Pendaki Wanita Bogel Ditahan

Polis tahan wanita warga asing yang dipercayai berbogel bersama sekumpulan pendaki lain di Gunung Kinabalu

TAWAU - Polis menahan seorang pelancong wanita warga asing di sini semalam yang dipercayai berbogel di Gunung Kinabalu, Sabah pada 31 Mei lalu.

Wanita berusia 20-an itu ditahan di Lapangan Terbang Tawau di sini pada pukul 11.30 pagi.


 photo pendaki bogel gunung kinabalu ditangkap_zps6ozpcydb.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 10-06-2015

Difahamkan, suspek yang belum diketahui kewarganegaraan itu ditahan ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Keong Ho Eng mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menerusi satu kenyataan akan membuat sidang akhbar berhubung penahanan tersebut pada Khamis ini.

Kelmarin, seorang lelaki Eropah berusia 38 tahun ditahan pihak berkuasa di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 4.10 petang bagi membantu siasatan kes pendaki bogel. 

Lelaki Eropah itu ditahan selepas dia yang tiba dari Tawau merancang meneruskan penerbangan ke Filipina sebaik tiba di Kota Kinabalu. 

Kosmo! pada 3 Jun lalu melaporkan tindakan sekumpulan 10 pendaki dari negara asing berbogel di kawasan South Peak, Gunung Kinabalu. 

 photo 10-pendaki-bogel-gunung-kinabalu-sabah_zpsr1sge5lj.jpg

Tindakan biadap itu seterusnya menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk Sabah terutama kaum Kadazan Dusun yang menganggap perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan kerana Gunung Kinabalu dianggap sebagai tempat suci persemadian nenek moyang mereka.

Sumber : Kosmo! Edisi 10 Jun 2015 bersamaan 23 Syaaban 1436H

No comments: