Ganja RM1.4j

KANGAR: Dua penyeludup lari lintang-pukang dalam pantai berlumpur sebelum menghilangkan diri di hutan bakau selepas cubaan mereka menyeludup 698.25 kilogram daun kering dipercayai ganja di persisiran pantai Sungai Siput di sini, gagal.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi kelmarin, dua lelaki dipercayai rakyat tempatan itu dapat menyusup hutan bakau terbabit untuk mengelak ditahan anggota Cawangan Marin dan Narkotik, Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Pengarah KDRM negeri, Mohd Ali Hashim, berkata dua lelaki itu dipercayai cuba menyeludup dadah dari Thailand melalui laluan laut di perairan Kuala Perlis menggunakan bot nelayan tempatan.

“Sepasukan lapan anggota kastam yang menerima maklumat kehadiran bot terbabit bergegas ke lokasi menggunakan bot pemintas marin untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki terbabit memecut bot menuju Pantai Sungai Siput, dan meninggalkannya di pesisir pantai, sebelum melarikan diri melalui hutan bakau berhampiran,” katanya di sini, semalam.



Beliau berkata, anggotanya sukar mengejar bot itu berikutan air cetek, malah dua anggota kastam turut terjun dan cuba mengejar mereka melalui hutan bakau terbabit, tetapi gagal.

Selepas diperiksa, pihaknya menemui 32 beg plastik mengandungi 730 ketulan mampat ganja di dalam bot terbabit, dengan berat kasar 698.25 kilogram bernilai hampir RM1.4 juta.

Beliau menganggap rampasan dadah itu yang terbesar dilakukan KDRM Perlis setakat ini.

Dadah itu dipercayai dibawa masuk sindiket tertentu dari Thailand untuk pasaran tempatan.

“Kami masih menyiasat identiti dua lelaki itu dan maklumat pemilik bot terbabit berdasarkan nombor pendaftaran digunakan.



“Kes itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Harian Metro difahamkan dua penyeludup terbabit menghilangkan diri dengan kenderaan lain yang disediakan oleh sindiket pengedaran dadah yang menunggu di daratan.

Pihak penguatkuasa kini diarahkan meningkat kawalan sempadan berikutan maklumat berlaku kegiatan penyeludupan dadah.



No comments: