Emelda Bibayangi Populariti Kakak

EMELDA Rosnaida, AMELIA Rosmila atau Emelda Amelia? Itu antara gelaran biasa menyapanya bagi peminat yang keliru.

Ternyata, hampir tujuh tahun menyerikan dunia lakonan, nama Emelda Rosmila Abd Hamid, 27, belum cukup utuh terpahat di jiwa peminat meskipun bakatnya diperakui dengan pencapaian kerjaya lakonan berkembang secara konsisten.

Mungkinkah sikap Emelda yang ‘low profile’ dan tidak gemarkan publisiti menjadi masalah utama lantas menyekat dirinya untuk dikenali.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
SEDERHANA...Emelda tidak kisah kurang dikenali peminat.



Emelda ketika diajukan hal ini tidak menafikan dia sendiri lebih selesa hidup sederhana seperti orang kebanyakan, daripada dirinya menjadi perhatian ramai.

“Saya selesa begini dan tidak kisah apapun gelaran yang diberikan peminat asalkan panggilan itu tidak menghina, sudahlah! (kecewa). Sudah lama saya sedar sebenarnya orang kurang mengenali siapa Emelda Rosmila.



“Kalau adapun, biasanya peminat tersilap memanggil nama. Ada yang panggil Emelda Rosnaidalah, Amelia Rosmilalah, semuanya gara-gara terkeliru antara nama saya dengan kakak, Amelia Rosnaida.

“Serius, saya tidak berkecil hati kerana lakonan itu sumber rezeki saya, bukan ruang mencari glamor,” katanya.

Mengimbas semula pembabitan Emelda dalam lakonan semuanya berlaku secara kebetulan ketika menemani Aida Aris menjalani penggambaran drama Aishah.

Tanpa diduga, produksi berkenaan kekurangan seorang pelakon dan dia diminta menggantikan watak yang ditinggalkan itu.

“Mulanya saya keberatan maklumlah tiada pengalaman berlakon langsung. Namun selepas berulang kali didesak, saya memberanikan diri mencuba.



“Bertitik-tolak dari itulah saya mula menerima tawaran sedikit demi sedikit sehingga membibitkan minat untuk meneroka bidang ini dengan lebih luas.

“Ekoran jadual yang semakin padat, saya akhirnya terpaksa membuat keputusan lalu meninggalkan pekerjaan sebagai pereka grafik.

“Mungkin disebabkan perjalanan karier lakonan saya berlaku secara kebetulan dan bukannya sesuatu yang saya impikan sejak kecil. Justeru, saya sendiri tidak begitu mengejar populariti.

“Walau macam mana pun, saya sedar apabila sudah menjadi artis, saya tidak terlepas daripada perhatian wartawan dan masyarakat,” katanya.

Sebagaimana ditegaskan Emelda bahawa lakonan itu punca rezekinya, dia tidak pernah memilih atau gentar mencuba pelbagai watak.



Ini termasuklah membawa peranan gadis gemuk menerusi telenovela Manjalara yang disiarkan pada Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang di TV3.

Kata Emelda, telenovela ini menyisipkan pelbagai pengajaran dan sebagai pelakon, dia turut memperoleh kesedaran.

“Sekarang baru saya tahu bagaimana perasaan orang gemuk atau mereka yang berbadan besar setiap kali diejek.

“Walaupun hanya memakai sut (gemuk), saya sendiri tidak tahan ketika dipersendakan rakan dalam set penggambaran hinggakan tiba-tiba saja saya boleh terasa hati.

“Tambah membuatkan saya tertekan dan rendah diri apabila ada peminat yang datang menyapa dan bertanya ini Emelda ke? Kenapa gemuk sangat?



“Barangkali kualiti sut getah yang direka khas untuk telenovela Sepanyol Mi Gorda Bella (My Sweet Fat Valentina) nampak seperti badan gemuk asli membuatkan peminat tidak perasaan yang saya sebenarnya sedang memakai sut.

“Apapun saya gembira dapat membawakan watak ini kerana dalam kekurangan Manjalara, dia mempunyai hati yang mulia, lucu, manja dan suka membantu orang.

“Demi memberikan yang terbaik untuk drama ini, saya juga melakukan pengorbanan iaitu menambah berat badan sebanyak enam kilogram untuk memastikan wajah saya seimbang sut itu.

“Mulanya keberatan juga manalah tahu kalau-kalau lepas ini susah pula turunkan badan. Tapi selepas pengarah Khabir Bhatia berjanji untuk menghantar saya ke pusat perlansingan sebaik selesai penggambaran ini, tanpa banyak soal saya bersetuju,” katanya.

Tambah Emelda, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan pengarah berbakat seperti Kabir untuk mendukung watak utama.



Ini sekali gus membolehkannya menimba pengalaman disamping pelakon hebat seperti Sheila Rusly dan Mustafa Kamal termasuk pelakon muda meningkat naik iaitu Jue Aziz, Raja Farah, Jehan Miskin, Abby Abadi dan Faizal Yusup.

“Walaupun sudah lama mengenali Khabir, namun ini kerjasama pertama kami. Saya sangat senang bekerja dengannya dan diakui dia seorang pengarah yang bagus dan mempunyai cara pengarahan tersendiri.

“Tambah mengharukan, saya tentunya dapat membintangi drama ini bersama pelakon berpengalaman seperti Sheila Rusly dan Mustafa Kamal. Mereka berdua banyak memberi inspirasi kepada saya sepanjang menjayakan drama ini,” katanya.

Masih terikat dengan baki penggambaran iaitu 45 episod, Emelda yang pernah membintangi lebih 30 drama menambah, biarpun Manjalara sebuah telenovela adaptasi daripada My Sweet Fat Valentina berkonsepkan komedi ringan, namun konflik utamanya perebutan harta.

“Manjalara anak kepada pasangan Kamarul (Azhar Sulaiman) dan Marisa (Rozita Chek Wan). Ibu Manja, Marisa, seorang penyanyi dan pelakon terkenal yang berharta.



“Entah bagaimana suatu hari keluarga dikejutkan dengan berita kehilangan Marisa sehingga abang kandung Marisa (Mustafa Kamal) dan isterinya, Sahara mengambil keputusan tinggal di rumahnya.

“Bagaimanapun setelah Marisa dijumpai semula dan ingin kembali ke pangkuan keluarga, Sahara bimbang Marisa akan mengambil semula hartanya. Menghalang semua itu berlaku, Sahara membunuh Marisa pada hari pertama dia pulang.

“Pun begitu tanpa pengetahuan Sahara, segala peninggalan harta sudah diwasiatkan ke atas nama Manjalara dan dia akan memiliki segalanya apabila berusia 18 tahun.

“Sebab itulah pelbagai taktik dilakukan Sahara untuk memastikan Manjalara yang kini berusia 17 tahun tidak memperoleh satu sen pun harta ibunya,” katanya.





Profil

NAMA: Emelda Rosmila Abd Hamid

TARIKH LAHIR: 14 Mac 1980

UMUR: 27 tahun

TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak

BINTANG: Pieces

PENDIDIKAN: Diploma jurusan Senireka Grafik

ANTARA DRAMA: Gila Gila Pengantin, Sephia, Segalanya Berubah, Marikas dam Hatiku Di Sini dan Jangan Tak Jadi.

FILEM: Cinta Terakhir



No comments: