Penumpang MH370 Diisytihar Terkorban

Pesawat MH370 yang hilang 8 Mac 2014 sah terlibat nahas : Semua 239 mangsa diisytihar terkorban

KUALA LUMPUR - Suasana muram menyelubungi seluruh negara semalam apabila pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac 2014 secara rasminya diisytiharkan terlibat dalam satu kemalangan dan kesemua 239 penumpang serta anak kapalnya dianggap terkorban.

 photo Penumpang MH370 Terkorban_zps32tg8crw.jpg
Muka depan Kosmo! 30-01-2015

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi siaran langsung televisyen di saluran TV1 tepat pukul 6 petang semalam.

 photo Datuk Azharuddin Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan DCA_zpsxufmocau.jpg

"Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban." 

"Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian daripada setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam) namun usaha pencarian itu malangnya masih belum menemui lokasi pesawat yang hilang itu." katanya.

Jelasnya, kerajaan Malaysia mengakui bahawa pengisytiharan mengenai kemalangan MH370 itu amat sukar diterima terutama oleh ahli keluarga 227 penumpang dan 12 kru pesawat malang tersebut. 

Namun kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha bagi merungkai tragedi malang itu dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada kerajaan China dan Australia. 

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar pada 8 Mac lalu, ketika dalam penerbangan ke Beijing, China setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. 

Ia bertolak dari KLIA kira-kira 12.41 pagi dan dijangka tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. 

Selain Malaysia, sebanyak 13 buah negara lain turut merasai kehilangan warganya, 

"Tiada niat untuk meredakan perasaan anggota keluarga, adalah diharapkan bahawa pengisytiharan ini membolehkan keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan, terutama menerusi proses pampasan," ujarnya. 

Menurut Azharuddin, pengisytiharan MH370 sebagai satu kemalangan dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13, Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (yang dikenali sebagai Konvensyen Chicago) 

Beliau menegaskan bahawa operasi pencarian di bawah permukaaan air masih berterusan pada masa ini. Operasi itu dijalankan oleh 4 buah kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter. Pencarian telah meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi sehingga kelmarin. 

INFO Kehilangan Pesawat MH370 

 photo MH370 - Info Kehilangan_zpspkxyoqc1.jpg

Kehilangan misteri terus disiasat

KUALA LUMPUR - Walaupun sudah hampir 11 bulan berlalu, polis terus menjalankan siasatan terhadap kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

 photo ketuapolisnegara-tansrikhalidabubakar_zps2bd29494.jpg

Beliau berkata, kertas siasatan mengenainya tidak pernah ditutup. 

"Penyiasatan masih berjalan. Kami tidak pernah menutup kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. 

Nasib pesawat berkenaan yang hilang semasa penerbangan ke Beijing, China itu masih belum diketahui, walaupun laluan pesawat itu secara rasmi diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi. 

Pada 11 Mac 2014, Polis Diraja Malaysia dan Interpol mendedahkan bahawa terdapat 2 orang lelaki yang menaiki pesawat itu dengan menggunakan pasport curi. 

Kedua-duanya merupakan rakyat Iran bernama Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. 

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

 photo MH370 hilang di Laut China Selatan_zpsdpxxaczm.jpg

Kehilangan pesawat itu menjadi semakin misteri apabila beberapa hari kemudian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem komunikasi dan transponder MH370 sengaja dimatikan apabila ia tiba di pantai barat Semenanjung Malaysia iaitu di antara pusat kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam. 

Khalid berkata, siasatan polis bertumpu kepada 4 perkara iaitu kemungkinan pesawat itu dirampas, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi yang dihadapi penumpang dan anak kapal.

Baca lagi; 

AS Tembak MH370? 

Siapa Sorok MH370? - Tun Mahathir 

Pesawat MAS Hilang


Sumber : Kosmo! Edisi 30-01-2015 bersamaan 9 Rabiulakhir 1436H


No comments: