Luahan Hati Nurul

PEDULIKAN apa orang kata, tujuan Noorul Huda Ab Wahab (Nurul), 30, menulis biografi Nurul - Peribadi, Kerjaya, Masa Depan bukan untuk meletakkan dirinya sebaris tokoh ternama negara, tetapi buku yang dihasilkan dalam bentuk novel itu bertujuan berkongsi pengalaman dengan peminat.

Sebagai anak seni, Nurul menggunakan biografi itu sebagai medium mendekatkan dirinya dengan peminat. Tegas Nurul, buku itu bukan sebuah memoir dan Nurul juga tidak mengharapkan penghargaan sebegitu tinggi.

“Biografi ini diterbitkan kerana peminat mahu tahu mengenai diri saya secara terperinci. Dengan memiliki biografi ini, peminat tahu peribadi dan karektor saya.

“Namun, bukanlah saya keterlaluan mendedahkan hal peribadi. Ia lebih kepada luahan hati saya sejak remaja sehinggalah berlakunya perceraian dalam rumah tangga.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Pendekatan biografi ini juga berbeza kerana saya menyertakan sekali cabaran sebagai penyanyi untuk diteladani,” katanya pada pelancaran biografinya di Bianco Cafe, Tropics Apartment, Damansara Perdana, baru-baru ini.



Nurul yang gemar menulis apa saja dalam diarinya sejak zaman persekolahan, terlintas menghasilkan biografi kisahnya dan Ajai (Mohd Faizal Maas- bekas suami) apabila konsert mereka yang sepatutnya diadakan pada 10 April 2004, di Larkin, Johor Bahru, dibatalkan.

Biografi itu juga, katanya, sebenarnya hadiah dia dan Ajai kepada peminat sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-10 pada 25 Disember 2006. Bagaimanapun, manusia hanya merancang, Allah jua menentukan segalanya.

“Belum pun biografi itu siap, sengketa melanda dan kami berpisah. Ia sudah berlaku dan tidak perlu dikenang lagi. Namun, hasrat menerbitkan biografi ini diteruskan kerana ia idea dan impian saya. Hampir dua tahun juga baru biografi ini siap.

“Saya terpaksa rombak bahagian tertentu buku ini untuk disesuaikan dengan perkembangan terbaru kerana keadaan sudah tidak seperti dulu. Bab agak paling sukar apabila memasukkan cerita individu lain dalam penulisan ini.

“Masing-masing ada baik buruknya dan apabila saya mendedahkan aib orang secara terbuka pasti menjatuhkan air mukanya. Kalau berkenaan saya sendiri tidak mengapa.



“Bagaimanapun bahagian paling sukar sudah tentu cerita perceraian yang dimuatkan dalam bab 13 bigorafi itu. Ia memberi impak kuat kepada saya dan teringin sekali untuk berkongsi pengalaman itu dengan pembaca.

“Bagaimanapun, supaya tiada hati terasa saya olahnya sebaik mungkin. Perceraian memeritkan tetapi jika tiada persefahaman dan sekiranya perpisahan itu mampu mententeramkan dua jiwa, berpisah penyelesaian sebaiknya.

“Perceraian meninggalkan kesan mendalam di hati tetapi saya memandangnya dari sudut positif. Semua yang terjadi ketentuan Tuhan dan tiada perkara berlaku tanpa pengetahuan-Nya,” katanya.

Apabila kembali solo, Nurul tidak menafikan banyak memikirkan masa depan. Hanya kesibukan bekerja melekakannya seketika dan kini mula membina kehidupan baru tanpa dibayangi kenangan lalu.

Bagi Nurul, dia melihat penerbitan biografi itu satu cabang perniagaan dan sumbangannya kepada dunia seni.



“Saya yakin peminat akan membeli biografi artis kesayangan mereka. Selain album, penjualan biografi ini juga boleh menggerakkan industri seni kerana kedua-duanya boleh dijadikan koleksi peribadi.

“Hasil penulisan pertama ini belum sempurna. Setiap kali membacanya ada saja yang ingin dipinda sehinggalah ia dicetak. Banyak lagi cerita tetapi ia dipendekkan bagi disesuaikan dengan harga buku itu, RM15.90.

“Saya banyak menerima komen positif pembaca termasuk rakan wartawan. Ada peminat mengirim SMS (Sistem Pesanan Ringkas) beritahu dia menangis membacanya.

“Selepas ini saya bercadang menulis buku motivasi berdasarkan pengalaman sendiri. Mungkin saya berangan-angan tinggi tetapi jika ada yang sudi memilemkan kisah saya, alangkah bangganya,” katanya.

Biografi itu mula dijual akhir Mac lalu. Untuk cetakan pertama ia diterbitkan sebanyak 20,000.



Sibuk merencanakan masa depannya, Nurul akan hadir dengan album solo pada Jun ini dan berhasrat menceburi perniagaan pertanian dan mengeluarkan produk kesihatan.

“Ramai sangat menceburi bidang kecantikan. Jadi saya pilih bidang kesihatan dan membuka nurseri padi di tanah keluarga di Baling, Kedah.

“Saya tidak boleh duduk diam dan sentiasa ligat berfikir memenuhi ruang kosong yang ada dengan melakukan pelbagai aktiviti. Bila bersendirian, fikiran saya jauh menerawang.

“Kebaikannya pula apabila solo semula, boleh tumpukan kepada kerja dan diri sendiri,” katanya.



No comments: