Tanda Tanya Yin

KUALA LUMPUR: Pelbagai persoalan kini timbul apabila pasangan suami isteri warga Myanmar yang menetap di negara ini kira-kira 20 tahun, mendakwa mereka tidak menyedari langsung kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, 5. Alasannya, mereka buta huruf dan tiada peti televisyen di rumah.

Lebih meragukan apabila pasangan itu mendakwa terpaksa mencukur rambut Yin selepas dua hari menjaga kanak-kanak berkenaan kerana dia diserang demam campak dan mempunyai bintik-bintik gatal di kepala.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bagaimanapun, ketika diserahkan kembali ke pangkuan keluarganya, kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang kesan diserang demam campak dan kudis di kepala seperti dakwaan pasangan itu.

Selain itu, pasangan suami isteri terbabit mendakwa ketika Yin diserang demam campak, suhu badannya terlalu panas dan mereka terpaksa menjemput seorang doktor yang juga warga Myanmar untuk merawat kanak-kanak itu sebelum disapu sejenis ubat di seluruh badan.

Hakikatnya, bapa Yin, Shamsul Ghazali Shamsudin, mendakwa doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memeriksa anaknya mengesahkan kanak-kanak itu tidak kena campak dan tidak mengalami sebarang trauma selepas kejadian itu.



Tinjauan Harian Metro di rumah pasangan warga Myanmar di kawasan setinggan di Pasar Sentul di sini, mendapati kediaman berkenaan tidak dilengkapi televisyen, namun jiran mereka mempunyai kemudahan itu.

Malah, jiran pasangan itu yang juga warga Myanmar, enggan memberi sebarang komen dan mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai kanak-kanak berkenaan.

Pasangan warganegara Myanmar itu, Abdul Rahman Doli Rahman, 31, dan Noorshida Nur Islam, 27, mempunyai lima anak berusia dua hingga 10 tahun ketika ditanya mengenai doktor yang merawat Yin, bagaimanapun mendakwa doktor itu sudah meninggalkan Kuala Lumpur kerana pulang ke negara asalnya.

Abdul Rahman yang bekerja mencari barang lusuh berkata, dia dan isteri menamakan Yin dengan nama Yusof dan kanak-kanak terbabit manja dengan mereka sekeluarga.

Pendatang terbabit berkata, dia dan isteri ke pusat beli-belah Sogo di sini, setiap hari untuk mengutip barang terbuang yang boleh dijual atau dikitar semula.



Ketika ditanya mengapa mereka tidak menyerahkan Yin kepada polis, Abdul Rahman berkata, dia dan isteri tidak mengetahui kanak-kanak itu orang hilang yang dicari selama ini serta tidak pernah berurusan dengan polis.

“Saya tak tahu membaca dan kami hidup susah, mana saya tahu budak ini ada ibu bapa,” katanya.

Yin, seorang kanak-kanak hiperaktif yang hilang sejak dua minggu lalu, ditemui semula kelmarin, selepas sepasang suami isteri warga Myanmar menghubungi seorang rakan bapa mangsa, Baharudin Hassan sebelum mereka bertemu di sebuah masjid di Sentul untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa pulang ke rumah Baharudin yang bersahabat dengan Shamsul Ghazali di Setiawangsa di sini, sebelum dihantar ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.

Yin hilang ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo di sini, kira-kira jam 2 petang, 31 Mac lalu sebelum dia dijumpai wanita warga Myanmar yang mendakwa membawa kanak-kanak itu pulang ke rumahnya di Pasar Sentul.



Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kanak-kanak itu, termasuk menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat, solat hajat dan mengedarkan poster di sekitar ibu kota.


No comments: