Mila Mula Melaram

SEJAK dua bulan bertatih sebagai anak seni, Mila mula akur dengan persediaan serta keperluan untuk sentiasa kelihatan cantik dan mempesona setiap kali muncul di khalayak.

Jika sebelum ini Mila kurang menitik beratkan aspek penampilan dan penjagaan wajah, selepas bergelar juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, pandangannya mula berubah.

Anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini akur untuk menjadi anak seni yang berjaya bukan hanya bakat yang perlu diberi keutamaan.

Penampilan diri juga menjadi bonus untuk menempatkan diri di hati peminat. Akuinya merendah diri, setiap kali mengadakan persembahan di samping artis ternama, dia sentiasa merasakan dirinya seperti tidak lengkap.

Melihat penampilan mereka yang lebih matang dan penuh yakin untuk berdepan dengan peminat, mengundang cemburu di hatinya. Naluri wanita pastinya ingin diri dipuji cantik dan berketrampilan.



Mila juga tidak terkecuali mempunyai perasaan yang sama. Syukur kerana keinginannya itu berjaya dipenuhi hasil kerja keras syarikat pengurusannya, Maestro Talent & Management yang tidak mahu mengabaikan aspek penting itu.

Hasil perbincangan antara Ketua Bakat & Pengurusan, Liza Illyas dan Choyer Salon yang terletak di Bukit Damansara, penampilan Mila sedikit berubah sejak mendapat rawatan di situ.

Saat Mila menjejakkan kaki ke pusat rawatan yang eksklusif itu, terdengar bisikan halus yang memuji penampilan terbarunya. Mila perlahan-lahan membuktikan kesungguhannya untuk menempatkan diri di senarai teratas di hati peminat.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Sebelum bergelar artis Mila sering tertanya kenapa ada manusia yang sanggup berhabis untuk kecantikan. Mila rasa membazir. Mungkin kerana Mila tidak menghadapi masalah kulit yang serius, peruntukan bulanan Mila untuk kecantikan tidak besar.

“Sekadar mencuci wajah, itu sudah memadai buat Mila. Namun, semua itu berubah apabila Mila menjadi artis. Melihat penampilan artis senior yang cantik dan bergaya, Mila jadi malu sendiri. Sentiasa berasa diri tidak lengkap.



“Kerana itu Mila sangat berterima kasih kepada Maestro yang begitu mengambil berat, malah sedia membimbing Mila untuk lebih bersedia berdepan dengan peminat,” katanya ketika ditemui pada sesi memanjakan diri bersama Mila di salun berkenaan, baru-baru ini.

Biarpun tidak mempunyai sebarang kontrak dengan salun berkenaan, namun Mila bertuah kerana Choyer bersedia menaja pelbagai program bersesuaian dengannya selama enam bulan. Lebih menyeronokkan Mila, kesemua program disusun khas berdasarkan keperluan dirinya.

Sesi pertama yang dihadirinya beberapa hari sebelum pertemuan bersama media dibuat memberikan kepuasan tersendiri kepada gadis berusia 19 tahun.

“Bayangkan pagi itu Mila bangun dengan badan yang sengal dan keletihan kerana jarang dapat berehat. Selepas menjalani rawatan, segala kesakitan itu hilang. Mila melangkah keluar dengan lebih segar, malah sudah tidak sabar lagi untuk memulakan sesi kedua,” katanya.

Mengagumi kecantikan Fasha Sandha dan Erra Fazira, Mila banyak mendapat tunjuk ajar daripada pekerja di salun itu terutama Flora Leong yang mencadangkan bentuk rawatan berdasarkan keperluan tubuhnya.



Untuk memastikan tahap kesegaran Mila berada pada tahap terbaik, penyanyi bertubuh kecil molek itu dinasihatkan supaya menjalani rawatan setiap tiga minggu sekali. Setiap sesi rawatan juga berbeza dan ia membuatkan Mila berasa dirinya begitu dimanjakan.

“Mila kena kasihankan diri juga. Mungkin pada usia muda Mila tidak begitu terasa, tapi apabila usia meningkat pastinya tahap ketahanan tubuh akan menurun. Selepas penat bekerja, tiada salahnya Mila memanjakan diri dengan menjalani rawatan seperti ini.

“Mila akan teruskan biarpun nanti tajaan daripada Choyer berakhir. Malah, sejak kebelakangan ini Mila sudah mula memperuntukkan wang untuk membeli pakaian dan kosmetik untuk tampil bergaya di mata umum.

“Mila tidak mahu mengecewakan mereka yang sudah berusaha keras membawa Mila ke bidang seni,” katanya yang turut berenang setiap kali menghadapi tekanan.



Rakam Semula Persis Mutiara

SEJAK tamat pengajian di AF5, putaran hidup Mila mengalami perubahan yang cukup drastik. Andai dulu tidurnya tenang, namun suasana itu sudah jarang dinikmatinya. Sesekali, dalam perjalanan ke tempat persembahan, dia akan mencuri masa untuk melelapkan mata.

Masa yang mencemburuinya juga menyebabkan Mila tidak berkesempatan untuk menjengah ke studio rakaman dan merakamkan semula single pertamanya, Persis Mutiara. Meskipun ada banyak permintaan supaya lagu ciptaan Ajai itu dirakamkan semula, Mila tidak mampu pantas memenuhinya kerana desakan masa.

Hanya pada 26 Julai lalu, dia mempunyai kelapangan. Selepas menjalani dua sesi latihan bersama Roslan Aziz yang membuat susunan muzik untuk lagu itu, peminat Mila berpeluang mendengar versi studio Persis Mutiara.

“Mila sendiri tidak mahu rakaman dibuat secara tergesa-gesa. Pembikinan album dan nyanyian di pentas adalah dua perkara berbeza. Jika tidak cukup rehat, sukar untuk Mila memberikan penghayatan yang baik.

“Justeru, hanya apabila benar-benar bersedia, baru Mila bersetuju untuk ke studio rakaman,” katanya yang turut mengacarakan program, Wazzup Mila? berkisar mengenai aktivitinya selepas bergelar juara AF5.



Ketika ini, kata Mila, syarikat pengurusannya sudah mula mengumpul material untuk pembikinan album sulungnya. Andai segala perancangan berjalan lancar, kemungkinan besar album pertamanya itu akan menjengah pasaran Oktober ini.

“Insya-Allah, pada bulan puasa nanti Mila akan mula sibuk di studio rakaman. Apa yang membuat Mila terharu, syarikat rakaman tidak mengabaikan pandangan Mila. Sebelum pemilihan lagu dibuat, Mila akan dipanggil berbincang dalam menentukan hala tuju album.

“Mila mengimpikan album berkonsepkan pop rock. Bagaimanapun, terserah kepada syarikat rakaman kerana pembikinan album bukan boleh dibuat sesuka hati. Keadaan pasaran juga perlu dikaji dan apa yang Mila harapkan, album ini akan berjaya memikat hati pendengar,” katanya.

Pakej Web Jualan

Profil

Nama penuh: Norsyarmilla Jirin

Umur: 19 tahun

Asal: Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Status: Bujang

Kerjaya: Penyanyi dan pengacara

Pencapaian: Juara Akademi Fantasia 5

Program TV: Wazzup Mila?

Album: The Best Of Mila








Sumber : Berita Harian Edisi 01-08-2007



Kata Izalsyah; "Melaram bile nak pi pasa malam jer." aHAKS!




No comments: