Bell Bakal Akhiri Zaman Bujang

SELEPAS tiga bulan bertunang, pelakon Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell, bakal mengakhiri zaman bujangnya bersama seorang setiausaha sebuah syarikat swasta di ibu kota, Farhana Mahamad Fairi, pada 30 Mac ini.

Majlis akad nikah akan diadakan di Gombak, pada tarikh berkenaan, diikuti majlis persandingan di sebelah pihak perempuan keesokannya, manakala acara resepsi pihak pengantin lelaki pula bakal dilangsungkan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 2 April nanti.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Menurut pelakon berbakat berusia 27 tahun ini, segala persiapan perkahwinan dilakukan ibu bapa dan adik perempuannya, Nasreen atau Darling. Justeru, dia sendiri tidak banyak mengetahui mengenai perancangan majlis berkenaan. Apatah lagi, dia sibuk dengan kerjaya seni yang menjadi periuk nasinya.

Jelasnya, dia agak terkejut juga apabila dimaklumkan mengenai tarikh yang sudah ditetapkan itu kerana semuanya diuruskan keluarga. Maka, tidak hairanlah apabila dia sendiri sukar untuk mengingati apakah warna pakaian pengantin yang akan dikenakan mereka pada majlis persandingan.

“Kehidupan saya banyak dipengaruhi keluarga. Saya sendiri masih tinggal bersama ibu bapa,” kata Bell yang muncul di layar perak menerusi filem Cinta, hujung tahun lalu.

Bercerita mengenai percintaan bersama wanita yang dua tahun lebih muda daripadanya itu pula, pelakon ini memberitahu, dia mengenali Farhana sejak empat tahun lalu. Pertemuan di kedai makan di kawasan taman perumahan menjadikan mereka sebagai kawan baik.

“Dia sebenarnya tinggal di kawasan perumahan saya juga. Jadi, dia itu lebih kurang seperti jiran saya jugalah.



“Hati tertarik padanya kerana dia seorang wanita yang mengambil berat mengenai diri saya, di samping wajahnya yang manis. Lagipun, perkenalan selama empat tahun itu membuatkan kami saling mengenali secara mendalam,” ujar Bell yang merancang untuk tinggal bersama ibu bapanya terlebih dulu, sebelum memikirkan untuk berpindah ke kediaman sendiri, selepas perkahwinan mereka nanti.

Ditanya mengenai perancangan keluarga, Bell yang turut aktif menghasilkan skrip ini berkata, dia tidak pernah merancang berapa ramai anak yang seharusnya mereka berdua miliki.

Katanya, semua itu ketentuan Ilahi dan dia akan menerima saja rezeki yang bakal dianugerahkan Tuhan kepada mereka.

Selepas bergelar suami, dia juga tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang lain kerana dunia seni bagai sudah berakar umbi dalam diri dan kini bidang itu menjadi sumber pendapatan tetapnya sejak bertahun-tahun lama.

“Bahkan, selepas kahwin pun saya tidak mengambil cuti kerana bakal terbabit dalam pembikinan drama keluaran adik perempuan saya, Darling (Nasridz Pictures). Dia pun nampaknya menunda penggambaran drama itu semata-mata untuk merancang perkahwinan ini.



“Entahlah, dia beriya-iya benar ingin mengendalikan perkahwinan ini. Mungkin dia juga hendak mengakhiri zaman bujangnya dalam masa terdekat, tetapi kerana dia tidak mahu melangkah bendul, maka dia suruh saya kahwin cepat-cepat,” cerita Bell.

Berikutan kesibukannya juga, pelakon ini tidak mahu merancang bulan madu yang memerlukannya mengembara jauh. Dia tidak menolak kemungkinan untuk hanya menikmati bulan madu di kawasan percutian dalam negeri saja, kerana selain kesuntukan waktu, dia sedar, banyak lagi destinasi menarik dalam negara yang belum diteroka.

Ketika artikel ini ditulis, Bell masih lagi menjalani penggambaran filem berlatarkan zaman kemerdekaan berjudul 1957, arahan Shuhaimi Baba. Turut berlakon di sampingnya dalam filem terbitan Imagine Pictures itu ialah Maya Karin dan Rusdi Ramli. Dia juga baru saja menghabiskan penggambaran filem aksi Antoo Fighter terbitan Grand Brilliance, arahan pengarah baru, Azizi Chang.

Di samping lakonan, artis ini turut aktif meminjamkan khidmatnya untuk tujuan suara latar (V.O), kerja belakang tabir dan pengacaraan.






Kata Izalsyah; "Bro, bakal isteri kau ayu la! Bilalah Aku nak dapat sorang cam tu yeak..." Ahaks!



No comments: