Adam AF2 Bawa Diri

KUALA LUMPUR: Adam AF2 yang sedang meletup dengan lagu ‘Joget Lambak’ dikatakan memutuskan hubungan dengan keluarga angkatnya di Kota Damansara dekat sini, hampir tiga minggu lalu.

Ini menimbulkan misteri kepada bapa angkatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Abah dan keluarganya.

Kata Abah, kali terakhir dia dan isterinya bercakap dengan Adam ketika penyanyi itu berada di Kota Kinabalu bagi menjalani penggambaran program realiti terbaru, Ikon Malaysia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Selepas beberapa hari menjalani penggambaran, Adam menelefon dan menghantar SMS kepada saya dan isteri setiap hari untuk bertanyakan khabar kerana dia memang rapat dan manja dengan kami sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Adam kemudian tidak lagi menghubungi mereka walaupun dia dan isteri beberapa kali menelefonnya.



“Kami bimbang kerana tak tahu apa sudah berlaku terhadapnya,” katanya yang hairan kenapa Adam tiba-tiba menjauhkan diri daripada mereka serta mengabaikan syarikat yang baru ditubuhkannya.

Abah berkata, dia dan isterinya berharap Adam menghubungi mereka untuk menyelesaikan sebarang masalah.

Katanya, beberapa minggu sebelum terputus hubungan, Adam bersikap hambar dengan mereka serta tidak seceria dulu dan tidak suka berada di rumah.

“Sebelum ini, Adam bukan seorang yang suka melepak dan keluar malam. Dia seorang yang menghormati orang tua, menyayangi keluarga dan mudah menunjukkan kasih sayang kepada keluarga.

“Namun, sejak dua bulan lalu, dia berkelakuan pelik, kerap keluar malam serta sering pulang awal pagi.



“Dia kini banyak berahsia dan apabila ditanya mengapa kelakuannya berubah, dia hanya memberitahu tiada apa-apa berlaku,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Damansara, semalam.

Abah juga mengharapkan Adam terbuka hati untuk menjenguk ibu angkatnya yang tidak sihat kerana merinduinya.

Sehingga kini, katanya, Adam tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas SMS menyebabkan keluarga angkatnya hairan berikutan dia tidak pernah bersikap demikian.

Dia turut mendakwa kemungkinan Adam terkena buatan orang menyebabkan dia berubah sikap terhadap keluarga angkatnya.

Sejak terputus hubungan dengan Adam, keluarga angkatnya menerima banyak panggilan telefon daripada stesen TV, Maestro Talents, KRU Music Group Sdn Bhd (KMG), syarikat pengiklan serta beberapa pihak lain yang mahu menghubungi Adam sama ada berkaitan persembahan atau mempromosi album dan produk.



Sementara itu, promosi album terbaru Adam, Adam II terbengkalai dan terpaksa ditunda berikutan kegagalan KMG menghubungi penyanyi itu.

Pengarah Urusan KMG, Norman Abdul Halim ketika ditanya mengenai ‘kehilangan’ Adam itu, berkata Adam tidak menjawab panggilan telefon serta tidak membalas SMS yang dihantar pihaknya.

“Kali terakhir saya menemuinya ketika program bersama stesen radio Era di Sungai Petani, akhir bulan lalu.

“Saya hanya mengetahui Adam berada di Sabah melalui orang lain, tetapi tidak tahu hingga bila dan sebab dia berada di sana kerana dia tidak memberitahu saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, dia tidak tahu apa yang berlaku kerana Adam tidak menghubunginya bagi menjelaskan keadaan sebenar.



Mengulas sikap Adam itu, Pengurus Artis Maestro Talents, Bahaazman Nor, ketika dihubungi terkejut Adam tidak dapat dihubungi keluarga angkatnya dan KMG.

Katanya, dia tidak dapat mengesahkan sama ada Adam betul-betul menghilangkan diri kerana penyanyi itu ada menghubunginya pada 8 Mei lalu.

“Adam meminta saya memasukkan gajinya ke dalam akaun banknya kerana memberitahu dia akan berada di Kota Kinabalu selama beberapa minggu,” katanya.

Bahaazman berkata, penyanyi itu turut memberitahu dia tidak dapat memenuhi satu undangan persembahan dengan alasan jadualnya bertindih.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu urusan Adam di Sabah kerana tidak memaklumkan hal itu kepadanya.



Sementara itu, bapa saudara Adam di Sabah yang dikenali sebagai Yan ketika dihubungi, mengesahkan penyanyi itu kini berada di Sabah.

Bagaimanapun, menurutnya, Adam tidak mahu bercakap dengan sesiapa, termasuk wartawan kerana tidak mahu diganggu.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 23, mula dikenali ramai, terutama kalangan remaja selepas muncul naib juara Akademi Fantasia musim kedua dan kini berada di bawah pengurusan Maestro Talents dan KMG.

Album pertamanya Tak Tahu menerima cakera emas berdasarkan penjualan melebihi 10,000 unit.

Selepas itu, dia muncul dengan novel Badang terbitan KRU Publication serta album terbarunya, Adam II yang menyelitkan lagu ‘Joget Lambak’ dan `Tak Tahu Antara Dua’, duet bersama penyanyi Farah AF2.

Adam juga pernah berlakon bersama penyanyi, Misha Omar dalam filem Main-Main Cinta, tahun lalu.








No comments: