Setan Cilik

TIDAK keterlaluan jika mereka digelar ‘setan cilik’. Ini kerana, dalam usia semuda 14 tahun, mereka bukan saja bergerak cergas di dalam aktiviti seksual tetapi juga jenayah, dengan sebahagian besar mengaku aktif menjalankan kerja pecah rumah, mencuri, peras-ugut, buli dan gangsterisme.

Malah, seorang daripada mereka mengaku menjadi ‘raja lumba haram’ dan pernah memenangi pelbagai hadiah disediakan penganjur seperti motosikal dan meniduri bohsia, selain pernah merampas serta membakar motosikal pelumba yang kalah.

Ikuti pengakuan empat daripada 55 pelajar tingkatan dua bermasalah di Selangor yang mengikuti Kem Smart Remaja Siri Kelapan di Selayang, Selangor kepada wartawan Metro Ahad, ZAINUDDIN ZAIN dan FUAD HADINATA YAACOB, mengenai aktiviti haram mereka.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pengakuan 1 (Yusri)

Sebab Dihantar Ke Kem: Terbabit dalam pergaduhan berkumpulan

“PULANG ke rumah dalam keadaan muka pecah dan berdarah bukan perkara baru kepada saya.

Malah, ibu saya yang juga jururawat tidak lagi terkejut apabila keadaan saya sedemikian kerana saya terbabit dalam terlalu banyak pergaduhan sehingga tidak terkira.



Selain pergaduhan, saya dan anggota kumpulan membabitkan kira-kira 20 orang turut aktif dalam kegiatan pecah rumah.

Banyak rumah yang kami pecah masuk, bukan kerana kami nak cari duit, tapi sekadar ‘suka-suka’.

Barangan yang dirompak diletakkan di rumah yang kami sewa secara beramai-ramai. Boleh dikatakan rumah sewa kami kini mungkin lebih lengkap daripada rumah orang yang berkeluarga.

Rumah itu pusat aktiviti kumpulan kami. Di sinilah aktiviti kami menonton video lucah, menghisap rokok dan juga ‘meratah’ bohsia.

Namun, setakat ini saya tidak terjebak dengan aktiviti seks rambang lagi. Malah, saya masih belum ada teman wanita.



Mungkin keadaan saya hari ini disebabkan saya kehilangan ayah pada usia terlalu muda. Ayah meninggal dunia pada 2002 ketika saya berusia sembilan tahun. Jadi, saya dahagakan kasih-sayang dan tiada tempat bergantung dan meluahkan perasaan.

Sebagai anak sulung, tiga lagi adik saya belum layak berkongsi ‘dunia’ saya kerana masih kecil.

Apabila di dalam kumpulan, saya berasa sesuatu yang saya tidak dapat di rumah, iaitu kemeriahan.

Saya juga suka perasaan diangkat sebagai ‘hero’ apabila terbabit dalam pergaduhan. Ini menyebabkan setiap kali ada anggota kumpulan kami mengajak ‘berperang’, saya tidak pernah menolak. Bagaimanapun, selepas menghadiri kem ini, saya menyedari saya sudah jauh tersimpang.

Saya sia-siakan hidup dan menambah masalah ibu saya sebagai ibu tunggal yang bersusah-payah membesarkan kami empat beradik.



Saya juga belajar dekatkan diri kepada Tuhan kerana jika saya sayangkan arwah ayah, saya tidak sepatutnya menyeksanya di dalam kubur dengan perbuatan kufur saya.”

Pengakuan 2 (Fazli)

Sebab Dihantar Ke Kem: Terlalu kerap ponteng sekolah

“SAYA terjebak dengan aktiviti lumba haram sejak dua tahun lalu ketika masih bersekolah rendah. Pada mulanya saya sekadar menonton rakan lain (berlumba) kerana tidak mampu membeli motosikal.

Bagaimanapun, akibat perasaan yang terlalu bergelora menjadi ‘pelumba haram’, saya nekad mencuri motosikal. Ketika itu saya tahun enam. Ia menjadi titik mula ‘kerjaya’ saya sebagai pelumba jalanan.

Keberanian ketika berlumba membolehkan saya diterima menjadi ahli satu kumpulan samseng di Balakong. Berikutan itu saya semakin ganas dan ligat di dalam aktiviti lumba haram serta mencuri motosikal.

Motosikal yang dicuri pula diceraikan komponen dan digunakan untuk meningkatkan lagi prestasi motosikal anggota kumpulan kami. Baki komponen yang tidak digunakan pula kami jual kepada bengkel tertentu.

Sebagai antara pelumba terhebat dalam kumpulan, saya dihormati. Malah, dalam satu perlumbaan haram di Cheras awal tahun ini, saya memenangi hadiah motosikal ditawarkan penganjur.



Antara pengalaman lain adalah merampas motosikal pelumba yang kalah sebelum menyerahkannya kepada ketua kumpulan.

Bagi pelumba kalah yang enggan bekerjasama, kami pernah merampas dan membakar motosikalnya.

Ini bukan cerita rekaan seperti filem ‘Remp-It’. Ia benar-benar berlaku dan saya pernah mempunyai pengalaman membakar motosikal pelumba yang kalah.

Mengenai bohsia sebagai ganjaran perlumbaan, ia juga bukan perkara yang diada-adakan. Ia lumrah dalam ‘diari’ pelumba haram.

Saya pernah ‘merasai’ bohsia selepas memenangi beberapa perlumbaan di sekitar ibu kota dan Kajang.

Saya tidak tahu mengapa saya terjebak dalam kegiatan tidak bermoral ini.



Sebagai anak bongsu daripada enam beradik, mungkin saya tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Malah, perlakuan saya tidak pernah mendapat perhatian keluarga.

Mungkin ayah dan ibu bosan menegur dan membiarkan saya ‘hanyut’ dalam cara kehidupan yang saya pilih.

Namun, di kem ini saya belajar sesuatu yang tidak pernah saya buat selama ini, iaitu bersembahyang.

Ia menjadi titik mula keinsafan di dalam diri dan saya bertekad menjadi insan lebih baik selepas keluar dari kem ini.

Saya ‘terlupa’ sebelum ini kehidupan yang harus saya lalui sebenarnya masih jauh dan panjang, tetapi apa yang dilakukan hari ini mungkin mengakibatkan saya menjadi ‘sampah masyarakat’ satu hari nanti.”


Pengakuan 3 (Azam)

Sebab Dihantar Ke Kem: Kes pecah rumah

“SAYA pernah ditangkap kerana memecah masuk ke rumah bapa saudara, awal tahun ini.

Itu detik permulaan keluarga saya menyedari aktiviti jenayah saya, menyebabkan saya dihantar ke kem ini.

Sebelum ini, banyak rumah yang saya pecah masuk. Biasanya saya dan beberapa rakan melakukan kerja ini secara berkumpulan. Anggota kumpulan saya ada tujuh orang dengan paling tua berusia 18 tahun dan kami sering melakukan aktiviti pecah rumah bersama-sama.

Saya tidak ingat berapa rumah saya pecah masuk sejak tahun lalu. Kami mencuri apa saja barangan seperti telefon bimbit, perhiasan rumah dan perkakas elektrik. Barangan curi itu ada yang kami jual dan ada juga yang kami guna sendiri.

Hasilnya, saya memperoleh antara RM300 dan RM500 setiap kali agihan ‘pendapatan’ daripada aktiviti kami. Wang itu saya guna untuk membeli rokok dan berfoya-foya dengan sembilan teman wanita saya.



Disebabkan ada ramai teman wanita, saya terpaksa mengatur ‘jadual’ bagi memastikan tembelang saya tidak terbongkar.

Untuk ‘menyara’ semua teman wanita, saya terpaksa menggandakan aktiviti pecah rumah hinggakan rumah bapa saudara juga jadi sasaran.

Daripada sembilan teman wanita, saya pernah meniduri tiga manakala yang lain pula sekadar ‘ringan-ringan’ atau seks oral. Mungkin disebabkan kerap menonton video lucah, saya seolah-olah ketagih seks.

Selain aktiviti pecah rumah, saya dan anggota kumpulan turut memeras ugut pelajar lain untuk mendapatkan wang.

Biasanya, kami meminta RM10 hingga RM50 mengikut kemampuan pelajar berkenaan. Mangsa selalunya pelajar yang tidak dilindungi kumpulan lain.



Saya anak ke-10 daripada 12 beradik. Bapa saya hanya buruh kontrak dan tidak dapat memberi apa yang saya minta, terutama kewangan. Jadi, kehadiran saya di rumah antara ‘ada dan tak ada’. Keluarga tidak pernah bertanya ke mana saya pergi dan saya bebas melakukan apa saja, termasuk tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, aktiviti saya terbongkar apabila ditangkap bapa saudara ketika memecah masuk rumahnya. Aktiviti kami dilakukan waktu pejabat dan sebelum ini terlalu banyak rumah yang kami pecah masuk dan tidak pernah tertangkap.

Nasib saya pada hari itu tidak baik apabila sebaik mengambil beberapa barangan dan hendak keluar bersama beberapa anggota kumpulan lain, bapa saudara pulang dan ternampak saya. Ini menyebabkan kumpulan kami meninggalkan semua barangan dan lari lintang pukang.

Bagaimanapun, bapa saudara memberitahu apa yang berlaku kepada ayah dan ibu saya. Akibatnya, teruk saya kena belasah dan mereka juga hampir membawa saya ke ‘sekolah budak jahat’. Saya kemudian memberi jaminan berubah sikap, menyebabkan saya dihantar ke kem ini.”

Pengakuan 4 (Nadia)

Sebab Dihantar ke Kem: Ditangkap menonton video lucah dan memukul ibu

“SEBUT apa saja video lucah, pelbagai aksi atau jenis, semuanya saya tonton. Aktiviti ini bermula apabila rakan membawa VCD (cakera padat video) lucah ke rumah dan selepas itu kami tonton bersama.



Jika tiada orang di rumah, saya jadi ‘raja’, malah memuaskan nafsu sendiri. Tidak cukup dengan itu, saya memuaskan nafsu dengan lelaki simpanan, meskipun pada masa sama saya ada teman lelaki.

Namun, kami hanya lakukan ‘ringan-ringan’ saja, bukan hubungan seks.

Bila berjumpa, kami mesti bercumbu, tetapi dengan teman lelaki kami tidak pernah buat perkara tidak senonoh ini.

Selain itu, saya selalu ikut mat rempit pergi meronda sekitar Kuala Lumpur dan pulang lewat malam.

Kami hanya keluar bersuka ria, bukan buat perkara tak senonoh seperti berlumba atau untuk tujuan seks.

Emak dengan ayah memang marah, tetapi saya buat tak tahu saja. Ada ketikanya saya bergaduh dengan emak, malah pernah ‘melarikan’ diri berminggu-minggu mengikut rakan sekolah.



Saya pernah bergaduh dengan emak sehingga tanpa sengaja, saya memukulnya.

Saya tiada niat buat begitu, tetapi terpaksa. Aktiviti saya memang liar hinggakan emak dan ayah tak boleh buat apa-apa.

Semuanya kerana ikut kawan dan mahu berseronok. Namun saya bernasib baik kerana tiada perkara buruk berlaku hinggalah saya dihantar ke sini.

Memang saya bersyukur kerana masih ‘terselamat’ dengan pelbagai perkara baru diperoleh sepanjang mengikuti kursus di kem ini.

Saya berniat untuk berubah menjadi manusia lebih baik, terutama menghormati emak dan ayah yang selama ini saya buat tak tahu saja.

Selain itu, saya mahu memohon maaf kepada mereka di atas kesilapan selama ini.”


No comments: