Siswa Ketagih Ketamin

KUALA LUMPUR: Ketamin yang menyebabkan penagihnya merasai seolah-olah boleh terbang seperti ‘Superman’ kini dikesan menjadi dadah paling digemari pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), terutama ketika mengunjungi pusat hiburan di ibu kota.

Bagaimanapun, penggunaan dadah berkenaan ternyata membawa padah apabila ramai pelajar IPT terbabit akhirnya ‘terkandas’ setengah jalan tanpa menamatkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kegiatan pelajar terbabit terbongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menyerbu dan merampas kira-kira lima kilogram ketamin, 23 paket syabu, 45 pil Ecstasy dan 19 pil Eramin 5, di Bukit Bintang, di sini, minggu lalu.

Ketamin yang dirampas itu dipercayai untuk kaki disko, terutama pelajar IPT yang menjadikan pusat hiburan berkenaan sebagai ‘rumah kedua’.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata seorang lelaki dipercayai pengedar dadah jalanan diberkas dalam serbuan pertama di sebuah hotel di sini, kira-kira jam 1.30 pagi.

Katanya, hasil siasatan terhadap suspek berusia 23 tahun itu, polis menyerbu satu lagi bilik hotel bagi mengesan pengedar dadah lebih besar.

“Susulannya, kira-kira jam 5.30 pagi, polis menyerbu satu lagi bilik hotel yang menjadi tempat persembunyian seorang pengedar dadah dan berjaya merampas kira-kira lima kilogram ketamin, 23 paket syabu, 45 pil Ecstasy dan 19 pil Eramin 5.



“Polis menahan suspek yang berusia 29 tahun untuk siasatan lanjut bagi mengesan sindiket lebih besar,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Turut dirampas, dua alat penimbang serta wang tunai berjumlah RM12,000 daripada suspek berkenaan.

Menurutnya, polis kemudian memberkas tiga lagi lelaki berusia 26 hingga 35 tahun yang dipercayai anak buah suspek kedua itu.

Mereka dikesan menjalankan kegiatan mengedar dadah di sekitar kawasan Bukit Bintang.

Polis tidak menolak kemungkinan pil Ecstasy yang dirampas itu adalah tiruan yang dibuat di negara ini kerana kurang berkualiti berbanding bahan diimport apabila dilihat dengan mata kasar.

Kang berkata, suspek pertama yang ditahan itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda.



Bagaimanapun, katanya, suspek kedua yang memiliki ketamin itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah tampil membuat aduan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999.






Kata Izalsyah bekas student IPTA; "Bila tak dapat masuk IPT, korang bising sana sini. Dah masuk, korang cari 'ubat Superman' pulak. Apa? Korang tak kenyang makan nasik ke???"



No comments: