Krim Racun Filipina

KUALA LUMPUR: Hasil intipan selama berbulan-bulan, Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan akhirnya mengesan gudang rahsia sindiket menyimpan ribuan produk kosmetik beracun buatan Filipina yang menyebabkan ramai wanita tempatan menderita kerosakan kulit muka yang serius.

Kosmetik tidak berdaftar itu kebanyakannya mengandungi kimia berbahaya, Hydroquinone, yang diharamkan dan disimpan di sebuah rumah kedai di Taman Desa Cheras di sini.

Difahamkan, ramai pengguna terutama wanita hilang wajah asal selain diserang barah kesan bahan kimia berkenaan yang dicampur dalam krim muka atau sabun pembersih muka.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dalam serbuan besar-besaran mulai jam 11.20 pagi semalam, pegawai Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Wilayah Persekutuan dan Selangor merampas ribuan produk kosmetik itu, antaranya jenama RDL, Maxi-Peel dan Babyface.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Eishah Abdul Rahman mengetuai serbuan itu bersama lebih 20 anggota selepas mendapat maklumat lokasi persembunyian peniaga kaki lima warga Filipina yang menyewa sebuah rumah di Jalan Len Seng, Cheras.



Pegawai farmasi menggeledah rumah teres dua tingkat itu sebelum menemui beberapa beg berisi kosmetik tidak berdaftar yang dipercayai dijual kepada orang ramai di hadapan Kompleks Kota Raya di sini.

Jurucakap Cawangan Penguat Kuasa Farmasi berkata, ketika serbuan, dua wanita dan tiga lelaki berada di rumah terbabit yang disewa daripada penduduk tempatan.

Menurutnya, selepas mendapati hanya sebahagian kecil sasaran ditemui, pegawai farmasi kemudian menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Desa Cheras yang disyaki menjadi gudang simpanan sindiket terbabit.

“Bagaimanapun, ketika tiba di situ, gudang itu dikunci selain dilindungi jeriji besi. Bagaiamanapun, dua lelaki dipercayai anggota sindiket terbabit menawar diri membuka kunci itu.

“Sebaik pintu dibuka, pegawai farmasi terkejut mendapati ia dipenuhi ribuan kotak berisi kosmetik dan sabun pencuci muka dari Filipina,” katanya.




Menurutnya, intipan mendapati ahli sindiket terbabit datang ke gudang itu untuk mendapatkan bekalan setiap hari sebelum dijual di sekitar Lembah Klang.

“Kami percaya tempat itu tidak sekadar lokasi untuk menyembunyikan produk kosmetik dan penjagaan kulit tidak berdaftar, malah turut digunakan untuk memproses dan membungkus semula produk kosmetik.

“Selain produk penjagaan wajah yang dirampas, pegawai farmasi merampas beberapa produk lain seperti Placenta Facial Toner, Whitening Cream, Sulfur Zinc, Tretinoin Hydroquinone dan pelbagai jenama lain yang disahkan berbahaya digunakan,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, kebanyakan produk kecantikan itu mengandungi kepekatan Hydroquinone antara 0.02 hingga 15.3 peratus dan tidak sepatutnya berada di pasaran.

“Apa yang dikesalkan kebanyakannya tidak didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan. Tambah menghairankan bagaimana ia boleh diseludup secara besar-besaran ke negara ini.



“Difahamkan, gudang itu menjadi pembekal kepada puluhan peniaga kaki lima selain kedai menjual produk kosmetik murahan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Berikutan itu, lebih 50 jenis kosmetik, sabun muka dan produk kecantikan yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dirampas dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, produk yang ditemui berkenaan adalah produk sama yang pernah dirampas daripada peniaga kaki lima di sekitar ibu kota, terutama kumpulan penjaja wanita dari Filipina.

Difahamkan, kosmetik pencuci muka yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dijual dengan harga semurah RM5 setiap pek.

Menurutnya, semua produk kecantikan haram terbabit mengandungi hydroquinone, tretinoin dan raksa yang berbahaya dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan.








No comments: