Ahmad Mahmud Menderita Sakit

WATAK Dr Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku, selain watak Jebat dalam filem Hang Tuah dan peranan sebagai Tuan Doktor menerusi cereka komedi Seniman Bujang Lapok membuktikan penampilannya amat berkesan.

Ia berjaya dihayati dengan baik seniman veteran, Datuk Ahmad Mahmud ketika kudrat masih menyebelahinya dan sewaktu beliau masih tampan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kini, dalam meniti usia 84 tahun, Ahmad terpaksa menanggung derita penyakit buah pinggang. Dia lebih banyak mengisi ruang usia dan kehidupannya bersama isteri, anak, cucu dan cicit di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor.

Berikutan penyakit itu, Ahmad terpaksa menjalani rawatan haemodialisis di hospital tiga kali seminggu.

Bapa kepada tiga anak itu dikesan mengidap penyakit itu sejak 2001. Mulai tahun itu jugalah, pembabitan dirinya dalam bidang seni ditinggalkan walaupun pernah juga menerima tawaran untuk berlakon sebagai pelakon undangan.



Kata Ahmad, sepanjang bergelar anak seni, beliau menyara hidup hasil hasil titik peluhnya sebagai pengarah filem, pelakon, produser dan penulis skrip ketika masih aktif dalam bidang perfileman.

Namun, jauh di sudut hatinya, Ahmad mengakui, jika ditakdirkan kesihatannya mengizinkan, beliau memang akan terus bergiat semula sebagai pelakon sekiranya ada tawaran bersesuaian.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Tampan. Seniman Datuk Ahmad Mahmud semasa zaman kegemilangannya.


“Minat itu masih ada tetapi memandangkan keadaan yang semakin uzur ini terpaksalah saya lupakan. Saya tidak pernah menyesali dilahirkan di antara golongan anak seni kerana bidang inilah saya menyara hidup untuk isteri dan anak-anak,” kata Ahmad ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa) menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di kediamannya, baru-baru ini.

KeKKwa menghulurkan sumbangan RM10,000 kepada Ahmad sebagai menghargai jasa seniman terkenal itu dalam pembabitan industri filem Melayu di negara ini.

Menteri KeKKwa, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata sumbangan RM10,000 daripada Tabung Bantuan Kebudayaan Seniman dan Industri Perfileman itu bagi membantu seniman di negara ini.



Katanya, Ahmad yang kini keadaan kesihatannya kurang memuaskan, adalah seniman yang disegani serta pernah mendapat sanjungan sebagai seorang pelakon berkebolehan tinggi.

"Tabung sejumlah RM6 juta itu yang diperuntukkan untuk tempoh tiga tahun itu ialah bagi membantu seniman yang menghadapi masalah kesihatan dan keuzuran. Mereka ialah anak seni yang pernah mencipta kejayaan seperti pelakon filem, teater dan sebagainya yang mencakupi semua bidang kesenian.

"KeKKWa bukan setakat memberi derma dalam bentuk tunai saja. Kita juga ingin mengetahui perkembangan lanjut kesihatan mereka selepas ini. Selain itu, kita juga akan meminta Finas mengemukakan senarai berapa artis veteran yang memerlukan bantuan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Ahmad.

Hadir sama, isteri Dr Rais, Datin Seri Masnah Rais; Pengerusi Finas, Datuk Jins Shamsuddin; Ketua Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof.

Ahmad mengakui terharu dengan sumbangan itu yang disampaikan sendiri oleh Dr Rais bagi menghargai jasanya.



"Alhamdulillah, walaupun sakit buah pinggang sejak enam tahun lalu, saya tidak menghidap penyakit lain. Saya juga bersyukur kerana masih mempunyai selera makan dan tidak berpantang dalam pengambilan makanan.

"Saya kini berulang-alik ke hospital swasta untuk menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu yang memerlukan belanja lebih RM2,000 sebulan. Apa yang menggembirakan saya, anak dan cucu sentiasa berada di sisi membantu saya," katanya.




No comments: