P Ramlee.






1 comment:

Iman Halimah said...

setau saya no 3 seakan no bertuah bg P ramlee, kawin 3, cerita madu 3, bujang lapok, do re mi, semuanya ada 3 hero, mati pun pd thun 73.