Islam Galak Sederhana Makan & Minum

BILANGAN individu yang dikategori obesiti semakin meningkat, lantas ada yang berusaha untuk kelihatan langsing dengan mengambil kapsul atau ubat kurus yang tidak diketahui risikonya hingga menyebabkan kematian.

Cara betul untuk mengawal berat badan adalah dengan makan secara sihat dan bersenam kerana tidak ada jalan pintas untuk kelihatan langsing serta sihat. Konsep ini mendatangkan kebaikan dan bersesuaian dengan ajaran Islam. Makan dan minum adalah keperluan hidup seharian untuk mendapat tenaga, kesihatan serta menikmati rasa makanan. Untuk kehidupan yang sihat, seseorang perlu mengambil makanan seimbang.

Bagaimanapun, kita tidak perlu makan banyak untuk mendapat tenaga yang lebih kerana makan banyak mendatangkan masalah kepada kesihatan. Nikmat dan kepuasan makan juga berkurangan apabila makan terlalu banyak.

Al-Quran menjelaskan mengenai pentingnya bersederhana dalam soal makan dan minum sebagai panduan untuk mendapat kebaikan.

Allah berfirman bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31)



Jumlah makanan yang perlu diambil mengikut keperluan untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat dan bertenaga. Setiap individu mempunyai pola pemakanan berbeza bergantung kepada umur, jantina, pekerjaan dan keadaan kesihatan. Tenaga dan kesihatan yang baik diperlukan untuk melakukan tugas sebagai khalifah di muka bumi.

Untuk mencapai kebaikan optimum, Islam menetapkan aturan makan bersederhana, makan apabila rasa lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak ada bekas lebih keji yang diisikan oleh anak Adam daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya dan sekiranya dia terpaksa juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan Nasai)

Walaupun Nabi Muhammad SAW bukan pakar pemakanan dan perubatan, kebenaran fakta diucapkan Baginda dibuktikan pakar moden.

Dr Henry Bieler yang menumpukan kajian selama 50 tahun mengenai kesan pemakanan terhadap badan menjelaskan sebab utama penyakit bukannya bermula daripada bakteria, tetapi toksid dihasilkan makanan.

Makanan halal tidak semestinya baik sepenuhnya kerana ia berkaitan dengan kuantiti. Jika terlalu kerap dimakan atau dalam kuantiti yang banyak, makanan baik bertukar mendatangkan keburukan seperti pengambilan gula secara berlebihan.



Menjaga perut daripada diisi makanan mendatangkan mudarat adalah cara penjagaan kesihatan paling berkesan. Individu berdisiplin menjaga makan dan tidak gelojoh memakan apa saja diingini, sukar mendapat penyakit. Konsep berpuasa atau menahan daripada mengambil makanan tertentu dijadikan rawatan paling berkesan. Banyak rawatan penyakit bahaya adalah dengan cara mengawal pemakanan.



Sumber : Berita Harian Edisi 12-03-07



Kata Izalsyah; "Makan angin keluar asap!" Ahaks!



No comments: