Guna Wang Riba

SOALAN 1:
Adakah wang modal pelaburan dalam sistem pelaburan yang terlibat dalam riba boleh digunakan? Apa pula yang perlu saya lakukan dengan wang yang diperoleh hasil keuntungan perniagaan tersebut.

Bolehkah ia digunakan untuk perbelanjaan lain seperti membayar bil elektrik kecuali makan atau minum?



JAWAPAN:
Para ulama bersepakat berkenaan harta haram supaya segera dilupuskan dengan mendermakannya untuk kegunaan awam. Melupuskannya merupakan tanda bertaubat kepada Allah s.w.t.

Faedah yang berbentuk riba tetap haram. Ini berlandaskan al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan syaitan itu, yang demikian itu adalah kerana mereka mengatakan: “bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Pada hal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba…. (al-Baqarah: 275).

Orang Islam ditegah memiliki harta dari jalan yang haram, ini kerana mudarat riba akan mengundang kepada keruntuhan nilai-nilai ketulenan harta yang halal.

Dalam masa yang sama duit riba yang menjadi hak kita tidak boleh dibiarkan dalam bank, atau dipulangkan kepada bank, dengan alasan itu adalah duit riba, ini akan menguntungkan pihak bank sedangkan hasil dari riba itu masih boleh dimanfaatkan.



Ulama mengkategorikan harta riba sama seperti barang yang ditemui yang bukan milik kita. Maka pandangan yang dikemukakan ialah menggunakan harta tersebut untuk kemaslahatan orang ramai seperti membina wakaf, tandas awam, memperbaiki jalan, bukan untuk makan minum atau membeli serta menyediakan apa-apa yang berkaitan dengan ibadat.

Justeru, hasil dari sistem riba tidak boleh digunakan untuk keperluan peribadi, tidak kira untuk apa tujuan sekalipun seperti membayar duit kereta, bil telefon dan sebagainya. Seperti mana disebut di atas, manfaatnya mesti kepada orang awam bukan kepada si pemilik riba.


Lauk Tambah; Bersahabat dengan golongan yang mengumpat.





No comments: