Tarian Ghairah

KLUANG: Penyebaran klip video aksi tarian wanita separuh bogel membolehkan polis menyerbu sebuah kedai makan di sebuah medan selera berhampiran Stesen Bas Kluang di sini, Jumaat lalu.

Pengusaha terbabit dipercayai mengupah penari wanita melakukan pelbagai aksi mengghairahkan dengan hanya memakai coli dan seluar pendek dipercayai bagi menarik lebih ramai pengunjung ke medan selera berkenaan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagaimanapun, tindakan pengusaha itu tidak disenangi pengunjung, terutama mereka yang membawa keluarga makan di situ berikutan ia dilakukan di tempat terbuka, selain salah di sisi undang-undang.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Chia, berkata dia bersama suami dan dua anak berusia lapan dan 12 tahun pergi ke medan selera itu untuk makan malam, minggu lalu.

“Saya dapat melihat penari itu menyanyi tapi tidak menyangka apa-apa hinggalah dia (penari) mula menari dengan aksi mengghairahkan bersama pengunjung.



“Ketika itu, saya kurang senang kerana terdapat ramai kanak-kanak dan pelanggan lain termasuk anak saya dan mereka semua dapat melihat aksi jijik itu dengan jelas,” katanya.

Menurutnya, keadaan bertambah ‘panas’ apabila penari itu menari bersama seorang pelanggan di atas meja makan dengan mempamerkan pelbagai aksi kurang sopan.

Berikutan itu, dia terus menjelaskan bayaran makanan dan minuman lalu meninggalkan medan selera berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad, berkata berikutan aduan orang ramai, pihaknya menyerbu medan selera berkenaan.

“Kami menerima aduan orang ramai yang kurang senang dengan tindakan penari terbabit membuat persembahan tidak bermoral di khalayak ramai, terutama kawasan makan membabitkan pelanggan pelbagai lapisan masyarakat.



“Berikutan itu, kami sudah menahan penari wanita berkenaan dan ketika serbuan Jumaat lalu, lebih 100 pengunjung asyik menyaksikan persembahannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini menyiasat sama ada pemilik medan selera berkenaan sudah memohon lesen hiburan dari pejabat daerah.

Klip video aksi tarian separuh bogel itu mula disebarkan kepada penduduk sekitar daerah ini menerusi telefon bimbit sejak seminggu lalu.

Ia memaparkan seorang wanita lingkungan 20-an itu menari dengan aksi mengghairahkan, hanya memakai seluar pendek dan coli dan turut menari bersama pelanggan di medan selera terbabit.


No comments: