Mawi Kena Bomoh?

KUALA LUMPUR: Populariti dan kemewahan yang diraih Mawi dalam masa singkat rupa-rupanya menimbulkan hasad dengki segelintir artis lain hingga ada yang cuba mengupah bomoh untuk menghancurkan kerjaya dan kehidupan juara Akademi Fantasia (AF) 3 itu.

Ini terbukti apabila kebanyakan pengamal perubatan tradisional dan bomoh terkenal di negara ini mengesahkan menerima banyak permintaan untuk ‘mengenakan’ Mawi, 26, bertujuan menjatuhkan kerjayanya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pengamal perubatan, Desa Othman, 61, atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Datuk Kelana Indera Sakti’ berkata, dia yakin antara permintaan yang diterimanya untuk menjatuhkan Mawi ada kaitan dengan artis lain yang dengki terhadap anak kelahiran Johor itu.

“Secara peribadi, saya menerima banyak panggilan untuk ‘mengenakan’ Mawi. Boleh dikatakan berpuluh-puluh panggilan sejak namanya melonjak sebaik menjuarai AF3 pada 2005.

“Soalan wajib mereka ialah, adakah saya boleh menjahanamkan Mawi? Apabila memaklumkan saya tidak buat kerja terkutuk itu, ada yang marah, termasuk mengutuk saya kononnya mengaku bomoh tetapi kerja mudah pun tidak mampu dilakukan,” katanya.



Desa berkata, permintaan itu bukan saja diterima daripada panggilan telefon, malah ada yang sanggup menghantar wakil untuk menyampaikan niat mereka.

“Mungkin mereka orang terkenal dan saya akan cam jika mereka hadir. Untuk mengelak identiti terbongkar, mereka menghantar wakil seperti saudara atau kenalan rapat.

“Di sini menimbulkan perasaan syak saya bahawa antara yang cuba menjatuhkan Mawi mungkin orang sama di dalam industri hiburan,” katanya.

Desa berkata, ada pihak yang ingin mensabotaj karier Mawi cuba memujuknya dengan memberi jaminan akan membayar berapa sekalipun wang diminta.

“Saya cuba memberi penerangan kepada mereka, wang bukan masalah utama, tetapi saya tidak buat kerja kotor itu. Namun, saya bimbang kerana permintaan untuk mengenakan ilmu hitam kepada Mawi terus diterima hingga sekarang.



“Yang saya mampu nasihatkan Mawi ialah menjaga makan dan minumnya selain bimbang dia disantau dari jauh. Selain itu, banyak mengingati Allah SWT,” katanya.

Bagaimanapun, Desa tidak menolak selain menerima panggilan untuk mengenakan ilmu hitam terhadap Mawi, ada juga permintaan membuat pendinding untuk penyanyi berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.

Dia juga mengaku sikap dengki terhadap artis bukan perkara baru, sebaliknya berlaku sejak dia menceburi bidang perubatan tradisional lebih 30 tahun lalu.

“Antaranya Datuk Siti Nurhaliza. Sebelum ini, saya banyak menerima permintaan untuk mengenakan ilmu hitam terhadapnya. Namun selepas munculnya Mawi, permintaan untuk mensabotaj Siti tidak lagi berlaku,” katanya.

Seorang lagi pengamal perubatan dari Klang, Baharuddin Osman atau Pak Raden, berkata dia belum pernah menerima permintaan untuk menganiaya Mawi, sebaliknya yang datang kepadanya mahu dia membuatkan pendinding untuk Mawi dan keluarganya.



“Minggu lalu ada lelaki yang mengaku kononnya dari Johor datang bertemu saya meminta pendinding untuk Mawi dan ibunya, Ramlah Sarlan. Saya hanya menjalankan kerja kerana itu permintaan baik,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan lain yang dikenali dengan panggilan Datuk Kencana turut mengesahkan menerima permintaan untuk menghancurkan karier Mawi menerusi berpuluh-puluh panggilan telefon yang menyuruhnya mengenakan ilmu hitam terhadap Mawi dalam tempoh seminggu.

“Ada juga yang datang berjumpa saya mendakwa dia mewakili individu tertentu yang enggan dikenali, namun tujuan mereka sama iaitu mahu saya ‘menghancurkan’ Mawi.

“Paling mengejutkan, ada yang menelefon mendakwa dia peminat penyanyi popular lain. Baginya, Mawi boleh menjejaskan populariti penyanyi kesayangannya, jadi dia meminta saya menjatuhkan kerjaya Mawi,” katanya.

Datuk Kencana yang hanya mahu dikenali Izwan sebagai nama sebenarnya berkata, golongan peminat fanatik itu sanggup membayar berapa saja wang yang diminta, asalkan hajat mereka dipenuhi.



“Namun, saya tolak permintaan mereka kerana tugas saya sebagai bomoh adalah menolong, bukan menganiaya orang. Bagi saya, kerja kotor untuk menutup pintu rezeki atau menyakiti orang lain tidak termasuk di dalam ‘perkhidmatan’ saya dan mereka boleh mencari bomoh lain.

“Kepada Mawi pula, saya sentiasa terbuka dan bersedia menerima kehadirannya jika dia memerlukan bantuan,” katanya.

Mawi ketika dihubungi Metro Ahad pula meminta pihak yang benci dan iri hati kepadanya supaya memikirkan semula perbuatan mereka.

“Tiada gunanya kita saling bermusuhan. Saya menceburi bidang (hiburan) ini bukan untuk mencari musuh. Saya hanya ingin mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga.

“Bagaimanapun, saya sentiasa berserah kepada Allah. Jika niat kita baik, pasti mendapat balasan baik,” katanya yang sebelum ini pernah mengaku sering mengalami gangguan makhluk halus sejak popularitinya meningkat.



Mawi mendakwa pernah ditekup mulut dan ditarik kaki oleh lembaga wanita lengkap berpakaian serta bertudung merah ketika berbaring untuk tidur.

Akibat kejadian itu dia sukar bernafas, menyebabkan dia terjaga beberapa kali daripada tidur.

Selain itu, hampir setiap malam dia diganggu lembaga hitam ketika mahu tidur. Bagaimanapun, sehingga ini dia bersyukur dia masih sihat untuk meneruskan kehidupan.


Lagi pasal Mawi; Mawi Pilih Dekna AF5





No comments: