Tuah Pondan, Perempuan Joget

Majlis kemuncak FFM20 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, kelmarin menyaksikan Vanidah, 34, menewaskan empat calon lain, Maya Karin (Waris Jari Hantu), Nasha Aziz (Puaka Tebing Biru), Sharifah Amani (Cinta) dan Natasha Hudson (Chermin).

Sebelum ini Vanidah pernah dicalonkan untuk kategori sama menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir (PMT) arahan Erma Fatima.

“Secara jujur, saya tidak menyangka watak itu mendapat perhatian juri. Sebelum ini saya terbaca dalam akhbar Harian Metro mengenai keputusan juri menolak penyertaan filem tempatan yang dihasilkan dalam bahasa asing.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
DETIK INDAH: Pelakon wanita terbaik Vanidah FFM20 di Dewan Tuanku Syed Putra USM.
(Sumber Foto : Berita Harian)


“Apabila keputusan lima calon terbaik diumumkan, nama saya turut tersenarai. Itupun saya mengetahuinya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar pihak produksi.

“Bagi saya, disenaraikan lima terbaik pun cukup bermakna dan tidak terfikir langsung soal kemenangan memandangkan pelakon lain yang turut dicalonkan tidak kurang hebatnya.



“Saya sudah menonton filem dilakonkan Nasha dan Maya. Mereka mempunyai peluang besar untuk menang kerana karakternya agak kuat. Berbeza dengan Sharifah Amani, wataknya dalam Cinta biasa sahaja.

“Alhamdulillah, anugerah ini milik saya dan saya sangat bersyukur atas kemenangan ini,” katanya.

Isteri pelakon dan pengarah Rashidee Ishak itu berkata, dia menerima tawaran membintangi The Red Kebaya bukan saja kerana kekuatan watak Azizah, tetapi tertarik dengan latar filem itu yang mengangkat kisah zaman penjajahan Inggeris.

“Sebagai ibu kepada dua anak, sudah tentu banyak pertimbangan perlu dibuat apabila menerima tawaran berlakon. Mujur penggambaran filem ini dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik.

“Sekiranya ia diadakan di luar Kuala Lumpur, mungkin saya tidak akan menerimanya. Saya juga terpaksa berkorban antara kerjaya dan rumah tangga dan kini pengorbanan itu membuahkan hasil yang cukup manis.



“Sewaktu menghadiri sesi uji bakat memilih pelakon The Red Kebaya, saya tidak sangka diberikan watak utama. Maklumlah, dalam keadaan industri perfileman sekarang dipenuhi ramai pelakon baru, mana mungkin saya diberikan watak utama.

“Namun, dalam The Red Kebaya ia bagaikan sudah tertulis. Malah, pengarah sinematografi filem ini, Raja Mukhriz, pernah berkata kepada saya Red Kebaya akan akan mengangkat kembali nama saya dalam industri filem. Kini kata-katanya itu sudah terbukti,” katanya.

Membawakan watak perempuan joget dalam Red Kebaya, kata Vanidah, tidak begitu susah kerana sebelum penggambaran dimulakan pengarahnya, Oliver Knott, mengadakan latihan lebih awal dan memberitahu apa yang dia mahukan. Malah, watak seperti itu pernah dijayakannya di pentas teater.

“Pada saya, melakonkan watak Azizah lebih mudah berbanding membabitkan diri dalam filem Perempuan Melayu Terakhir yang menuntut banyak mainan emosi.

“Saya baru saja menjayakan filem Sepi arahan Kabir Bhatia dan juga Akhirat,” katanya.



Sementara itu, Pelakon Lelaki Terbaik menjadi milik Rusdi Ramli menerusi watak pondan dalam filem Waris Jari Hantu. Rusdi menewaskan empat calon lain, Rosyam Nor (Syaitan), Ramli Hassan (The Red Kebaya), Afdlin Shauki (Sumolah) dan Pierre Andre (Jangan Pandang Belakang).

Rusdi mengakui dia tidak menyangka wataknya itu membawa tuah hingga menang anugerah yang cukup bernilai memandangkan dia pernah menolak melakonkan watak itu sebanyak dua kali sehinggalah dirayu pengarahnya, Shuhaimi Baba.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
TAK SANGKA: Rusdi menjulang trofi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM20.

(Sumber Foto : Berita Harian)


“Apabila ditawarkan memegang watak pondan, perasaan saya bercampur-baur. Saya bimbang dengan penerimaan masyarakat, sedangkan saya tidak nampak cerita Waris Jari Hantu dan watak diberikan mempunyai kelebihan,” katanya.

Mengenai saingan terdekatnya, Rusdi meramalkan anugerah itu milik Rosyam, tambahan pula penerbit produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu pernah menang Pelakon Lelaki Terbaik sebelum ini. Selain itu, kemampuan bakat baru seperti Pierre Andre tidak boleh dipandang ringan.

“Kalau hendak dihitung pembabitan saya dalam dunia perfileman, nyata masih baru berbanding di televisyen. Kata orang, masih mentah kerana saya lebih banyak berlakon drama sebelum ini.



“Apabila menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dengan pengalaman masih kurang pada saya, ia sesuatu yang luar biasa. Ternyata usaha saya menjayakan watak pondan cukup berbaloi,” katanya.

Kemenangan seniwati Azean Irdawaty yang kini menjalani rawatan kimoterapi kerana penyakit barah payu dara sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik turut menyentuh perasaan penggiat industri perfileman tempatan di Dewan Tuanku Syed Putra.

Mereka berdiri sebagai tanda hormat sewaktu Azean naik ke pentas menerima anugerah itu. Azean hadir berbekalkan semangat untuk menyokong majlis bagi meraikan warga filem nyata membuahkan kenangan cukup manis kepadanya. Sebelum ini Azean pernah menang anugerah sama di FFM13 dan Pelakon Wanita Terbaik di FFM1 juga FFM3.

“Saya memang tidak menyangka akan menang. Malah, sewaktu kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dibacakan saya rasa biasa saja. Bertepuk untuk memberikan sokongan kepada rakan pelakon lain yang turut dicalonkan dalam kategori itu.

“Tetapi saya terkejut apabila nama saya diumumkan. Rasa hendak rebah apabila berdiri di atas pentas, sudahlah keadaan saya sekarang ini tidak berapa kuat,” katanya yang menewaskan Nanu Baharuddin (Cinta), Ruminah Sidek (Jangan Pandang Belakang), Deanna Yusof (Chermin) dan Samantha Schubert (The Red Kebaya).



Pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Datuk Rahim Razali, pula berkata dari awal pencalonan dia sudah berasa mempunyai peluang cerah untuk memenanginya, apatah lagi watak Cikgu Alias yang menghadapi masalah mudah hilang ingatan dibawakan dalam filem Cinta cukup mencabar.

“Saya rasa bersyukur dan terharu apabila menerima anugerah ini memandangkan saya sudah lama tidak berlakon, apatah lagi membawakan watak mencabar seperti ini,” katanya yang menewaskan calon lain seperti Aznil Nawawi (Cicakman), Zahim Al-Bakri (The Red Kebaya), Patrick Teoh (Sumolah) dan Rashid Salleh (Waris Jari Hantu).

Anugerah Pelakon Harapan Lelaki dimenangi Azizan Nin menerusi filem Cinta Terakhir, sementara Pelakon Harapan Wanita menjadi milik Natasha (Chermin). Bagaimanapun kedua-dua pemenang ini tidak hadir. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dimenangi Mohd Syafie Naswip.










No comments: