Rosyam & Umie Teruja Berlakon Filem Hitam Putih

Kali terakhir mereka digandingkan bersama ialah di dalam slot Samarinda Rindu Semakin Jauh tidak lama dulu.

Umie Aida, yang disifatkan oleh Rosyam Nor sebagai "antara pasangan serasi saya dan ada chemistry" kini bertemu semula di dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM).

KMBM adalah sebuah filem hitam putih pertama selepas Jantina, filem hitam putih terakhir yang dihasilkan pada tahun 1974 arahan Naz Achnas, keluaran Studio Merdeka lakonan Ed Osmera, Noran Nordin dan Norizan.

Filem yang berlatarkan tahun 50an dan menelan kos kira-kira RM1.4 juta ini merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali bulan mengambang.

Kisah bermula apabila tayar kereta Saleh (Rosyam), seorang wartawan ditusuk sesuatu yang menyerupai rangka tangan yang sedang memegang ukiran lama berbentuk keris. Tayar kereta yang pancit menyebabkan Saleh terpaksa menghantar keretanya ke sebuah bengkel dan bermalam di pekan tersebut.



Sepanjang berada di pekan itu, Saleh menyedari banyak perkara misteri berlaku di situ dan menyebabkan dia bertekad untuk merungkai setiap kejadian misteri yang berlaku di pekan Senduduk Rimbun itu.

Bercerita mengenai peranan masing-masing di dalam filem tersebut, Rosyam dan Umie mengakui format hitam putih yang digunakan di dalam KMBM menjadi faktor utama mengapa kedua-dua pelakon ini tidak berfikir panjang untuk bekerja buat pertama kalinya bersama Mamat Khalid.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Rosyam sentiasa cari kelainan setiap kali tampil di layar perak.


"Saya sentiasa mencari kelainan setiap kali saya tampil dalam filem. Saya bersyukur, sepanjang 23 tahun penglibatan saya sebagai pelakon, saya tidak pernah sangka dapat berlakon dalam filem hitam putih.

"Format filem seperti ini bukannya murah, tapi saya bangga kerana ini boleh dianggap satu tribute kepada pelakon-pelakon lama kita," ujar Rosyam ketika ditemui pada majlis pelancaran KMBM di Heritage Station Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Membawakan watak Saleh, seorang bekas wartawan yang berani menghadapi cabaran untuk merungkai misteri pekan Senduduk Rimbun, kata Rosyam, filem KMBM banyak menguji kesabarannya ketika di lokasi, antaranya perlu menunggu sehingga lapan jam untuk pihak produksi menyiapkan set di studio.



"Tapi, bila saya lihat hasilnya, memang sangat puas hati. Saya kagum dengan kerja Mamat, walaupun pada mulanya agak pening juga bekerja dengan dia.

"Saya memang ingin bekerjasama lagi dengan dia dan Alhamdulillah, dia pun sudah ada tawarkan satu filem baru untuk saya," kata Rosyam.

Ditanya tentang pemilihannya untuk watak Saleh yang sepatutnya didukung oleh Allahyarham Hani Mohsin, Rosyam berkata, secara peribadi dia amat gembira kerana dirinya dipilih untuk menggantikan tempat arwah Hani.

"Mula-mula memang saya tidak tahu tentang perkara ini, sehinggalah Mamat bagi tahu saya yang sebenarnya watak Saleh adalah untuk Hani. Arwah tunggu lebih kurang lima tahun untuk buat comeback, tapi nampaknya hajatnya tak kesampaian.

"Bagi saya, ini adalah hadiah saya untuk arwah dan saya sudah buat yang terbaik untuk watak ini," jelas Rosyam.



Seperti mana Rosyam, Umie juga turut gembira dengan penglibatannya di dalam filem hitam putih ini yang dianggap olehnya sebagai 'klasik'.

"Filem hitam putih ini selalunya kita akan kaitkan dengan filem-filem P.Ramlee. Jadi, bila saya tengok diri saya sendiri di dalam filem seperti itu, memang terasa seperti berada di zaman dulu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Umie bawa watak wanita misteri.



"Dan pertama kali bekerja dengan Mamat, saya memang puas hati. Dia amat serius, tetapi bila bekerja dengan dia, kita akan nampak dia sebenarnya seorang yang kelakar," ujarnya.

Di dalam KMBM, Umie memegang watak Cik Putih, seorang wanita cantik yang digilai ramai tetapi penuh misteri yang tersirat di sebalik penampilannya.

"Saya tidak akan mendedahkan apa sebenarnya watak saya ini.



"Memandangkan ia penuh 'misteri', orang hanya akan tahu bila sudah menonton filem ini nanti," kata Umie sambil tersenyum.

Mengenai gandingannya bersama Rosyam sekali lagi, Umie berkata antara mereka memang tidak menghadapi kesukaran untuk bekerja bersama.

"Saya sudah bekerja dengan Rosyam beberapa kali. Dia sangat rajin serta mudah untuk bekerjasama dengannya dan kalau boleh saya ingin bergandingan dengan Rosyam lagi untuk projek-perojek lain," ujar Umie yang dijangka akan berlakon bersama Rosyam untuk sebuah drama terbitan syarikat produksi aktor itu sendiri, Suhan Movies, berjudul 'Iris'.

Selain Rosyam dan Umie, turut membintangi filem KMBM ialah Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Farid Kamil, Kuswadinata dan Bront Palarae.

KMBM kini di dalam proses suntingan dan dijangka akan ditayangkan di pawagam-pawagam pada November depan.





No comments: