Ning Baizura; Terkenang Detik Hitam

MENGENANG perjalanan awal Jovian Mandagie yang dihimpit kontroversi mengingatkan Ning Baizura akan laluan yang pernah diukirnya dulu.

Saat diri dilambung pujian, impian untuk melebarkan sayap di luar negara pula terbuka luas namun dek tersilap percaturan, dia menerima hukuman yang maha dahsyat.

Disebabkan itu, apabila Jovian dihimpit dugaan, sebagai insan yang dekat dengan pereka muda berkenaan, Ning begitu berharap dia akan berfikiran positif dan menerima apa yang ditakdirkan dengan hati terbuka.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Ning Baizura simpati nasib pereka - Jovian Mandagie



“Ada sebab semua itu berlaku. Saya memahami kesedihan dan kekecewaan Jovian apatah lagi dugaan itu berlaku ketika namanya sedang hebat digilap.

“Saya berharap Jovian positif menerima dugaan ini. Itu bermakna dia berada di landasan yang betul, jalan untuknya semakin terbuka kerana hasil kerjanya kini diperhatikan,” kata Ning.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Penyanyi bervokal soprano itu ialah antara selebriti tempatan yang selesa dengan rekaan pereka kelahiran Indonesia tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur itu.

Peristiwa pahit yang menimpa pereka itu apabila rekaannya tidak dapat digayakan penyampai radio Era, Linda Onn ketika Anugerah Academy Ke-79, baru-baru ini begitu menguji.

Akui Ning, kontroversi membawa dua persepsi berbeza. Mungkin membawa kebaikan tetapi jika salah ditangani ia akan memakan diri sendiri.



Berdasarkan pengalamannya, jauh di sudut hatinya dia bersimpati dengan apa yang dilalui Linda Onn. Sebagai artis, Ning mengakui, imej dan keselesaan adalah antara perkara penting yang membantu menyerlahkan keyakinan seseorang selebriti.

“Saya cukup sedih dengan apa yang Linda Onn lalui kerana saya sendiri pernah meniti pengalaman seperti itu. Dia cuma menegakkan prinsip diri dan sebagai orang luar kita perlu menghormati alasannya.

“Mungkin dia tewas di sana tetapi tidak bermakna dia akan terus kalah di sini. Dari sudut moral dia sebenarnya sudah menang kerana berani mempertahankan diri,” katanya.

Ning yang akan beraksi dalam persembahan sempena Minggu Setiausaha di Shangri La Hotel ditemani Adibah Noor dan anak didiknya, Nikki ditemui pada majlis memperkenalkan koleksi Diva rekaan Rafflesia The Pearl Centre di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertemakan Fergalicious Diva In Celebration Of Secretaries, majlis makan tengah hari yang akan berlangsung pada 12 April itu menyaksikan Ning menggayakan dua rekaan pereka berusia 21 tahun itu serta koleksi Diva bernilai RM380,000.



“Jovian ialah antara pereka muda yang saya kagumi. Dia kreatif dan paling penting, rekaannya sentiasa membuat saya anggun dan selesa.

“Saya yakin dengan kemampuannya dan biarpun masih baru, Jovian berjaya menyerlahkan identiti rekaannya. Dari situ, kami mencipta keserasian dan jauh di sudut hati, saya percaya Jovian mempunyai masa depan yang gemilang dalam bidang ini,” katanya.


Hikmah Kontroversi

BARANGKALI ada yang melihat populariti yang diraihnya adalah disebabkan kontroversi yang dicetuskan Linda. Namun, bagi Jovian, apa yang diraihnya hari ini adalah berkat kerja kerasnya membina nama.

Meskipun masih menyimpan perasaan terkilan dengan peristiwa itu, namun graduan Universiti Lim Kok Wing itu percaya, apa yang dinikmatinya adalah anugerah tidak ternilai daripada Tuhan.

“Apabila Linda menelefon dan meminta saya menyediakan rekaan untuk digayakan pada Anugerah Academy, saya yakin nama akan melonjak.

“Jalan untuk saya memang sudah terbuka namun tidak disangka lain pula yang terjadi. Saya terkilan juga kecewa apabila selebriti tiada kebebasan untuk memilih siapa pereka kegemaran mereka.

“Lebih membuat saya terkilan apabila pihak berkaitan tidak menyelidik asal usul saya. Saya anak Malaysia kerana bapa orang Kelantan cuma kebetulan saya dilahirkan di Indonesia,” katanya.

Katanya, nama Jovian Mandagie digunakan atas dasar komersial dan strategi untuk memasarkan rekaannya.

“Hakikatnya Jovian Mandagie ialah jenama tempatan namun membawa sentuhan Indonesia. Saya tidak boleh lari daripada hakikat itu kerana sebahagian diri saya mengalir darah Indonesia kerana ibu saya berasal dari sana,” katanya.



Sumber : Berita Harian Edisi 20-03-07




Kata Izalsyah; "Terkenang member yang lama dah tak bayar utang!" Ahaks!



No comments: