Syarifah Amani Botak Kepala?

TAHUN ini ada dua kejutan besar dijanjikan pelakon cilik Syarifah Amani Syed Zainal Rasyid, 21, atau lebih manja dengan panggilan Nanie, buat peminat. Pertama, bintang filem Sepet itu buat pertama kalinya berlakon drama dan kedua, Nani nekad tampil botak menerusi filem arahan terbaru Yasmin Ahmad, Mualaf.

Pastinya, dalam dua keputusan itu dibuat demi kerjaya seninya. Tampil botak dalam Mualaf dianggap terlalu berani dan belum pernah dilakukan mana-mana pelakon wanita di Malaysia.

Sewaktu ditemui di lokasi penggambaran drama lakonan sulung Nanie, Emil Emilda, terbitan Produksi Radius One, dia menjelaskan rambutnya yang panjang mengurai itu akan dipotong pendek seperti Mawi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Saya sendiri sebenarnya tidak sanggup melakukannya. Ingatkan sewaktu Yasmin berikan tawaran ini saya boleh buat. Saya terus katakan ya kepada Yasmin apabila dia berkata saya perlu membotakkan kepala dalam filem itu.

“Tapi sekarang apa yang berlaku sebaliknya. Saya ingat lagi awal bulan lalu saya ke kedai gunting untuk memperbaiki bahagian bawah rambut. Waktu itu tukang gunting baru potong beberapa inci saya sudah hendak menangis.

“Sayangnya rasa kerana lama saya membelanya sejak membintangi Sepet. Agaknya bagaimana keadaan saya esok apabila kepala dicukur. Mesti separuh histeria!

“Bagaimanapun, saya tidak boleh tarik kembali janji yang sudah diberikan. Namun, saya yakin dengan apa yang bakal dilakukan Yasmin selaku pengarah dan penulis skrip Mualaf dan pengorbanan dibuat pasti berbaloi,” katanya.

Jelas Nanie, dalam filem ini dia bakal bergandingan dengan adiknya, Sharifah Aleysha dan beberapa pelakon popular lain antaranya Ning Baizura.



“Mualaf yang kini sudah memulakan latihan lakonan bulan ini mengisahkan hubungan dua beradik perempuan yang orang jarang nampak. Saya suka watak yang ditawarkan di mana sebagai kakak sikap saya seperti anak kecil dan si adik lebih matang dari kakaknya.

“Mereka celaru mengenai pegangan hidup apabila ibu mereka yang bertugas sebagai profesor dalam kajian semua agama, sering mendedahkan mengenai ilmu dimiliki. Dua beradik ini sering membicarakan mengenainya dan mempertikaikannya,” katanya.

Mengenai keputusannya membintangi drama bersiri Emil Emilda yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 pada Mei depan, Nanie berkata, ini satu percubaan yang dirasakan agak mencabar.

Keputusan dibuat turut mengejutkan pihak produksi mahupun TV3 sendiri. Sewaktu di lokasi, pengarah drama Emil Emilda, Shahrul Ezed Mohamiddin menjelaskan, pihak TV3 sendiri terkejut apabila Nanie memberikan persetujuan kerana sebelum ini banyak produksi gagal mendapatkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 itu.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan bahawa sebagai pelakon hanya mahu membabitkan diri dalam filem dan tidak drama,” katanya.



Dalam melayari kerjaya lakonannya, anak jati Petaling Jaya, Selangor ini menjelaskan dia berpegang kepada tiga perkara dalam membuat penilaian terhadap setiap tawaran diberikan.

“Pertama, saya melihat kekuatan skrip. Drama Emil Emilda bagi saya sangat menarik. Bayangkan, sepanjang membaca skripnya saya sudah boleh tergelak sendiri.

“Bagi saya, watak Emilda seronok dilakonkan. Ini juga kali pertama saya berlakon dalam produksi bertemakan komedi romantik.

“Saya mahupun kak Aleya (Sharifah Aleeya) selalunya percaya kepada ‘tarikan’ yang wujud antara kedua-dua belah pihak sebelum menjalin kerjasama. Walaupun saya tidak mengenali Ezad tetapi apabila pertama kali bertemu, kami sudah ada keserasian.

“Ketiga, saya biasanya melihat bagaimana sesebuah produksi bekerja. Percaya tak, saya dilayan seperti anak kecil dalam produksi ini termasuklah rakan pelakon lain. Mereka baik sangat dan kami sudah seperti adik-beradik,” katanya.

Keputusan Emil Emilda ini, kata Nanie, bukan saja menggembirakan peminatnya tetapi juga neneknya sendiri.



“Sebaik saja dia tahu saya berlakon dalam Emil Emilda, dia gembira dengan berkata akhirnya dapat juga dia melihat aksi saya dalam televisyen kerana sebelum ini kalau hendak tengok lakonan saya susah kerana terpaksa bersusah payah ke pawagam,” katanya.

Dalam Emil Emilda, Nanie digandingkan dengan pelakon popular Singapura, Aron Aziz dan beberapa pelakon popular lain seperti Fahrin Ahmad, Zizie Ezzet dan Norkhiriah.

Dalam perkembangan lain, ramai pihak menggesa penerbit dan pengarah filem Aduh Saliha, M Nasir yang bakal menampilkan Mawi ke layar besar buat pertama kali agar menggandingkan artis paling popular itu dengan Nanie. Ramai yang sukakan keserasian mereka dalam iklan pewangi Silky Girl.

“Sebelum ini saya ada juga bergurau dengan Mawi. Saya katakan kepadanya mengapa tidak suruh M Nasir ambil saja saya menjadi Saliha. Lagipun kami sudah biasa bekerjasama. Tapi jawab Mawi susah kerana keputusan itu terletak pada penerbit dan pengarahnya.

“Bagaimanapun, sekiranya tawaran itu datang saya tidak teragak-agak menerimanya sebab bekerja dengan Mawi seronok. Dia seorang yang kelakar sebenarnya dan bayangkan sepanjang proses berlakon iklan Silky Girl itu kami asyik ketawa.


“Saya tidak nafikan antara kami memang tiada masalah untuk bekerjasama, mungkin kerana saya ini jenis yang ‘sempoi’. Maklumlah, di luar saya ini sedikit kasar. Sampaikan di lokasi penggambaran iklan Mawi memanggil saya ‘bro’ (singkatan panggilan abang).

“Mengenali Mawi, dia seorang yang mudah didekati, tetapi saya tidak faham mengapa ada orang tidak boleh menerima atau sering memburuk-burukkan dirinya. Percayalah, Mawi hanyalah manusia biasa seperti kita semua. Tetapi mungkin itulah harga sebuah populariti,” katanya

Selain filem Mualaf, Nanie juga sekarang ini sedang sibuk di lokasi penggambaran 1957 arahan Shuhaimi Baba yang mengisahkan mengenai kemerdekaan negara bergandingan dengan Maya Karin dan Rusdy Ramli.



Sumber : Harian Metro Edisi 13-03-07



Kata Izalsyah; "Dibuatnya rambut ko 'merajuk' nak tumbuh balik, jahanam hidup ko Cik Nanie!" Ahaks!



1 comment:

Anonymous said...

Lihat gambar Sharifah Amani botak:-
http://beritapalsu.blogspot.com/2007/06/gambar-sharifah-amani-botak-kepala.html