Raja Arab Saudi Mangkat

RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat semalam manakala adindanya, Putera Mahkota Salman dipilih sebagai pemerintah baharu negara berkenaan yang merupakan pengeksport minyak utama dunia.

 photo Raja Arab Saudi Mangkat_zpsxmofxmst.jpg
Muka hadapan Kosmo! Edisi 24-01-2015


Pihak istana tidak mendedahkan punca kematian Raja Abdullah, 90, tetapi Almarhum berada di hospital sejak Disember tahun lalu akibat menghidap penyakit radang paru-paru dan terpaksa bernafas dengan bantuan tiub. 

"Yang Amat Mulia Salman dan semua kerabat diraja serta rakyat bersedih dengan kemangkatan Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Abdullah yang meninggal dunia pada pukul 1 pagi semalam," menurut kenyataan Dewan Diraja Arab Saudi. 

Baginda yang dipercayai dilahirkan pada tahun 1924 memerintah Arab Saudi sejak tahun 2005 selepas abangnya, Raja Fadh mangkat kerana strok. 

Jenazah baginda dimakamkan di kawasan perkuburan al-Qud selepas solat Jumaat di sini. 

Baginda mangkat di National Guard's King Abdulaziz Medical City Hospital di sini. 

Raja Abdullah menerajui negara Arab itu dalam dekad yang penuh cabaran termasuk pengaruh kebangkitan Arab Spring dan ancaman militan Islam. 

Ketika pemerintahan Raja Abdullah, Arab Saudi menjadi sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dan turut menyertai pakatan AS bagi melancarkan serangan udara terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria dan Iraq. 

Seorang lagi adinda tiri Almarhum, Putera Muqrin dinamakan sebagai Putera Mahkota yang baharu. 

Dalam satu ucapan sebagai pemerintah Arab Saudi yang baharu, Raja Salman, 79, berikrar akan mengekalkan hala tuju sedia ada untuk negara berkenaan. 

"Dengan kekuatan yang diberikan oleh Tuhan, kami akan terus berada di laluan lurus yang telah dilalui oleh negara ini sejak kewujudannya," titah Raja Salman dalam ucapan yang disiarkan di televisyen Arab Saudi. 

Baginda juga menyeru ke arah penyatuan dan perpaduan orang Islam serta bantuan Tuhan untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat sebagai pemerintah. 

Beberapa pemimpin  Asia Barat termasuk pemerintah Jordan, Raja Abdullah II dan saudara Almarhum, Putera Turki al-Faisal meninggalkan Forum Ekonomi Dunia, Switzerland di Davos lebih awal susulan berita kemangkatan pemerintah berkenaan. 

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan semua programnya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2015 di Davos semalam bagi menghadiri majlis pengebumian Raja Abdullah Abdulaziz di Riyadh, Arab Saudi. 

Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, beliau berlepas ke Riyadh dari Switzerland bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemerintah Arab Saudi tersebut. 

"Saya menerima berita sedih kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz pada pagi ini (semalam). Saya mengucapkan takziah kepada kerabat diraja Saudi dan rakyat KSA (Kerajaan Arab Saudi)," katanya dalam akaun Twitternya semalam. 



Keluarga kembar adakan bacaan Yasin untuk Raja Abdullah 

KUALA LUMPUR - Keluarga  kepada pasangan kembar, Ahmad dan Muhammad, 17, sedih dengan berita kemangkatan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz di Riyadh semalam. 

Perasaan itu turut dikongsi bersama ahli-ahli keluarga mereka yang lain kerana Raja Abdullah banyak berjasa kepada keluarga tersebut termasuk membiayai pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar siam berkenaan dengan kos sebanyak RM1.7juta. 

 photo Kembar Siam Ahmad Muhammad_zpszqrw42h8.jpg

Bapa kepada pasangan kembar itu, Rosli Abdul Rahim, 44, berkata, beliau bersama ahli keluarga yang lain mengadakan majlis bacaan surah Yasin di kediaman mereka malam tadi. 

"Bagi kami, kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan besar buat dunia Islam. Kami sangat terkejut dan sedih apabila mendengar berita kemangkatan baginda. Ini kerana baginda telah banyak berjasa kepada keluarga kami terutamanya kepada kembar Ahmad dan Muhammad," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
 
Rosli memberitahu, kali terakhir kedua-dua anaknya itu bertemu dengan Raja Abdullah adalah pada tahun 2007 apabila mereka dijemput untuk menghadiri majlis bersama pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan menerusi pembiayaan baginda di Riyadh, Arab Saudi. 

 photo Kembar Siam Ahmad Muhammad-2_zpsttouxkrr.jpg

Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad telah menjalani pembedahan untuk memisahkan badan dari bahagian dada hingga ke punggung pada 17 September 2002 di King Fahd National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi. 

Mereka berkongsi usus besar, hati, abdomen, tulang pelvik serta sepasang kaki dan dua buah zakar. 

Pembedahan tersebut mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang kini adalah Menteri Kesihatan Arab Saudi. 

Seramai 17 pakar bedah, 9 jururawat dan 15 pakar sokongan terdiri daripada pelbagai bidang dan pegawai perubatan turut terlibat dalam pembedahan tersebut. 


Sumber : Kosmo! Edisi 24-01-2015 bersamaan 3 Rabiulakhir 1436H            


No comments: