Dafi - Adam : Ekspresi Bakat Muda

JIKA diukur dari segi pengalaman, Adam sudah jauh berlari meninggalkan Dafi yang baru hendak bertatih dalam dunia seni. Sudah banyak yang ditempuh Adam. Malah, pemuda kelahiran Sabah itu juga sudah matang menangani emosi apabila disuapkan pelbagai persoalan sensitif.

Dafi, namanya baru beberapa bulan meniti di bibir peminat dunia seni. Hidupnya yang dulu tenteram mula bergolak apabila Akademi Fantasia 5 (AF5) mengheret dirinya dalam satu perdebatan hebat. Barangkali ranjau dan duri yang ditempuhinya tidak setajam yang pernah dirasai Adam, namun hakikatnya Dafi tidak terlepas daripada menempuh cabaran sebagai anak seni.

Lapan minggu bertahan di AF5, belum cukup untuk meyakinkan peminat akan kekuatan bakat yang dimiliki artis berusia 19 tahun itu. Meskipun AF5 sudah lebih dua bulan melabuhkan tirainya dan Mila diangkat juara pertama wanita program realiti popular itu, bakat Dafi masih diragui.

Teringat perjalanan awal Adam yang terpaksa menahan telinga mendengar sindiran apabila dia dipilih pemenang ketiga AF2. Biarpun pedih Adam mampu meredah dugaan itu dan hari ini, pemilik nama sebenar, Mohd Aizam Mat Saman itu sudah memiliki dua album studio.

Terungkap persoalan, dapatkah Dafi bertahan dan merentas laluan berliku untuk membuktikan dia punya bakat untuk dihargai peminat seni?



“Saya masih baru dalam bidang seni, perlukan banyak lagi ruang untuk memperbaiki kelemahan diri. Ramai berkata saya bertahan di AF5 kerana wajah, namun untuk berada lama dalam industri bakat adalah keutamaan.

“Saya melihat kritikan sebagai titik tolak untuk membuktikan saya juga punya bakat. Alhamdulillah, bakat saya perlahan-lahan diterima kerana saya tidak mahu dikatakan mempertaruhkan wajah untuk mencipta populariti,” katanya.

Menganggotai keluarga KRU Music Group (KMG) di samping Adam, Ezlynn dan Anita Sarawak, Dafi melihat kesempatan itu sebagai batu loncatan untuk memperkukuhkan nama serta kedudukan, di samping memanjangkan lagi langkahnya di bidang seni.

Mengagumi karya yang dihasilkan tiga adik beradik kreatif itu, lamaran KMG baginya, umpama mimpi menjadi kenyataan.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Dulu saya sering bermimpi, jika tidak berpeluang menyertai AF sekali pun, saya ingin menjadi penyanyi di bawah bimbingan KRU. Apabila melihat kejayaan Adam di bawah bimbingan mereka, saya menyimpan angan-angan dalam hati untuk mengekori kejayaannya.



“Alhamdulillah, mimpi itu akhirnya menjadi kenyataan. Saya bersyukur kerana rezeki menyebelahi dan ini menyemarakkan lagi semangat untuk membuktikan saya juga boleh berjaya,” katanya.

Sebagai permulaan, Dafi akan ditampilkan terlebih dulu dalam album runut bunyi filem Duyung. Hanya selepas itu, rakaman untuk projek album pertamanya akan dilunaskan.

Mengakui semakin seronok meniti kehidupan sebagai anak seni, bakat Dafi turut menarik perhatian pengarah Erma Fatima untuk menampilkannya sebagai pengacara program remaja, Ekspresi Remaja. Program 13 episod itu menemui penonton menerusi RTM2.

Pakej Web Jualan


Adam kecewa gagal ke final Ikon Malaysia

PUNAH segala harapannya apabila namanya hanya mampu bertahan pada saingan awal pentas Ikon Malaysia. Berulang kata Adam, dia kecewa kerana kesungguhannya untuk membuktikan sesuatu kepada peminat berakhir dengan keputusan pahit - tersingkir apabila gagal memikat hati tiga juri profesional pertandingan itu.

Meskipun percaya itu semua ketentuan rezeki, kata Adam, jika dia mampu melangkah hingga ke peringkat separuh akhir ia sudah memadai. Baginya, perjuangannya dalam program itu belum selesai selagi tidak membuktikan kepada peminat dia punya lebih daripada wajah kacak.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Sayang kesempatan itu tidak kunjung tiba. Pemuda berusia 23 tahun itu hanya mampu menggigit jari apabila dua tempat berharga itu diisi dua penyanyi wanita bersuara emas, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor.

“Saya sendiri agak bingung apa sebenarnya kriteria untuk menjadi ikon. Jika vokal saja yang dinilai itu tidak memadai kerana ikon juga harus mempunyai kemampuan untuk membuat peminat terhibur dengan persembahannya.

“Untuk pertandingan itu Adam banyak berkorban. Berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk berlatih dengan penari, malah Adam juga sudah berjanji dengan peminat untuk tidak menghampakan harapan mereka.



“Disebabkan itu, Adam hampa apabila gagal mara ke separuh akhir walaupun sudah berusaha sebaik mungkin dengan memberikan persembahan luar biasa,” katanya dalam nada kecewa.

Tidak menyalahkan juri kerana bagi pemuda yang turut membina nama dalam bidang lakonan ini, mereka lebih arif apa yang dicari untuk mengangkat seseorang penyanyi sebagai Ikon Malaysia.

Adam berkata, barangkali persembahannya tidak memenuhi cita rasa dan standard juri untuk memungkinkannya berada dalam kelompok terbaik.

“Cuma apa yang Adam dapat katakan tidak mudah untuk seseorang artis menari sambil menyanyi. Entah kenapa persembahan seperti itu kurang diberi perhatian. Susah Adam menjelaskannya.

“Sebenarnya Adam berharap dapat melangkah ke separuh akhir kerana ingin membuktikan Adam juga punya kekuatan suara. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Bakal tampil dengan album bersama kumpulan asalnya, Es d Co, Adam turut mengalu-alukan kehadiran Dafi dalam keluarga KMG. Baginya kehadiran Dafi serta artis baru lain seperti The Lima dan Mendua dalam keluarga besar itu akan menyemarakkan lagi dunia seni yang dahagakan kreativiti dan idea baru.





Profil


ADAM
Nama Penuh: Mohd Aizam Mat Saman

Tarikh Lahir: 19 September 1983

Zodiak: Virgo

Tinggi/Berat: 172sm/67kg

Bangsa: Bajau

Hobi: Menyanyi

Penyanyi Kegemaran: KRU

Pelakon Kegemaran : Yusry KRU, Faizal Hussein dan Afdlin Shauki

Ciri-ciri wanita impian: Baik, sopan, memahami karier dan sedap mata memandang



DAFI
Nama Penuh: Gaddafi Ismail Sabri

Tarikh Lahir: 14 Disember 1988

Zodiak: Sagittarius

Tinggi/Berat: 171sm/65kg

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan: Diploma Bunyi dan Muzik dari Kolej Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya







Sumber : Berita Harian Edisi 24-07-2007





Kata Izalsyah; "Membesar dengan muzik KRU."



No comments: