Siapa Noryn Aziz?

TIDAK terlintas di fikiran Noryn Aziz, 31, album terbarunya, Alam Maya, diberi pengiktirafan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), sehingga dicalonkan dalam dua anugerah utama pada Majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-14.

Majlis penganugerahan itu bertujuan mengiktiraf karya muzik terbaik dihasilkan sepanjang tahun lalu dan ia dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 April ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pastinya, sebagai penyanyi yang agak lama menyepikan diri dalam dunia seni, dicalonkan bersama nama besar dianggap satu penghormatan.

Walaupun dicalonkan dalam senarai lima terbaik, namun Noryn menganggap ia satu kemenangan dan rezeki.

“Hampir enam tahun saya berusaha menghasilkan Alam Maya, sepanjang tempoh itu saya tidak pernah terlintas ia bakal tersenarai dalam kategori Album Pop Terbaik dan saya sendiri dicalonkan dalam kategori Vokal Wanita Terbaik.



“Walaupun sudah menghasilkan album sebelum ini, namun disebabkan lama menyepikan diri saya anggap pembabitan saya dengan album Alam Maya sebagai pendatang baru.

“Sudah tentu sebagai penyanyi baru dicalonkan dalam dua anugerah itu, saya berasakan ia satu pencapaian cukup besar,” katanya.

Sebelum ini, pada majlis anugerah AIM ke-10, penyanyi muda Siti Sarah pernah mencipta kejutan apabila albumnya, Sarah, memenangi anugerah Album Pop Terbaik dan sekali gus mengungguli anugerah utama Album Terbaik.

Mungkinkah kemunculan semula Noryn bersama Alam Maya bakal mencipta kejutan sama di AIM ke-14 ini?

“Saya tidak mahu berangan soal kemenangan kerana pada saya itu terlalu jauh. Cukuplah sekiranya saya hanya bergembira dengan pencalonan ini.



“Kalau saya menang antara dua kategori itu, tiada apa dapat saya katakan selain bersyukur dan menerimanya sebagai rezeki Tuhan,” katanya.

Bagi Noryn, pencalonan albumnya itu dianggap membuka ruang lebih besar kepada satu genre muzik baru yang sebelum ini agak asing bagi peminat muzik tempatan.

“Album saya ini berkonsepkan jazz dan ada sedikit elemen R&B.Seperti yang kita ketahui, tidak ramai penyanyi tempatan menghasilkan album seperti ini. Pada saya, dengan adanya album Alam Maya dalam kategori album Pop Terbaik bermakna penggiat industri muzik tempatan mula menerimanya.

“Impian saya selepas ini mahu melihat genre muzik yang cuba saya ketengahkan ini dapat memberi lembaran baru dengan melihat ada satu kategori khas menampilkan genre muzik itu diwujudkan dalam AIM.

“Menilai dari sudut majlis penganugerahan diadakan, dapat saya katakan industri kita terlalu kecil berbanding industri muzik luar.



“Contoh terdekat, lihat saja majlis Anugerah Industri Muzik Indonesia (AMI) berapa banyak kategori diwujudkan. Namun, perkembangan itu harus dinilai dari sudut pasaran mereka yang cukup luas. Penduduk mereka saja ada 220 juta, jadi tidak hairanlah muzik jazz dan R&B ada pengikutnya,” katanya.

Menyentuh mengenai pencalonannya dalam kategori Penyanyi Wanita Terbaik bersaing bersama Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Aishah dan Farhan, jelas Noryn, dia tidak meletak harapan tinggi.

“Tidak seorang pun senarai dalam kategori itu saya pandang ringan. Malah, saya sepatutnya berasa bertuah kerana dicalonkan bersama mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.

“Siapa saya sekiranya hendak dibandingkan dengan Siti Nurhaliza, apatah lagi dia mengungguli kategori itu tujuh tahun berturut-turut. Aishah sendiri sudah 20 tahun membabitkan diri dalam industri muzik tempatan. Berada di sampingnya pada saya satu penghormatan besar.

“Pendatang baru seperti Jaclyn dan Farhan juga mempunyai kekuatan tersendiri. Seperti Jac, siapa yang boleh menandingi suara nyaring dimiliki,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan terbaru, jelas Noryn, dia yang sepatutnya dijadualkan menyertai Festival Muzik Jazz Indonesia di Jakarta pertengahan bulan ini buat kali kedua, namun terpaksa membatalkan tawaran itu kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi.

“Terkilan juga apabila perancangan awal itu terpaksa dibatalkan. Apatah lagi beberapa teman di sana sudah merancang menyambut ketibaan saya. Tidak mengapa, kerana tahun hadapan saya masih boleh menyertai mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Noryn juga sibuk merancang untuk menerbitkan album terbaru. Kali ini cita rasanya sedikit berbeza dan sesuai dengan kehendak pasaran.



Profil

Nama Sebenar: Norazmahwati Abdul Aziz

Usia: 31 tahun

Tarikh Lahir: 26 November 1976

Tempat Lahir: Shah Alam, Selangor

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM)

Album: Fantasi O Realiti dan Alam Maya

Pencapaian: Mewakili Malaysia di Festival Muzik Antarabangsa Jazz di Indonesia, Singapura dan Vietnam.



No comments: