AF4 : Realiti Zila

TUAH mungkin menyebelahi gadis manis dari Negeri Sembilan ini apabila dia muncul bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4) yang pertama berjaya menghasilkan album studio.

Menggunakan Zila Seeron - Realiti, sebagai judul album, peminat kini boleh mendapatkan buah tangan pertama penyanyi berusia 19 tahun ini yang sudah pun memasuki pasaran sejak pertengahan bulan ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Zila, bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4) yang pertama berjaya menghasilkan album studio.


Begitupun, album sulung penyanyi remaja ini bukanlah hasil terbitan Maestro Records. Sebaliknya, ia diterbitkan oleh Apex Entertainment Network, setelah usaha menerbitkannya dilakukan sendiri oleh Presiden Kelab Peminat Zila Malaysia, Zila Wanda Ahmad, yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutifnya.

Zila mengikat kontrak selama tiga tahun sebagai artis rakaman Apex. Pada masa yang sama, kerja pengurusan masih lagi dijalankan oleh pihak Maestro.

“Sebagai artis baru, seseorang penyanyi tidak akan dapat bersaing sekiranya tidak mempunyai sebarang album. Lagipun, Maestro sendiri belum mempunyai perancangan untuk menerbitkan album Zila. Kerana itu kami mendekati Maestro dan mengadakan perbincangan untuk mendapatkan Zila sebagai artis rakaman Apex.



“Pada hakikatnya, Maestro memang mengalu-alukan syarikat rakaman menerbitkan album bekas pelajar AF yang diuruskan mereka. Namun, tujuan kami menghampiri pihak terbabit, memang semata-mata untuk mendapatkan Zila. Alhamdulillah, semuanya kini siap sebagaimana yang direncanakan,” kata Wanda.

Album yang dirakam pada bulan puasa tahun lalu, siap sepenuhnya pada pertengahan Disember 2006. Sedikit kelainan, album ini menampilkan ramai muka baru dalam ciptaan dan penulisan liriknya.

“Memang hasrat kami untuk memberikan ruang kepada bakat baru untuk sama-sama memeriahkan industri hiburan tanah air. Jika tidak ada muka baru, kesinambungan bidang seni mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Itulah realiti yang cuba kami tonjolkan menerusi album pertama Zila ini,” ujar Wanda.

Sebagai single pertama, Zila menghadiahkan peminatnya dengan lagu balada berjudul Cinta Yang Di Sini. Selain lagu berkenaan, 10 lagu lain turut disenaraikan dalam album ini, iaitu Ula La, Nafas Cinta, Kasih, Cinta Sulaman Malaysia, Andai, Ibu, Warkah Cinta, Realiti, Tak Ingin Lagi dan Warisan.

“Kami memilih Cinta Yang Di Sini ciptaan Shah Rizal dan Chemeng sebagai single pertama kerana ia cepat menangkap pendengaran sebaik saja dimainkan,” kata Zila yang turut menyediakan klip video untuk lagu berentak perlahan berkenaan. Katanya juga, tidak lama lagi, klip video lagu duetnya bersama Royce (Dua Kali Cinta), Warkah Cinta, akan turut dirakam.



Sebuah lagu berbentuk patriotik tidak lupa dirakam penyanyi muda ini. Lagu berjudul Warisan itu memang dikenali di kalangan pelajaran serta mereka yang sering menghadiri kursus bina semangat atau tata negara.

“Saya juga ingin menyampaikan mesej berguna kepada pendengar melalui lagu nyanyian saya. Takkan hendak bercerita mengenai kisah cinta semata-mata. Sambil berhibur, seharusnya kita tidak melupakan tanggungjawab sebagai anak bangsa dan kewajipan kita semua kepada negara,” ujar gadis yang berasal dari Felda Lui Selatan ini.



Info

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket PROMOSI album Zila bermula di Terminal One Seremban pada 21 April lalu. Dia juga mengadakan promosi di kampung halamannya, Jempol, kelmarin.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket DI Kuala Lumpur, Zila akan menemui peminat di gerai Zila FC di tapak Karnival Celebrity Mid Night Walk pada 1 dan 2 Mei ini, jam 8 malam.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket ZILA turut mendapat sokongan kuat kelab peminatnya di Pantai Timur yang kini rancak menyusun jadual promosinya di Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, Dungun, Besut, Kota Bharu, Kuala Kerai, Maran, Jerantut dan Temerloh.




No comments: