Azharina Diserang Gosip

TIDAK cukup dengan gosip menjadi isteri ketiga kepada ahli perniagaan, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi, Azharina Azhar juga dikatakan mengecapi kemewahan hidup hasil tajaan golongan kenamaan.

Bagi Azharina, 22, atau lebih popular dengan panggilan Nina, dia sudah lali dengan pelbagai gosip yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini.

“Saya sudah tidak peduli dengan semua gosip itu. Sudah berbuih mulut saya beri penjelasan mengenai status saya sebelum ini tapi gosip itu masih diperkatakan juga.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Lebih baik saya tidak beri komen apa-apa lagi mengenai status atau cerita peribadi saya. Terpulanglah orang nak cakap apapun mengenai status saya, sama ada saya masih bujang atau sudah berkahwin.

“Sebenarnya saya sudah bosan menjawab soalan berkaitan status saya. Kalau saya beri komen dianggap salah, tak beri komenpun salah. Lebih baik saya berdiam diri kerana selepas beri komenpun akhirnya menyusahkan diri sendiri dan keluarga,” katanya.


Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang kini memiliki produksi Top 3 Production Sdn Bhd dan syarikat pengurusan Azharina Entertainment berkata, kesenangan yang dikecapinya hari ini berkat kerja kerasnya selama ini.

“Saya pernah hidup susah dan hanya saya tahu keperitan hidup ketika itu. Justeru, saya sanggup bekerja siang dan malam untuk mengubah kehidupan saya seperti hari ini. Saya menubuhkan produksi ini bersama rakan kongsi dan adik saya turut membantu saya menguruskannya.

“Produksi saya terbabit dalam projek video korporat, drama dan dokumentari. Manakala, syarikat pengurusan pula menguruskan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Dalam pertemuan dengannya baru-baru ini, secara peribadi Azharina mengakui fokusnya kini kepada kerjaya nyanyian yang dicintainya, sejak dulu.

Demi kerjaya nyanyian jugalah Nina memulakan kerjaya nyayian seawal usia 5 tahun dan terus bertahan sampai hari ini.



Buat permulaan, Azharina mempertaruhkan single pertamanya, Tsunami Kasih hasil ciptaan Datuk Mokhzani Ismail dan liriknya ditulis Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Album ini dimuatkan dalam album kompilasi Goreng Pisang Panas oleh Sony-BMG dan album Orkestra RTM (terbitan RTM). Album kompilasi edaran Sony-BMG ini sudahpun menjengah pasaran ketika ini.

“Saya terharu bila diberi penghormatan oleh Datuk Seri Zainuddin untuk menyampaikan lagu yang menceritakan rasa cinta dan kasih sayangnya yang mendalam kepada isterinya yang sakit itu.

“Lagu ini paling cepat dirakamkan tapi paling sukar pula untuk dinyanyikan. Sebelum merakamkan lagu ini saya perlu menghayati maksudnya terlebih dulu. Maklumlah ini lagu kisah sedih,” katanya.

Selain itu, kata Nina dia juga bakal tampil dengan single keduanya yang juga ciptaan komposer terkenal Azlan Abu Hassan (Azlan) tidak lama lagi.



“Saya difahamkan Azlan menghadapi ‘tekanan’ ketika ini kerana saya inginkan single kedua ini sambungan kepada lagu Elegi Sepi yang memberi lebih sejuta makna dalam hidup saya. Kalau tidak sama tarafpun, saya inginkan lagu ini lebih hebat dari Elegi Sepi,” katanya.

Dalam pada itu, selepas tiga tahun tidak muncul dengan album baru, Azharina berkata, dia inginkan album kali ini bingkisan terbaiknya dalam misi menembusi pasaran muzik Indonesia tahun ini.

“Setakat ini, pembikinan album saya baru sepuluh peratus. Saya masih giat kumpul material untuk album ini. Insya-Alah, jika tiada aral ia dijangka siap penghujung tahun ini.

“Antara komposer yang disenaraikan dalam album ini ialah Azlan, Adnan Abu Hassan, Audi Mok, Erwin Gutawa, Damian VE dan Cat Ruffedge. Jika ada rezeki saya juga teringin untuk bekerjasama dengan Melly Goeslaw dan Anang untuk album ini.

“Apa yang boleh saya katakan album ini lebih menarik kerana ia lebih variasi dengan genre lagu seperti dangdut-hip hop dan lagu Inggeris yang menampilkan sentuhan komposer terkenal dari Amerika Syarikat.

“Apapun, rangkaian lagu yang terkandung dalam album ini pasti tidak menghampakan peminat dan ia juga sebagai penghargaan tidak terhingga saya buat peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seni saya selama ini,” katanya.





Profil Nina


Nama Penuh: Azharina Azhar

Nama Panggilan: Nina

Umur: 22 tahun

Tarikh Lahir: 11 Mac 1985

Tempat Lahir: Kota Kinabalu, Sabah

Status: Bujang

Tinggi: 157 sentimeter

Berat: 53 kilogram

Single: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007)

Album: Azharina (2003), Nina (2005), album kompilasi Sony-BMG Goreng Pisang Panas

Video: Seandainya, Elegi Sepi dan Tsunami Kasih

Pencapaian: Juara Bintang RTM 2001




No comments: