Emery Penyeri Baru Edry, Milia

KELUARGA kepada adik bongsu lelaki kumpulan KRU, Edry Abd Halim, 31, kini semakin besar dengan kehadiran cahaya mata ketiganya yang lahir pada 15 Mei lalu. Bayi lelaki seberat 3.75 kilogram itu dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya secara normal pada jam 11.30 pagi dan diberi nama Emery.

Semasa kelahiran Emery, Edry turut berada di sisi isterinya untuk melihat anaknya dilahirkan.

Mengenai pemilihan nama anak-anaknya, Edry lebih senang memilih nama pendek kerana namanya juga pendek. Anak sulungnya diberikan nama Emil, kini berusia tujuh tahun, manakala anak keduanya yang juga satu-satunya perempuan pula diberi nama Edylia kini berusia empat tahun.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
KELUARGA BAHAGIA: Edry dan Milia bersama tiga permata hati.



“Nama anak-anak kami adalah kombinasi nama saya dan isteri. Saya lebih senang nama yang pendek kerana nama saya pun pendek. Beri nama panjang tiba-tiba bin atau bintinya pendek, bagi saya tidak berapa sesuai,” kata Edry yang cukup ceria dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya.

Edry berkata, Emery sepatutnya dijadualkan lahir tiga hari lagi. Milia yang asalnya ke hospital untuk membuat pemeriksaan disarankan bersalin hari itu juga kerana bayi yang dikandung agak besar.



Kata Edry lagi, bayinya lahir dengan cepat. Baru saja dia turun ke kafe untuk makan tiba-tiba dia menerima panggilan telefon menyuruhnya naik segera kerana Milia sudah bersedia untuk bersalin. Andai Allah mengurniakan rezeki, dia bersedia menerima seorang lagi cahaya mata, hasratnya mahukan anak perempuan pula untuk mencukupkan dua pasang.

“Rasa macam ramai pula orang dalam keluarga saya bila anak sudah bertambah seorang lagi. Setiap kali ada anak, tanggungjawab saya pun jadi lebih. Saya seorang saja yang bekerja, jadi saya rasa harapan keluarga terletak pada bahu saya,” kata Edry yang lega kerana Milia bersalin ketika jadualnya tidak begitu sibuk.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
COMEL: Emery dilahirkan 15 Mei lalu.



Bagaimanapun, selepas sesi fotografi pada hari kedua Emery dilahirkan, Edry bergegas ke Shah Alam kerana diberi tanggungjawab mencipta lagu untuk Candy yang bertanding dalam final Akademi Fantasia.

“Nasib baik Milia bersalin sebelum kerja untuk pasca penerbitan filem Duyung bermula. Abang saya, Norman dan Yusry sudah ke Semporna, Sabah kerana ada penggambaran di sana. Tugas saya akan bermula hujung bulan ini. Bekerja dalam bidang ini jadualnya tidak menentu. Bagaimanapun, anak-anak juga rapat dengan saya kerana kalau saya pulang lambat, saya akan pastikan keesokan harinya saya akan lewat sedikit ke pejabat. Bila saya di rumah, saya akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka.

“Namun, saya akui bab menukar lampin dan kerja menjaga anak ini saya serahkan pada isteri. Saya terima saja jika dikurniakan anak lagi selepas ini kerana ia adalah rezeki,” katanya.


KRU terus terbitkan Cicak-Man 2

SAMBUTAN baik filem Cicak-Man yang berjaya mencapai kutipan RM5.2 juta menyebabkan KRU meneruskan lagi penghasilan filem Cicak-Man 2. Selepas Duyung, KRU akan kembali dengan penggambaran Cicak-Man 2 pada September ini.

Pada mulanya KRU tidak mahu dilihat terlalu bergantung kepada filem berkenaan, namun jika ditangguhkan ia akan membuatkan filem itu basi lalu KRU membuat keputusan untuk meneruskannya dan masih mengekalkan Saiful Apek sebagai watak utamanya.

Selain itu, KRU juga dijangka bakal bekerjasama dengan pihak TV3 untuk merancang sesuatu terhadap peserta program Gang Starz.

“Setakat ini kami masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan pihak TV3. Kita sedang meneliti calon mana yang sesuai dan kita ada perancangan untuk mereka. Perkara itu akan diumumkan kelak,” katanya.

Lagi selebriti dapat anak; Buah Hati Norzizi Zulkifli








No comments: