Adam Mengaku

KUALA LUMPUR: Adam AF2 semalam mengaku merajuk dengan keluarga angkatnya berikutan masalah peribadi dan tertekan akibat krisis antara mereka, ditambah pula dengan kematian datuknya menyebabkan dia mendiamkan diri.

“Sebenarnya, masalah itu terlalu peribadi untuk diceritakan. Saya tak mahu hebohkannya dan tak nak bising-bising. Biarlah masalah itu diselesaikan antara saya dan keluarga angkat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Lelaki bergelar Abah itu memang keluarga angkat saya, tapi seperti manusia lain memang ada gaduh-gaduh sikit, namun semuanya akan okey,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui selepas sidang media filem Diva yang turut dibintanginya bersama Ning Baizura, Awal, Balqisy dan beberapa pelakon dari Indonesia.

Adam berkata, sejak mengalami tekanan perasaan berikutan pelbagai masalah dihadapinya, dia tidak menjawab sebarang panggilan telefon dan membalas SMS daripada keluarga angkatnya.

Katanya, dia juga gagal dihubungi pihak Maestro Talent and Management (Maestro) dan KRU Music Group (KMG) kerana menggunakan telefon bimbit lain, manakala telefon bimbitnya ditinggalkan di rumah ibu bapanya. Lagipun, pada kebanyakan masa, dia berada di rumah neneknya.



Malah, Adam mengaku sengaja berdiam diri dan tidak menghubungi atau menjawab panggilan daripada semua pihak, termasuk Maestro dan KMG selepas berita mengenai masalahnya bersama keluarga angkat tersiar di akhbar, baru-baru ini.

“Memang saya tak sepatutnya berdiam diri dengan membiarkan pihak Maestro, KMG dan peminat bimbang serta tertanya-tanya apa yang berlaku. Tapi saya terpaksa berbuat demikian kerana perasaan saya tertekan dan bercampur-baur.

“Di Sabah, saya perlu menjalani penggambaran program realiti televisyen, Ikon Malaysia, yang menyebabkan saya penat dan kemudian timbul pula krisis ini, diikuti kematian datuk. Jadi, perasaan saya bercampur-baur.

“Kerana tak dapat menerima tekanan, saya mengambil keputusan berehat di Sabah dan memberitahu pengurus peribadi saya tak mahu diganggu,” katanya.

Mengulas dakwaan sikapnya yang tidak profesional dan tidak matang kerana berdiam diri, seolah-olah takut berhadapan masalah dengan keluarga angkatnya, Adam berkata dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak menjawab panggilan telefon dan SMS mereka.



“Itu hak individu dan tak boleh dipaksa-paksa. Janganlah kata saya tak matang kerana saya berbuat demikian kerana ada sebab tersendiri,” katanya yang sudah menemui dan menjelaskan keadaan sebenar kepada pihak Maestro dan KMG.

Menurutnya, dia akan berjumpa keluarga angkatnya minggu ini bagi menyelesaikan masalah mereka yang timbul sebelum ini.

Katanya, mereka juga ada berselisih pendapat dalam hal perniagaan.

“Kadang-kadang ada perancangan memerlukan perbelanjaan terlalu besar yang tidak mampu saya lakukan.

“Namun, saya tak abaikan perniagaan saya. Itu syarikat saya, suka hati saya nak buat apa kerana walaupun saya mempunyai rakan kongsi, sebarang keputusan dan tindakan memerlukan persetujuan bersama,” katanya.



Adam turut menafikan bapa angkatnya ‘sugar daddy’ seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Walaupun ada benda kepunyaan bapa angkat saya pakai seperti kereta atau apa saja yang diberikannya, saya anggap ia pemberian seorang bapa kepada anak, tak lebih daripada itu,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Adam AF2 membawa diri selepas merajuk dan tertekan berikutan krisis dengan keluarga angkat selain kematian datuknya, baru-baru ini.

Sabtu lalu, akhbar ini turut melaporkan Adam membawa diri dan memutuskan hubungan dengan keluarga angkatnya di Kota Damansara, di sini, sejak hampir tiga minggu lalu.

Mesti baca; Misteri Adam AF2








No comments: