Nora Terkejut ‘Sikap’ Suami

Sebagai suami, Johan banyak memainkan peranan mengangkat nama Nora dalam industri muzik tempatan sekali gus memastikan kesinambungan kerjaya isterinya.

Tidak kurang ada mengatakan Nora beruntung kerana mempunyai suami yang bukan saja penyayang dan tahu menghargai dirinya sebagai isteri, tetapi turut membantu merangka kerjayanya sebagai penyanyi.

Bagaimanapun Johan yang terkenal dengan sikap merendah diri, tidak bersetuju dengan pandangan itu.

“Sebenarnya kami sama-sama beruntung. Saya sendiri sebagai suami dan bapa bersyukur kerana bertemu jodoh dengan seorang wanita yang bukan saja berbakat dalam bidang nyanyian tetapi bagus dalam menguruskan rumah tangga dan anak. Inilah yang dikatakan rezeki.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk bertemu jodoh dengan Nora. Rasanya Nora lebih dulu dikenali sebagai penyanyi selepas memenangi pertandingan Hiburan Minggu Ini anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).



“Sebagai suami yang punya pengalaman dalam bidang muzik saya sering memberikan sokongan kepadanya dengan memberikan idea terutama dari sudut mencari lagu yang bagus dan sesuai dengan dirinya,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan hari jadi Nora yang ke-34, baru-baru ini.

Nora bertuah apabila suaminya sanggup bersusah payah menganjurkan sambutan hari jadinya yang dibuat secara mengejut di NU Records pada 26 Julai lalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Nora baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-34, 26 Julai lalu.


Penyanyi lagu Samudera itu tiba di NU Records kira-kira jam 4 petang dan begitu terkejut apabila diraikan dalam majlis sederhana tetapi meriah. Ia turut dihadiri beberapa peminat yang rapat dengan Nora dari Fanoratik.

Johan berkata, setiap tahun peminat akan mengaturkan majlis hari jadi buat Nora tetapi tahun ini dia terlalu sibuk sehingga tidak dapat mencuri masa sesuai.

“Selain sibuk memenuhi tawaran mengadakan persembahan, Nora juga mendapat peluang menjadi pengacara satu program bual biacara untuk stesen televisyen TV9.



“Saya juga baru menubuhkan syarikat Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) yang menguruskan segala aktiviti seni Nora di samping penerbitan album.

“Saya juga dalam usaha menerbitkan album terbaru Nora. Buat masa ini Nora sudah merakamkan satu lagu ciptaan Sharon Paul dan susunan muziknya dilakukan Mac Chew,” katanya.

Sementara itu Nora berkata, dia kini sibuk dengan tanggungjawabnya sebagai pengacara program bual bicara untuk TV9.

“Sebagai orang baru dalam bidang pengacaraan, saya harus menjalani latihan secara intensif dan ia sudah mula dilakukan sejak tiga bulan lalu.

“Selain itu, menerusi syarikat JNSB ini, saya akan mengeluarkan produk kecantikan menggunakan jenama sendiri. Ia akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Pasangan bahagia ini mempunyai tiga anak, Mohd Syakir Iman, 13; Mohd Syakir Alif, 8; dan Putri Nor Dahlia, dua tahun setengah.










No comments: