Aryana & Syafie; Serasi Bersama

SIAPA boleh lupa lakonan mereka menerusi filem kanak-kanak, Mukhsin yang dikatakan begitu menyentuh hati. Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, kesungguhan mereka memikul watak Orked dan Mukhsin berjaya meninggalkan kesan buat penonton.

Itulah penangan Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid dan Mohd Syafie Naswip yang berjaya membawakan watak mereka dengan baik. Di tangan pengarah Yasmin Ahmad, semuanya menjadi dan dua pelakon cilik ini membuktikan usia mereka yang masih muda bukan penghalang menghasilkan lakonan berjaya.

Ketika sesi fotografi bersama Hip baru-baru ini, Aryana dan Syafie membuktikan mereka bukanlah pelakon kanak-kanak sembarangan. Biarpun Aryana baru berusia 12 tahun manakala Syafie, 15, dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini tetapi pendapat dilontarkan mereka bak orang dewasa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Aryana, Syafie matang hadapi kritikan biarpun usia masih hijau.


Contohnya, ketika mengulas dakwaan filem Mukhsin mengajar kanak-kanak untuk bercinta dan melakukan perbuatan tidak senonoh, Aryana berpendapat, tuduhan itu datang dari mer
eka yang dangkal pemikirannya.

“Saya tidak faham mengapa mereka berfikiran sedemikian. Cuba tunjukkan saya mana adegan yang menunjukkan kami berkelakuan tidak senonoh seperti didakwa. Saya rasa mereka yang melontarkan kritikan seperti ini sebenarnya tidak menonton filem Mukhsin dan hanya mendengar cakap-cakap orang saja,” tegas Aryana sambil diperhatikan ‘Mukhsin’ di sebelah kirinya.



Dia terdiam sejenak dan matanya merenung jauh seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Sesekali dia membetulkan untaian rambut panjang mengurainya itu dan diselitkan di telinga kirinya.

“Seperti yang tertera di poster filem ini, setiap insan pasti ada cerita cinta pertama sendiri. Yasmin cuba memaparkan secara jujur apa dialami setiap insan itu. Jadi, kita tidak perlu mempertikai hakikat ini dan sebagai pelakon saya suka filem ini dan wataknya memberi pengalaman berharga kepada saya,” kata Aryana.

Syafie yang hanya mendengar saja perbualan kami turut bersetuju dengan pandangan ‘buah hatinya’ itu sambil berkata, “Filem Mukhsin banyak pengajaran jika mereka yang menonton filem itu menyaksikannya dengan fikiran yang terbuka.

“Secara jujur, Mukhsin bukanlah filem cinta kanak-kanak tapi persepsi cinta diutarakan dalam filem ini cukup luas iaitu cinta terhadap keluarga, haiwan dan sahabat,” katanya yang pertama kali muncul di layar lebar.

Sepanjang sesi fotografi berlangsung, kemesraan yang ditunjukkan dua pasangan itu ternyata bukan dibuat-buat. Malah, mereka berdua mempunyai keserasian untuk digandingkan bersama. Persis pasangan pelakon era 80-an, Ogy Ahmad Daud dengan Azmil Mustapha yang memang terkenal sebagai pasangan paling hebat di layar perak dalam industri filem tempatan.



Aryana saat diajukan perkara itu hanya tergelak besar mendengarnya. Sambil merenung wajah Syafie, Aryana mengakui, dia selesa berlakon di samping anak muda berkulit hitam manis itu.

“Saya tidak kisah jika dikehendaki berlakon bersama Syafie. Kami saling memahami dan saya senang dengan perangainya yang gila-gila kerana saya macam itu juga,” tegas si cilik comel ini.

Begitu juga Syafie mengakui Aryana mempunyai aura membuatkan dia senang dengannya sama ada untuk filem atau drama.

“Saya pernah berlakon dengan seorang pelakon wanita sebelum ini iaitu untuk drama. Apabila berlakon dengan Aryana, barulah saya nampak yang kami tidak serasi. Jadi, apabila hal ini berlaku, maka ia sedikit sebanyak menjejaskan konsentrasi saya untuk menghayati watak.

“Tapi, apabila bersama Aryana, saya rasa lain sebab kami saling membantu dalam menghayati watak masing-masing dengan lebih berkesan,” pujinya.



No comments: