Catriona Parah

REMBAU: Pelakon terkenal, Catriona Bahrin Ross, 26, dikatakan berkeras untuk mengikuti rakan serumahnya ke Johor Bahru disebabkan bosan tinggal di rumah sebelum mereka terbabit dengan kemalangan jalan raya di Kilometer 230.8, Lebuhraya Utara-Selatan di Rembau, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi semalam, pelakon itu parah selepas kereta dipandu rakan serumahnya, Jennifer Govia, 32, terbabas sebelum dirempuh sebuah trailer.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Seorang ahli keluarga Jennifer yang enggan namanya disiarkan berkata, dua sahabat itu dalam perjalanan dari ibu kota ke Johor Bahru kerana Jennifer perlu menghadiri mesyuarat di sana.

“Sepatutnya, Jennifer pulang berseorangan ke rumah kami di Johor Bahru sebelum menghadiri mesyuarat yang dijadualkan jam 10 pagi, tetapi Catriona berkeras mahu mengikutnya kerana bosan tinggal di rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia bersama seorang lagi ahli keluarga bergegas dari Johor Bahru ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini selepas mendapat berita mengenai kemalangan itu, petang semalam.



Dalam kemalangan itu, Catriona patah kedua-dua kaki, tangan kanan serta beberapa batang gigi, manakala Jennifer patah paha kiri serta terseliuh tulang pinggul sebelah kanan.

Difahamkan, ketika kejadian, Catriona dikatakan tidur di kerusi penumpang depan kereta berkenaan.

Kejadian berpunca daripada kereta Chevrolet dipandu Jennifer terbabas ke laluan bertentangan selepas cuba mengelak sebuah kon pembinaan plastik yang secara tiba-tiba tercampak masuk ke laluannya.

Pada masa sama, sebuah trailer dalam perjalanan dari arah Melaka ke Senawang datang dan merempuh belakang kereta dinaiki dua sahabat itu, menyebabkan ia remuk.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Wad 8B HTJS dan dilaporkan dalam keadaan stabil, tetapi Catriona yang masih trauma akibat kejadian itu tidak dibenarkan banyak bergerak serta bercakap.



Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Mat Dom, ketika dihubungi berkata, lelaki yang memandu trailer berkenaan tidak cedera dan polis sudah mengambil keterangannya, petang semalam.

Sementara itu, tinjauan di Wad 8B HTJS, petang semalam, mendapati Catriona dalam keadaan sedar dan stabil serta memberi reaksi kepada rawatan. Bagaimanapun, dia dilihat masih trauma dengan kejadian itu.

Mangsa kini ditemani dua ahli keluarga Jennifer, manakala ahli keluarga pelakon berkenaan dikatakan masih dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland itu dikenali ramai selepas beraksi menerusi lebih 20 drama televisyen. Antara drama popularnya ialah drama bersiri 26 episod, Datin Diaries arahan Rashid Sibir menerusi saluran TV3 selain Rafflesia 2, Sephia, Mengapa Harus Ada Cinta dan Hijriatul Sufia.

Catriona juga pernah beraksi dalam dua filem iaitu Mistik dan terbaru, filem ‘psiko-thriller’ bertajuk Chermin arahan Zarina Abdullah yang ditayangkan di pawagam Mac lalu.



Dia juga turut menjadi pelakon undangan dalam Qabil Kusyri Qabil Igam.


No comments: