Waris Hassan Azhari

“SAYA tidak boleh lari kerana atas saya ialah nama ayah yang memang terkenal. Orang tidak kata saya adik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa atau pelakon terkenal Jalaludin tetapi, anak Datuk Hassan Azhari.

“Nama ayah saya lebih kuat kerana beliau memimpin program Muqadam di radio selama 40 tahun dan mengendalikan program yang sama di televisyen selama lima tahun.”

“Sebut saja Muqadam, terbayang wajah ayah yang tegas dalam kelas pembelajaran al-Quran. Ayah dan Muqadam juga sinonim dengan RTM ketika itu dan mungkin juga hingga saat ini.

Itulah pengakuan ikhlas Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga tenaga pengajar program Qiraatul Quran, Dr. Abd Rauf Datuk Hassan Azhari.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Dr. Abd Rauf Datuk Hassan Azhari


Bagaimanapun katanya, hubungan kekeluargaan saja tidak memadai kerana kemampuan seseorang itu dinilai daripada ilmu pengetahuan yang dimiliki bukan siapa yang dikaitkan dengannya.



Katanya, tanpa ilmu pengetahuan, beliau tidak boleh menjadi klon bapanya yang berilmu serta kepakarannya dalam bidang tajwid dan pembacaan al-Quran secara berlagu memang dikagumi serta diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Justeru, anak bongsu daripada 12 adik beradik itu bersungguh-sungguh mendalami ilmu tajwid dan pembacaan al-Quran supaya dapat menjadi sebaik bapanya yang menjadi idolanya dalam bidang itu.

Pembabitan Dr Abd Rauf sebagai guru ilmu tajwid dan pembacaan al-Quran adalah kesinambungan daripada penguasaannya dalam bidang bahasa Arab yang dipelajari daripada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Beliau berkata, ilmu Bahasa Arab tidak jauh dengan ilmu pembacaan al-Quran tetapi bagi meningkatkan kemahiran ilmu tajwid, beliau sanggup menaiki tiga bas mengharungi perjalanan memakan masa dua jam untuk berguru.

Ketika melanjutkan pengajian di Mesir, setiap Jumaat beliau akan menaiki bas menuju ke Al-Qalyubi yang terletak di luar Kaherah untuk talaqi (membaca dan menyemak bacaan) al-Quran dengan hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Sheikh Mahmud al-Baranaqi.



Bersama Sheikh Mahmud, tokoh terkenal di Mesir yang juga rakan kepada bapanya itu, beliau meningkatkan kefahaman serta kemahiran membaca al-Quran dengan sebutan huruf yang betul selama dua tahun.

“Setiap kali tiba di rumahnya, tenaga yang ada hanya tinggal satu perempat saja sebab penat menaiki tiga bas selama dua jam. Tetapi saya tidak kisah kerana berbaloi dapat berguru dengan beliau,” katanya.

Katanya, selepas pulang dari Mesir pada 1995, beliau masih berpeluang bertemu Sheikh Mahmud yang datang ke Malaysia setiap tahun untuk menjadi hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa sebelum tokoh itu kembali ke rahmatullah dua tahun lalu.

Ditanya kenapa beliau tidak berguru secara langsung dengan bapanya, Dr Abd Rauf berkata, bapanya mempunyai jadual yang sibuk kerana mengendalikan program Muqadam selain tanggungjawab sebagai hakim tilawah al-Quran.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Datuk Hassan Azhari


Tetapi, ayahnya menjadi rujukan utama setiap kali berhadapan masalah atau kekeliruan membabitkan hukum tajwid dan penasihat secara tidak langsung untuk program Qiraatul Quran yang dikendalikannya kini.



Program pembelajaran bacaan al-Quran yang disiarkan jam 6.30 petang setiap petang Sabtu di RTM1 itu menampilkan empat pelajar dewasa yang tidak daripadanya adalah saudara baru memeluk Islam.

Qiraatul Quran terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan RTM menekankan cara sebutan huruf yang betul mengikut bunyi bahasa Arab. Sukatan pelajaran dan skrip disediakan sendiri Dr Abd Rauf.

“Sebenarnya saya memikul satu tanggungjawab besar kerana mereka inginkan Qiraatul Quran sehebat Muqadam dan mahu orang berkata, jika dulu ayah yang mengajar kini anaknya pula.

“Ayah terlalu hebat dalam bidang tajwid. Tetapi saya banyak belajar dan belajar lagi dengan ayah. Apa yang ayah ajar pada saya itulah yang saya turunkan kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum mengendalikan Qiraatul Quran, Dr Abd Rauf pernah menerajui segmen belajar tajwid, iaitu salah satu antara empat segmen program Al-Furqan terbitan Jakim untuk RTM.



Beliau juga aktif mengajar tajwid di surau, masjid serta memberi ceramah jika ada jemputan dan sekali sekala muncul sebagai tetamu program keagamaan di televisyen.

Mengenang kembali minat dalam bidang agama, bapa kepada dua puteri itu berkata, beliau adalah satu-satunya pelajar darjah enam Sekolah Polis Depoh Kuala Lumpur yang memilih sekolah agama untuk melanjutkan pendidikan peringkat menengah.

Keputusan memilih Sekolah Menengah Agama Hishammuddin Sungai Bertih, Klang, seperti tertera dalam borang yang perlu diisi setiap pelajar ketika itu turut memeranjatkan guru kelasnya.

Namun, hatinya tekad terutama apabila seronok melihat abangnya Azhari turut melanjutkan pengajian di sekolah agama dan tinggal di asrama.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, beliau melanjutkan pengajian di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di Terengganu kemudian ke Universiti al-Azhar, Mesir.



Sebaik kembali ke tanah air, beliau bertugas setahun sebagai guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Kampung Jawa, Klang sebelum memohon menjadi pensyarah Bahasa Arab di Kolej Islam Darul Ehsan (Kisdar) kini dikenali Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Lima tahun di Kisdar, beliau ingin bertukar angin dan memohon jawatan pensyarah di UPM. Di sana beliau menyambung pengajian peringkat PhD dalam bidang Bahasa Arab dan mula menjinakkan diri dalam program radio serta televisyen.

Selain pengajian Bahasa Arab, ilmu tajwid dan bacaan al-Quran, Dr Rauf juga giat menulis dan kini dalam proses menyiapkan Memoir Datuk Hassan Azhari atas permintaan Jakim.

“Mulanya mereka mahu saya bantu beri maklumat mengenai ayah tetapi selepas beberapa kali bermesyuarat, akhirnya Jakim mengambil keputusan melantik saya menghasilkan memoir mengenai ayah saya.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan. Perancangan mengenainya dibuat tahun lalu tetapi saya mula melakukan penyelidikan tiga bulan lalu dengan bantuan isteri,” katanya.

Katanya, beliau juga bercita-cita menurut jejak langkah bapanya sebagai hakim tilawah al-Quran tetapi mengakui perlu memantapkan lagi ilmu di dada serta mengikuti kursus untuk menjadi hakim.





Info

Latar belakang Dr Abd Rauf Hassan Azhari

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Anak bongsu daripada 12 adik beradik.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Berpendidikan Arab hingga peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Berguru ilmu tajwid dengan hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Sheikh Mahmud al-Baranaqi ketika menuntut di Mesir.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket Bekas pelajar sekolah Menengah Agama Hishammuddin Sungai Bertih, Klang.



No comments: