Diva Minggu Setiausaha

SIAPA dapat melupakan kehebatan vokal Ning Baizura dan Adibah Nor tatkala kedua-dua diva ini membawakan lagu Fallin’ daripada Alicia Keys sewaktu kali pertama digandingkan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABPBH2002)?

Dengan aksi dan gaya yang penuh ‘classy’ serta mempesona, Ning dan Adibah terus memukau apabila bertindak penuh cemerlang dengan paduan suara luar biasa menerusi lagu penuh ‘soulful’ itu.

Malah, tidak keterlaluan kalau meletakkan persembahan mereka antara yang terbaik sepanjang penganjuran ABPBH selama ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Selepas sekian lama, akhirnya kedua-dua diva ini kembali bersatu di dalam persembahan Fergalicious Diva In Celebration Of Secretaries sempena Minggu Setiausaha di Hotel Shangri-La, petang kelmarin.

Menggunakan hitam sebagai warna tema persembahan mereka, Ning yang kelihatan menawan dengan pakaian rekaan Jovian Magdanie dan Adibah pula dengan busana ciptaan Calvin Thoo, lagu Fallin’ kali ini dibawakan dengan lebih santai tetapi penuh ‘ad-libs’ yang memberikan impak.



Paduan suara mereka bukan saja menampakkan kematangan lebih ketara, malah penuh keserasian dan kesefahaman dengan saling berbagi di antara satu sama lain.

Barangkali keadaan ini juga membuatkan penonton yang memenuhi dewan ballroom Hotel Shangri-La itu benar-benar terhibur. Sesekali juga mereka terpana apabila Ning dan Adibah saling melontarkan vokal ke notasi tinggi.

Fallin’ bagaimanapun bukanlah satu-satunya lagu yang menjadi daya penarik persembahan Fergalicious Diva In Celebration Of Secretaries ini.

Sebelum itu, Adibah tampil terlebih dulu menerusi rangkaian lagu solo dengan kekuatan tersendiri.

Dia memulakan alunan lagu Absolutely Everybody yang sedikit rancak sebelum beralih kepada lagu ballad Inggeris yang membuai perasaan, My Baby You.


Adibah juga tidak lupa menyelitkan sebuah lagu tradisional lama, Ala Canggung sebelum membawakan lagu yang menjadi tema dalam filem Mukhsin, Hujan ciptaan bapa kepada pengarah Yasmin Ahmad, Pak Atan.

Sungguhpun kedua-dua lagu itu menarik, namun ia kedengaran kurang sesuai dengan tema serta suasana Minggu Setiausaha.

Namun, apabila Adibah beralih kepada lagu Impian & Kenyataan, mood penonton bangkit semula.

Walaupun kali pertama memperdengarkan lagu baru yang bakal dimuatkan di dalam album keduanya, Impian & Kenyataan ternyata sebuah lagu ballad Adibah yang cukup mempesonakan.

Ia seakan kesinambungan kepada Terlalu Istimewa, tetapi mempunyai karaktor serta susunan muzik yang berbeza, manakala liriknya pula cuba menyuntik semangat serta kekuatan diri seseorang dalam meneruskan kehidupan yang mencabar ini.



Terlalu Istimewa menyusul selepas itu sebelum Adibah mengakhiri nyanyian solonya dengan penuh karisma menerusi lagu separa klasikal Andrea Bocelli yang membangkitkan semangat iaitu Conte Partiro.

Ning pula memanaskan suasana dengan lagu rancak Robbie Williams, Let Me Entertain You dan Aku Penghiburmu (Latiff Ibrahim) yang digabungkan dengan begitu menarik sekali.

Ning turut menarik perhatian apabila membawakan lagu ballad Mandarin, Jyeh Li Sing, sebelum mengajak penonton bergoyang dengan lagu Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Sudirman Hj Arshad.

Ning kemudian menyerahkan pentas kepada anak didiknya, Nikki Palikat, memeriahkan majlis.

Bersama gaun pink rekaaan Calvin Thoo, Nikki membawakan lagu Destinasi Cinta daripada Siti Nurhaliza dengan penuh bertenaga tetapi sayang sekali vokalnya sedikit tergelincir apabila melepaskan suaranya pada notasi tinggi lagu itu.



Nikki kembali menyerlah apabila membawakan lagu Obsession daripada Shakira dengan mengenakan baju rekaan Calvin Thoo yang mempunyai potongan gaun paras sederhana.

Ning muncul dalam persembahan set kedua yang lebih tenang dan beremosi.

Mengenakan gaun ala mermaid yang menyerlah bentuk badannya yang langsing, Ning tampil membawakan lagu Beyonce dengan baik.

Beberapa lagu ballad hitsnya seperti Dugaanku, Penjara Kasih, In Another Life , Selagi Ada dan Pasti turut dipersembahkan secara medley.

Ramai menunggu Ning muncul dengan lagu Awan Yang Terpilu, sayangnya diva bersuara soprano ini tidak sempat membawakan lagu itu.

Sebaliknya, lagu medley Indonesia seperti Berdua Lebih Baik, Jujur, Kenangan Terindah dan Januari dipersembahkan petang itu.



Bersama Nikki dan seorang lagi anak didiknya, Yanie, Ning menutup tirai persembahan dengan lagu Cinta Di Akhir Garisan.

Secara keseluruhan persembahan Fergalicious Diva In Celebration Of Secretaries cukup menghiburkan.

Walaupun vokalnya agak sedikit serak, Ning berusaha memberikan yang terbaik.

Sheila Rusly yang mengendalikan majlis petang itu mempunyai cara tersendiri menghiburkan tetamu.

Biarpun mempersembahkan lagu Tiada Logika dan Goyang Inul secara miming, namun gaya Sheila beraksi sambil menari begitu hidup sekali.



No comments: