Sembilu Kasih Berakhir Ogos Ini

Penerbit drama Sembilu Kasih, Datuk Yusof Haslam akhirnya membuat keputusan penghentikan penerbitan drama yang kini disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam di TV9 itu.

Menurut Yusof, syarikatnya Skop Production Sdn. Bhd., sudah pun menyiapkan musim terakhir drama itu yang akan mula menemui penonton pertengahan Mei ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
DUDUK dari kiri: Bilal Khan, Zed Zaidi, Faizal Hussein dan Esma Danial turut hadir di majlis kesyukuran dan doa selamat Sembilu Kasih di kediaman Yusof Haslam baru-baru ini.



“Siaran episod terakhirnya, dijangka pada Ogos nanti. Selepas itu Sembilu Kasih akan dihentikan bukan kerana rating rendah atau kekeringan idea tapi sudah lama sangat siarannya. Sebagai pembikin filem, saya perlu fikir dari aspek kepuasan dan relevan drama tersebut.

“Sebenarnya sudah lama saya hendak tamatkan Sembilu Kasih tapi stesen TV minta teruskan. Sekarang ini kalau mendapat permintaan ramai sekalipun saya tidak akan teruskan. Cukuplah dua tahun saya menerbitkan Sembilu Kasih. Dulupun dua tahun juga saya menghasilkan Sembilu,” kata Yusof pada majlis kesyukuran dan doa selamat Sembilu Kasih musim terakhir di kediamannya baru-baru ini.

Sebelum bersiaran di TV9, Sembilu Kasih pernah disiarkan di TV3 sebanyak 26 episod. Membariskan pelakon utama seperti Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Faizal Hussin, Julia Hana, Datuk Aziz Singah, Aznah Hamid, Esma Daniel dan Azza, Sembilu Kasih diarah bersama oleh Syamsul Yusof, Yusof Kelana dan Faizal Yusof.




Cabaran

Pada musim terakhirnya, Sembilu Kasih diberikan nafas baru.

“Penonton akan didedahkan dengan satu tragedi yang melanda hubungan rumah tangga Zetty dan Fendi,” kata Yusof memberi gambaran tentang Sembilu Kasih musim akhir.

Menceritakan pengalamannya menerbitkan drama bersiri terpanjang tempatan itu, kata Yusof, banyak halangan dan cabaran yang diharungi.

Jelasnya, jika tidak ada sifat kesabaran dan sokongan daripada isteri, Datin Fatimah Ismail sudah lama drama tersebut dihentikan.

“Isteri saya pernah ikut saya terbang ke Singapura untuk memujuk Hetty Sarlene. Bukan mudah berhadapan dengan kerenah artis, memikirkan jalan cerita yang menarik, semua itu memang memeningkan kepala. Tapi ia mematangkan saya dan menjadikan hubungan saya dan isteri dengan para pelakon serta krew ibarat saudara,” kata Yusof terus terang.



No comments: