Bercinta Jangan Abai Syariat

BERBICARA soal cinta, pasti terbayang dalam fikiran kita ialah kisah percintaan Romeo dan Juliet, Mark Anthony dan Cleopatra, Qaisy dan Laila, Uda dan Dara serta Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang.

Kemudian terbayang pula pertemuan asyik maksyuk, derita cinta, tinggal saudara, kehadiran orang ketiga dan pengorbanan cinta.

Itulah story board yang kebiasaannya tergambar dalam minda bila kita sebut pasal cinta. Kita sudah ada gambaran kekal bila sebut tentang keagungan cinta, daripada Titanic yang tenggelam hinggalah Gunung Ledang yang menjulang.

Bagaimana pula bercinta dalam Islam? Kabur. Kadangkala disebut juga kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha, Nabi Sulaiman dan Balqis tetapi hanya sekadar menyebut nama tanpa mengetahui rupa sebenar cinta mereka? Apakah prinsipnya? Apakah pendekatannya? Apakah sama erti ‘rindu’ para salafussoleh dengan ‘rindu’ yang disebut dalam cinta remaja, mahasiswa dan masyarakat kini?

Cinta akan menjelaskan apa sebenarnya yang dikatakan cinta, siapa yang patut dicintai, bagaimana setiap insan di dunia ini bercinta dan apakah pula kesan baik daripada bercinta.



Cinta adalah subjek yang begitu dalam dan luas. Mengubah persepsi tentang cinta bukan mudah. Ini kerana manusia terutamanya para remaja, dewasa dan masyarakat dibentuk dengan naluri untuk ingin bercinta.

Dalam Islam, soal keyakinan ini merujuk kepada keimanan dan cinta itu membawa satu prinsip dan sistem nilai yang tepat dan mutlak. Individu muslim harus yakin bahawa Allah s.w.t sebagai tuhan dan manusia sebagai hambanya.

Cinta memberi setiap manusia di dunia ini suluhan dan panduan bagaimana untuk bercinta berlandaskan syariat. Dengan adanya cinta di dalam jiwa sanubari setiap insan membawa persoalan di manakah tuhan dalam cinta kita.

Memandangkan isu gejala sosial yang melibatkan anak-anak muda dalam kancah maksiat kini semakin meruncing, isu seumpama ini diharap dapat menyedarkan umum tentang gejala yang boleh merosakkan diri jika tersalah menilai makna cinta.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim, cinta adalah fitrah dalam kehidupan manusia. Tanpa cinta manusia boleh berpecah-belah dalam masyarakat dan apabila bercinta masyarakat perlu tahu batas-batas agama, adat dan norma kehidupan masyarakat supaya maruah diri terpelihara dan dijaga.



“Kefahaman yang jelas mengenai maksud cinta itu perlu difahami dengan membina cinta yang jujur, ikhlas dan murni selaras dengan pengetahuan ilmu yang dipelajari agar dapat menjadi panduan apabila diperlukan kelak.

“Manfaatkan ilmu pengetahuan yang diterima itu supaya melahirkan golongan masyarakat bukan sahaja berjaya dalam akademik dan kerjaya malah dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan forum Tentang Cinta bertemakan ‘Ingin ku Dicintai Dan Di Sayangi’ anjuran Kelab Orator Kolej Kediaman Za’ba 2006/2007 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UM dan Telaga Biru Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Program itu bertujuan memberi pengetahuan kepada mahasiswa dan mahasiswi UM serta masyarakat umum tentang cinta sebenar mengikut landasan atau garis panduan yang ditetapkan oleh agama dan adat.

Majlis itu menampilkan dua pembentang kertas kerja iaitu pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd, Pahrol Mohd. Juoi. Ia dipengerusikan oleh Konsultan Kanan RK Pengurusan Latihan, Ahmad Fadzli Yusuf. Lagi...



Sumber : Utusan Malaysia Edisi 13-03-2007



Kata Izalsyah; "Kata orang, 'CINTA ITU BUTA'. Kata Aku pula, 'ORANG BERCINTA RAMAI YANG BUTA AGAMA' !"



No comments: