Siapa ‘Mr Right’ Dayang Nurfaizah?

KETIKA anak gadis lain yang sebaya dengannya sudah berumah tangga atau mempunyai teman lelaki, penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowty sehingga kini masih betah hidup bersendirian. Bukan tidak mahu mencari atau terlalu cerewet memilih teman hidup namun komitmen kerjaya nyanyiannya dan juga keluarga membuatkan Dayang terpaksa memendamkan keinginannya untuk mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, apa yang melucukan, menurut Dayang, keluarganya sendiri tidak yakin bahawa anak daranya kini sudah dewasa dan bila-bila masa saja sudah boleh mendirikan rumah tangga.

Katanya, walaupun ada sesetangah ibu bapa yang begitu resah seandainya ada anak gadis mereka masih belum memiliki teman istimewa namun jelas Dayang, orang tuanya bersikap sebaliknya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Dayang menyambut ulang tahun ke-26 Jumaat lalu tanpa kehadiran insan istimewa bergelar teman lelaki.



Dayang berkata ada ketika dia sengaja mengusik orang tuanya serta adik beradik lain dengan menyatakan hatinya kini sudah dimiliki. Tujuannya berseloroh begitu kerana mahu melihat sejauh mana reaksi mereka tetapi hakikatnya dia sendiri terkejut dengan respon yang diberi mereka.

"Hendak tahu apa yang mereka katakan pada saya terutama emak? Kata mereka, awak tak payahlah nak bercinta-cinta atau ada teman lelaki. Bila sampai seru jodoh datang dengan sendirinya. Kata emak lagi dia tidak suka melihat saya bercinta dan dikecewakan. Pada emak, saya masih muda dan punya banyak waktu untuk lebih berjaya dan kumpul harta.



"Kalau adik beradik saya pula mereka selalunya memberi reaksi begini. Jangan percaya cakap Dayang itu, dia sengaja kelentong kita dah ada `special'. Entahlah mengapa mereka sukar sangat hendak percaya khususnya apabila saya bercerita soal cinta dan teman lelaki,” kata finalis One In A Million ini ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Malahan menurut Dayang, keluarganya juga tidak pernah memberi tekanan atau mendesaknya supaya lekas bertemu jodoh.

“Walaupun memang benar sehingga saat ini saya masih belum berpunya. Satu hal yang saya perasan setiap kali bertemu keluarga atau pulang ke kampung Kuching, Sarawak, emak dan ayah tetap melayan saya seperti anak kecil mereka.

"Mungkin status saya sebagai anak perempuan bongsu. Sebab itulah mereka seperti sukar melepaskan saya dan tidak bersedia mendengar pengakuan cinta dari saya biarpun sekadar gurauan dengan mereka," kata Dayang sambil dipersetujui pengurusnya, Sharliza yang begitu setia menemaninya.

Tambah Dayang, dia tidak menafikan naluri seorang wanita pastinya ingin disayangi dan ditemani insan bernama lelaki. Sayangnya kerjayanya sebagai penyanyi menyekat perkara itu berlaku.



Oleh kerana itulah, sehingga kini Dayang belum berpeluang mengenal erti cinta biarpun usianya telah menginjak ke angka 26 pada 20 Julai yang lalu.

"Diam tidak diam hampir 10 tahun saya bergelumang dalam bidang seni dan sepanjang tempoh itu memang saya tidak sempat memberi ruang pada cinta untuk singgah ke hati ini.

"Bukan tidak mahu, cuma saya kurang bergaul. Habis kerja saya balik dan tiada masa untuk lepak. Waktu sedang bekerja pula saya bertemu dengan orang yang sama, justeru mustahil untuk jatuh cinta dengan rakan sendiri.

"Tapi tidak mengapalah, tidak berteman pun saya bahagia dan gembira. Lagipun masih banyak yang ingin saya sasarkan dalam arena seni suara ini," kata Dayang positif.

Bagi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, perkahwinan adalah suatu ikatan yang indah dan dia akan hanya menempuhinya bila dia benar-benar bersedia.



“Perkahwinan bukan soal main-main tetapi suatu perkara yang serius dalam hidup, selain memerlukan komitmen yang jitu, ia juga satu tanggungjawab yang besar. Saya tidak mahu berkahwin hanya kerana ingin memuaskan hati sesetengah pihak. Bagi saya perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup dan bukan untuk sehari dua yang akhirnya membawa perceraian,” luah Dayang menyatakan pendapatnya.

Sebagai wanita yang dibesarkan dalam arus kemodenan, terus terang Dayang menyatakan dia lebih selesa mencari jodohnya sendiri daripada menyerahkannya kepada keluarga.

“Saya rasa biarlah saya mencari calon suami atas pilihan saya sendiri kerana saya yang akan hidup bersamanya nanti. Antara ciri yang perlu pada lelaki itu adalah dia mestilah bertanggungjawab dan mampu memberi kebahagiaan kepada saya sehingga ke akhir hayat.

“Dan kalau boleh, dia mestilah bukan di kalangan duda atau suami orang kerana saya tidak mahu melukakan hati sesiapa,” tegas penyanyi yang baru saja muncul dengan album baru berjudul Dayang 2007.

Mengulas album terbarunya itu, Dayang berkata album terbitan dan edaran New Southern Records (NSR) itu jauh lebih matang dari albumnya terdahulu. Banyak kelainan dalam album ini termasuk dari segi vokal, penyampaian, feel dan gubahan muzik.

“Setiap lagu dalam album ini berbeza corak penyampaiannya dan ia lebih kepada konsep bercerita daripada menyanyi,” ujarnya. Antara komposer terkenal yang terbabit dalam pembikinan album ini ialah Jenny Chin, Audi Mok, Sharon Paul, Amer Munawer dan Mazlan Hamzah.




Profil

NAMA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty

PANGGILAN: Dayang

TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981

TEMPAT LAHIR: Kuching, Sarawak

STATUS: Bujang

ALBUM: Dayang Nurfaizah (1999), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Di Sini Bermula (2002), Hembusan Asmara (2002), The Best of Dayang Nurfaizah (2003), Dayang Sayang Kamu (2004), Dayang Sayang Kamu - Repackaged(2005), Kasih (2006) Buat Kamu - Repack (2006) dan Dayang MTV Karaoke (2006) dan dayang 2007 (2007)

KEJAYAAN: Juara Bintang Remaja Asli Kuching (1996), Juara Golden Teen Search RTM (1997), Juara Bintang Remaja Kuching (1997), Juara Bintang Penghibur HMI (2001), Juara Kategori Lagu Popular/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Planet Muzik (2001), Juara Kategori Balada/Seandainya Masih Ada Cinta/Anugerah Juara Lagu (2001), Lagu Sepanjang Tahun/Seandainya Masih Ada Cinta/AIM (2002), Juara Kategori Etnik Kreatif/Erti Hidup/Anugerah Juara Lagu (2004), Juara Muzik Global/Erti Hidup/Anugerah Era (2005) dan Juara Kategori Kejuruteraan Album Terbaik/Kasih/AIM (2006) Finalis Ikon Malaysia (2007)








Sumber : Berita Harian Edisi 23-07-2007




Kata Izalsyah; "Pun masih mencari-cari!" Huhuhuhuhuhu.





No comments: