Syurga Baru Kaki Disko

KUALA LUMPUR: Kewujudan pil baru digelar ‘pil seronok sepanjang masa’ berbentuk tiga segi yang kini menjadi kegemaran kaki disko untuk berhibur dirampas polis selepas tertangkapnya dua pengedar yang sedang mempromosikan bahan berkenaan di hadapan sebuah pusat hiburan di Ibu kota, baru-baru ini.

Pil import itu mula memasuki pasaran gelap dikatakan dicipta khas untuk kaki disko dan mampu memberi keseronokan berpanjangan tetapi harganya lebih mahal berbanding pil `goyang kepala’ lain.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata polis memberkas dua lelaki itu kira-kira jam 8 malam di luar pusat hiburan di sekitar ibu kota selepas mendapat maklumat orang ramai.

“Polis merampas 120 biji pil berkenaan yang ditemui di badan mereka, dipercayai untuk diedarkan kepada pengunjung pusat hiburan di sekitar ibu kota.

“Susulan penangkapan itu, polis membawa suspek ke rumahnya di Setapak sebelum merampas kira-kira 50 biji lagi pil Erimin 5,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, pil seronok sepanjang masa itu dijual pada harga RM60 sebiji dan ia amat digemari pengunjung pusat hiburan kerana dikatakan mampu mendatangkan keseronokan terutamanya pengunjung yang ingin melupakan pelbagai masalah yang dihadapi.

Dalam operasi itu, Kang berkata polis turut merampas dua paket ketamin yang dipercayai milik dua lelaki terbabit ketika menjalankan pemeriksaan di rumah itu.



Menurutnya, polis buat pertama kalinya merampas pil berbentuk tiga segi itu yang dikatakan semakin mendapat sambutan dan menjadi kegilaan pengunjung pusat hiburan masa kini.

“Polis percaya pil berkenaan diseludup dari luar negara dan baru memasuki pasaran negara ini berikutan kualitinya nampak baik.

“Polis juga sudah menghantar pil berkenaan ke Jabatan Kimia Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti bahan yang digunakan untuk menghasil barangan berkenaan,” katanya.

Dua lelaki terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membuat aduan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atu menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999.



Sumber : Harian Metro Edisi 13-03-07


Sampuk Izalsyah; "Tau nak seronok jer korang ehh..."




No comments: